Geli manifesto Mahathir menghapus tol

Kolumnis
Typography

MANIFESTO yang belum bertulis untuk PRU14 memikirkan untuk menghapuskan sistem tol. Itu yang disebutnya dalam jelajahannya di ambang PRU. Tetapi jalan yang baru siap di DUKE ke Bulatan Jalan Pahang ditolnya.

Seeloknya selepas hapuskan tol Batu Tiga Shah Alam beberapa bulan lalu, tak payahlah jalan ke Bulatan Jalan Pahang itu ditol seperti tiadanya rancangan mengetol Lebuhraya Trans-Borneo yang sedang dibina sekarang.

Subki 1Harapan Najib membatal tol bergantung kepada kesan Manifesto Mahathir bahawa Harapan akan memansuhkan tol. Jika manifesto Harapan itu laku, maka Najib akan membuat manifesto bertulis mengakhiri tol. Jika ia tidak laku menanggung kita sampai mati.

Dan Najib juga dipercayai menunggu memulangkan paku buah keras betapa yang meniagakan lebuh raya itu ialah Dr. Maahthir. Macam penyangak zaman Nabi Syuaib dulu menunggu di laluan penting. Pengguna laluan di tol dan dagangan dirompak. Anak-anak raja kita di zaman purba diibaratkan seperti menahan lukah di tempat genting. Siapa yang lalu lalang selamat jika membayar tol.

Tol zaman itu tidak bergezet. Bila Mahathir memajukan sistem lebuh raya bagi memesatkan perdagangan diperudang sistem tol.

Sebagai pengerusi Harapan dan calon Perdana Menteri sementara, Mahathir mengumumkan Manifesto Harapan tanpa tol.

Ia adalah cabutan Manifesto Pakatan Rakyat dulu berjanji untuk memansuhkan tol. PAS, PKR dan DAP setuju jika Putrajaya diambil tol pun habis.

Kerana tol itu dasar Mahathir. Dia yang mahu macam itu, maka dia pertahankan macam Najib mempertahankan GST sekarang. Dan kalau BN kalah kali ini dan Najib kekal dalam politik sebagai ketua pembangkang pula, maka manifesto Najib buat PRU15 akan memansuhkan GST pula?

Sebagaimana oang tidak terfikir Mahathir akan terjerumus ke lembah pembangkang, orang tidak terfikir Mahathir menjadi pengerusi perangka manifesto untuk untuk membatalkan tol. Tidak pelik bagi Anwar, Kit Siang dan PAS yang bersendirian sekarang untuk memansuhkan tol. Itu yang pembangkang mahu sejak sistem tol itu diguna dan ia yang Anwar tuntut sejak PKR ditubuhkan.

Lebuh raya bertol itu adalah seperti anak yang Mahathir lahir dan bidani sendiri samalah seperti membidani Mukhriz dan anak-anaknya yang lain.

Maka tol bagi Malaysia sepanjang 30 tahun ini adalah selari dengan politik dan pentadbiran Mahathir. Selagi berkuasa Mahathir tidak terfikir sesiapa tol itu berakhir. Dengan konsesi dan bebannya yang tidak terkira, tidak diketahui bila akan habis.

Kuasa Mahathir berakhir tetapi janji tolnya berterusan. Dia akan mati, tetapi tol payah mati dan ditinggalkannya untuk diwarisi rakyat.

Semua tahu bahawa baharu tidak kekal. Yang kekal hanya Allah. Tol itu pun baharu, tidak kekal juga. Mungkin generasi tol yang ada mati belaka, mungkin lepas itu tol binasa.

Mahathir yang ada sekarang seperti bukan Mahathir dulu lagi. Dia yang menggubal sistem tol yang ada, dan dia pula di barisan depan untuk menghapuskan tol.

Geli dan menggelikan. Dia yang cipta tol dan dia hendak hapuskan pula. Mahathir itu keras orangnya. Kini seperti lembut dalam keras. Dia juga baharu. Tidak sentiasa keras dan tidak sentiasa lembut.

Jika tol itu menindas, maka Mahathir sekarang yang menebus penindasannya. Mengakhiri penindasan dengan menghapuskan penindasan adalah betul dan mulia. Penindasan itu boleh diakhiri jika Mahathir berkuasa semula. Bila tidak berkuasa semula, apapun tidak dapat dibuat. – HARAKAHDAILY 21/3/2018