Mengukuhkan konsep federalisma

Kolumnis
Typography

TERAS ketujuh Manifesto PAS, Malaysia Sejahtera untuk PRU14 ini adalah mahu mengukuhkan semula federalisma dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.

Perkara ketiga dan keempat dalam teras ini ia menyebut untuk mengembalikan hak royalti minyak kepada negeri-negeri yang layak pada kadar 20 peratus, 15 peratus lebih dari yang kerajajan beri sekarang iaitu lima peratus.

Manakala perkara keempat ialah untuk memulangkan wang royalti minyak yang tertangguh bagi Kelantan dan Terengganu yang dirampas kerajaan pusat mulai tahun 2000.

Subki 1Royalti 20 itu adalah janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang lalu yang PAS rasa amat penting kerana secara langsung kesannya ditanggung oleh negeri yang PAS kuasai dan PAS pernah kuasai seperti Terengganu. Sebelum muafakat Pakatan Rakyat wujud PAS sudah menyuarakan supaya royalti dinaikkan dari lima peratus.

Sarawak dan Sabah yang banyak telaga minyak mendapat faedah dari yang PAS suarakan dari dulu. Sejak Pakatan memperjuangkannya, Sabah dan Sarawak adalah sama menyuarakannya sekarang agar ia dipulangkan 20 peratus.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentuk negeri diperuntukkan banyak kuasa. Tetapi sedikit-sedikit kuasanya diambil pusat. Tiada banyak takwil. Ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura beroleh banyak keisitimewaan dibanding dengan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Perlembagaan memperuntukkan kajian dibuat setiap tahun. Tujuannya untuk mengambil langkah-langkah supaya negeri dan pusat lebih rapat. Tetapi kajian sepuluh pertama seolah-olah bergerak menjarakkan, tidak menambah dekatkan.

Di bawah konsep 1Malaysia, menjarakkan suara menjarak lebih bergema dari menyatukan. Tetapi di wilayah dulunya Persekutuan Tanah Melayu kuasa negeri lebih mengecil. Contohnya hak ke atas minyak. Negeri makan kuah, pusat makan isi.

Inilah yang PAS anjurkan royaltinya dinaikkan ke 20 dari lima peratus. Anjuran seperti itu adil tetapi negeri yang menuntut dikira mementingkan diri dan negeri yang berminyak. Tetapi dari duitnya dicurahkan entah ke mana, memulangkan 20 peratus kepada negeri lebih adil.

Pelobi pusat mungkin mengira ia keterlaluan. Tetapi apa yang negeri dapat selama ini jauh lebih kecil dari yang Indonesia bagi kepada Aceh. Perjanjian Indonesia dengan Aceh Merdeka, lima peratus yang federal bagi kepada negeri habis celah gigi saja. Jika 20 peratus dikabulkan, masih negeri tidak bernasib baik dibandingkan dengan yang Aceh dapat.

Bagi telaga minyak 12 batu dari pantai, Aceh dapat 70 peratus, Indonesia ambil 30 peratus. Bagi luar dari 12 batu Indonesia ambil 70 peratus, Aceh diberi 30 peratus. Aceh jauh lebih beruntung dari negeri-negeri di Malaysia kerana berpuas hati dapat lima peratus.

Jika Indonesia kabul perjanjian itu, menjadi orang Aceh lebih beruntung dari jadi orang Kelantan dan Terengganu. Mengapa Indonesia lebih bermurah hati terhadap propinsinya dari Malaysia terhadap negeri-negerinya.

Soal propinsi lain tidak dapat yang Aceh dapat itu adalah masalah mereka, tetapi ia dilihat lebih pemurah dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Ia adalah tanda-tanda Aceh yang benar-benar mengutamakan rakyat.

Setakat ini PAS menawarkan 20 peratus dulu. Tidak penting Umno setuju atau tidak. Jika mereka tidak setuju, tiada apa yang ia dapat buat kiranya PAS disokong oleh pengundi. Jika PAS jadi kingmaker, kita tidak perlu tanya BN boleh beri atau tidak.

Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak akan dapat royalti yang tinggi selepas PRU nanti dan selepas itu negeri-negeri ini akan dapat imbuhan dari royalti yang digelapkan selama ini. Bolehkah PAS beri? Ia boleh beri kerana ia bukan kerajaan yang bocor. – HARAKAHDAILY 26/3/2018