Manifesto PAS yang terawal dan yang terbaharu

Kolumnis
Typography

PAS adalah pihak kedua dari tiga komponen parti yang mengumumkan manifesto pilihan rayanya yang mengandungi sembilan teras utama. Yang pertama HARAPAN dan belum berbuat demikian Barisan Nasional.

Ketika rencana ini ditulis belum melancarkannya. Ia baru sekadar mengumumkan terasnya dan huraiannya baru diperolehi pada pelancarannya nanti.

Subki 2Untuk itu saya salin terasnya tanpa komen sementara menunggu apa yang tersirat dari parti yang melahirkan dokumen itu dan membandingkannya dengan manifesto yang terawal yang keluarkannya menjelang PRU 1955 sebelum merdeka dan sebelum ia dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Masa itu tiada yang tahu apa gerangan yang dikatakan manifesto itu.

Manifesto yang terbaru untuk PRU14 dengan bahasa dan teknik sesuai dengan pencapaian dan kemajuan rakyat pada masa ini, dan yang pertama dulu sesuai dengan tapak pemikiran dan politik pengundi pada masa itu.

Berikut adalah teras yang sembilan itu yang dinamakan Malaysia Sejahtera untuk amatan awal pakar dan penganalisis politik sebelum mereka membaca dokumen sepenuhnya dan huraian dari PAS seperti berikut:

1. Pembentukan sebuah krajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas rasuah;
2. Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu untuk rakyat;
3. Pemberdayaan rakyat untuk meredakana kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup;
4. Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar;
5. Peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang;
6. Pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak syariah;
7. Pengukuhan semula konsep federalism dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri;
8. Pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi;
9. Penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.

Berikut adalah salinan manifesto pilihan raya tahun 1955 itu seperti yang terdapat dalam buku Perjuangan PAS 1951-1970 oleh Dr. Ismail Said terbitan Buku Harakah:

SIASAH (Politik)

1. Menyemak dan menyusun semula perjajian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuai dengan hasrat rakyat;
2. Berusaha supaya sekalian Ahli Majlis Mesyuarat sama ada Majlis Persekutuan, Negeri, Jajahan, Selat dan bandaran semua sekali dipilih oleh rakyat;
3. Mengakui kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia sebagai raja-raja berperlembagaan;
4. Berusaha menghapuskan dasar pindu terbuka, yakni menahan kemasukan orang-orang dagang ke Tanah Melayu yang membahayakan kedudukan anak negeri;
5. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia;
6. Berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya Bahasa Melayu diamal benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan;
7. Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan saja;
8. Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan dengan secepat mugkin; dan
9. Berikhtiar bersungguh-sungguh peraturan-praturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksana cita-cita Islam.

IKTISAD (ekonomi)

1. Berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk memajukan pertanian, perusahaan, perniagaan dan pelayaran (Pelajaran?);
2. Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli);
3. Berikhtiar supaya Negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya;
4. Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas bagi membantu perkembangan ekonomi orang Melayu;
5. Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan;
6. Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan Negara dengan seberapa kecil yang boleh dengan memotong segala perbelanjaan yang tidak mustahak;
7. Berikhtiar mengadakan peraturan-peratran untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, perniagaan, perusahaan dan sebagainya;

KETENTERAAN

1. Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja unuk menjamin keselamatan Negara;
2. Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan supaya tempat mereka diganti dengan askar-askar kebangsaan saja;
3. Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya darurat dapat ditamatkan dan supaya undang-undang darurat dihapuskan;
4. Berusaha supaya diadakan perkhidmatan Negara untuk menjamin keselamatan Negara;
5. Menggalakkan supaya rakyat mula mengambil sebahagian dalam pertahanan Negara ini.

PELAJARAN DAN PENDIDIKAN

1. Mengambil langkah supaya tiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuai dengan kemajuan;
2. Pelajaran Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam;
3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-seolah dewasa dengan seberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi;
4. Berikhtiar dan berusaha supaya Sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah Negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara;
5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasasr pelajaran.

KEBAJIKAN

1. Berikhtiar dengan bersunggh-sungguh supaya tahanan-tahanan darurat dapat dibebaskan dengan segera atau dihadapkan ke muka pengadilan;
2. Berikhtiar supaya dapat menjalankan undang-undang terhadap perkara-perkara pelacuran, perjudian, minuman keras, permakanan riba dan sebagainya;
3. Mengadakan peraturan-peraturan yang tegas mengenai (peng)hiburan, pertunjukan, bacaan, filem-filem dan sebarang apa yang boleh menyebabkan jatuhnya akhlak rakyat;
4. Berikhtiar membaiki kesihatan, terutama di kawasa luar bandar;
5. Berikhtiar memperbaiki nasib fakir miskin dengan mengadakan rancangan yang menjamin hak hidup mereka; dan
6. Berikhtiar dan berusaha supaya hal-hal kebajikan tempatan diselengarakan dengan sebaik-baiknya.

Ketika manifesto ini dibuat PAS baru berusia dua tahun. Ia belum ditubuhkan di semua negeri di Semenanjung dan dalam pilihan raya itu ia hanya meletakkan 11 calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Rata-rata ia dianggotai oleh lulusan sekolah agama dan orang professional amat terhad sekalipun ia ketika itu dipimpin oleh Dr. Abas yang berpendidikan sistem pendidikan barat tetapi tidak pernah belajar di luar negeri.

Manifesto itu dirangka dengan mengambil kira penduduk Tanah Melayu adalah anak tempatan dan orang dagang kebanyakannya adalah pemegang pasport British. Majoriti yang rendah saja menjadi rakyat dan pengundi.

Isu kebanjiran orang dagang menjadi perbincangan di kalangan orang tempatan tetapi ia tidak didorong oleh sentimen perkauman. Ia berbangkit justeru rakyat terancam oleh kebanjiran orang dagang justeru itu menjejas kepentingan anak negeri.

Yang dibangkitkan ialah seperti rakyat semua kaum sekarang membincangkan kebanjiran begitu ramai orang dagang dari Indonesia dan Bangladesh hingga menjejaskan peluang pekerjaan dan ekonomi rakyat berbagai kaum itu.

Yang amat peka atas isu itu masa itu ialah orang PAS samalah seperti kepekaan berbagai parti politik dan kaum sekarang atas kehadiran pekereja Indonesia dan Bangladesh itu. Tidak adil dianggap perkauman bagi rakyat berbagai kaum peka mengenainya kerana mereka rakyat. Demikian kepekaan PAS masa itu.

Maka manifesto PAS itu dirangka dengan latar belakang demikian. – HARAKAHDAILY 20/3/2018