Dua-dua tak layak jadi PM lagi

Kolumnis
Typography

KEDUA-duanya Datuk Najib dan Dr. Mahathir berlumba dalam PRU14 ini untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

PM Najib hendak menyambung jawatannya menjadi Perdana Menteri untuk penggal ketiga dan Dr. Mahathir pula yang bersara tahun 2003 hendak menjadi Perdana Menteri semula bagi kali kedua.

Subki 1PRU14 ini adalah peluang yang diberi oleh sistem demokrasi untuk rakyat sekalian untuk mencari Pedana Menteri yang terbaik dan pengundi jangan sia-siakan peluang yang Allah beri itu. Carilah yang bersih, bermaruah dan berakhlak mulia, bijaksana, berpandangan jauh, berwibawa/integriti, jujur dan dipercayai.

Siapakah antara keduanya yang lebih layak?

Kedua-duanya sudah ada pengalaman dan rakyat dan bukan rakyat, dalam negeri dan luar negeri tahu mereka dalam dan luar.

Kedua-duanya tidak layak lagi untuk menjadi Perdana Menteri baik sementara atau sepenggal lagi. Sekalipun ada pengalaman yang luas. Seorang 23 tahun Perdana Menteri saja dan seorang lagi 9 tahun.

Sepatutnya pengalaman yang banyak dapat menjadi pemimpin yang baik dan bewibawa. Tetapi mereka gagal pemimpin yang bersih, mulia, berwibawa dan bermoral.

Amalan demokrasi dan sistem yang terpakai di serata dunia tidak berjaya menjadikan kedua-dua pemimpin yang demokratik yang disegani ramai seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi kedua-duanya menjadi diktator, seorang keras dan garang iaitu Dr. Mahathir dan seorang lagi lembut pijak semutpun tak mati. Tapi kalau yang dipijak itu tikus, tikus itu mati.

Kuku besi itu tidak semesti garang, keras dan kasar. Tetapi ada juga diktator itu senyum dan lemah lembut di depan, tapi di belakang betul-betul besi, ditakuti semua. Diktator lembut itu kadang-kadang lebih menggerunkan dari yang kasar.

Antara maqasid syariyah yang PM Najib selalu sebut ada menjaga nyawa. Mahathir gagal menyelamatkan nyawa 14 rakyat awam dan empat anggota polis dalam kejadian berdarah di Memali. PM Najib pula gagal melindungi nyawa nona dari Mongolia, Altantuya yang melancong ke sini, bahkan mayatnya diberitakan diletupkan berkecai.

Keluhuran undang-undang yang jadi satu rukun dari Rukun Negara tidak dilihat berjaya digunakan bagi menyelesaikan kedua-dua pencabulan atas kehendak maqasid syariyah itu. PM Mahathir tidak menggunakan kuasanya menyelesaikan pembunuhan di Memali melalui undang-undang.

Selain dari tiada siasatan dilakukan, saman mangsa Memali yang difailkan tidak diusik mahkamah hingga peguam yang membela mereka mati dan mangsanya yang beratus tidak ramai lagi yang ada.

Bahkan pembunuhan nona Altantuya masih belum diselesaikan oleh undang-undang kita. Apakah kita menunggu PM Najib mati baru hendak diselesaikan?

PM Mahathir campur tangan dalam urusan mahkamah bila mentribunal lima hakim termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas. Semua hakim itu dipecat oleh tribunal itu. PM Najib yang diputuskan untuk disiasat badan khas atas skndal 1MDB/duit 2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, sekonyong-konyong Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang jadi pengerusi badan siasatan itu dipecat serta merta dari jawatan Peguam Negara atas alasan kesihatan yang diketahui rekod sakitnya.

Mahathir tidak menyekat amalan rasuah berleluasa, dan Najib juga mampu membendung rasuah yang berganda-ganda di zamannya. Berguni-guni duit Bank Negara lesap dalam niaga mata wang asing di zaman Mahathir dan berbilion-bilion duit 1MDB hilang di depan mata Najib.

Banyak lagi keburukan kedua-dua mereka itu sebagai Perdana Menteri, maka kedua-duanya tidak layak menjadi Perdana Menteri lagi. – HARAKAHDAILY 29/3/2018