Penyatuan politik Islam S'wak tapak awal tertubuh PAS

Kolumnis
Typography
PERGERAKAN politik Islam di Sarawak agak ketinggalan berbanding dengan negeri lain kerana demografinya yang agak berbeza, terutama setelah diperintah oleh Raja Brooke selama 105 tahun (1841-1946), walaupun sebelumnya Sarawak adalah merupakan wilayah Kesultanan Brunei. Dengan populasi umat Islam sekitar 30 peratus ketika Sarawak mencapai kemerdekaan pada 1963, kemunculan tokoh ulama besar seperti Sheikh Othman Abdul Wahab Sarawak (m. 1921) atau tokoh pejuang seperti Datu Patinggi Abang Ali Abang Amir (m. 1844) dan Rosli Dhobi (m. 1950), ia tidak mampu memberikan dampak terhadap pergerakan Islam di wilayah Borneo itu.
 
Pada era 1940-an, telah muncul pergerakan politik Melayu di Sarawak dengan penubuhan Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) dan Barisan Pemuda Sarawak (Barip Sarawak), sebelum mereka menubuhkan Parti Negara Sarawak (Panas) pada 1960 dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) pada 1961. Panas yang ditubuhkan oleh Datuk Bandar Abang Mustapha adalah bertujuan untuk membela kaum Bumiputera Sarawak, khususnya orang Melayu, manakala Barjasa pula tertubuh kerana ketidakpuasan hati orang Melayu dan Melanau terhadap Panas dengan dipimpin oleh Tuanku Bujang Tuanku Osman. 
 
Kebanyakkan tokoh agama di Sarawak pada dekad 1960-an seperti Haji Suut Tahir, Ustaz Mohamad Mortadza Haji Daud, Ustaz Abdul Kadir Hassan dan Haji Busrah yang berpengaruh di kalangan umat Islam menganggotai Barjasa. Tokoh intelektual Islam seperti Haji Abdul Rahman bersama anak saudaranya, Abdul Mahmud juga turut mendukung perjuangan Barjasa. Dalam bulan Oktober 1962, untuk menyatukan semua parti politik di Sarawak dalam menghadapi rancangan penubuhan Malayasia, sebuah badan politik, Barisan Bersatu Sarawak (Perikatan) telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh lima parti termasuk Panas dan Barjasa, selain Parti Persaka Anak Sarawak (Pesaka), Sarawak National Party (SNAP) dan Persatuan Cina Sarawak (SAC). Mereka kemudiannya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Sarawak 1963.
 
Krisis politik Sarawak yang tercetus akibat isu Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan pada 1965-1966, parti-parti Barjasa, Panas dan Pesaka telah bergabung membentuk Perikatan Peribumi pada hujung tahun 1966. Ketika Abdul Rahman Yaakub mengetuai Jawatankuasa Tindakan Negeri Sarawak akibat darurat 13 Mei 1969, dan kaum Bumiputera Islam dalam Panas dan Barjasa berhasil disatukan di bawah parti Bumiputera dan memulakan pengaruh politik Islam ke atas Sarawak dengan Abdul Rahman Yaakub menjadi Ketua Menteri mulai 1970, setelah menjadi Menteri Persekutuan mulai 1963 dan bertanggungjawab terhadap penyatuan politik Bumiputera Islam. Pada 1974, Bumiputera telah bergabung dengan Pesaka membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebelum muncul serpihan parti Melayu, Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) pada 1978.
 
Salah satu kesan terbesar akibat penyatuan politik Islam di Sarawak ini ialah penubuhan Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA) yang ditubuhkan pada 19 Mei 1968. Abdul Rahman Yaakub dilantik sebagai Presiden, Ustaz Anis Abot sebagai Setiausaha dan Abdul Taib Mahmud sebagai Bendahari. Sebagai sebuah organisasi agama, BINA telah menganjurkan program-program dakwah, aktiviti keagamaan dan mengajak kepada penyatuan politik umat Islam. Penubuhan BINA ini dikatakan salah satu program persiapan pimpinan Bumiputera Islam dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 1970. Dalam pilihan raya tersebut, Bumiputera telah berjaya memenangi 12 daripada 48 kerusi DUN dan dapat membentuk kerajaan campuran di negeri tersebut.    
 
Peranan yang dimainkan oleh BINA, khususnya terhadap perkembangan dakwah Islam di Sarawak adalah seperti peranan USIA di Sabah pada zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun. BINA yang kemudiannya dikenali sebagai Harakah Islamiyah (HIKMAH) mulai 1994 telah berjaya meng-Islamkan seramai 2,236 orang antara 1973 hingga 1980, selain membantu Ketua Menteri, Datuk Abdul Rahman Yaakub mengukuhkan kedudukan Islam di Sarawak termasuk penamaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam dan pembentukan Mahkamah Syariah di Sarawak dalam tahun 1970-an. Perkembangan ini telah membantu peningkatan kesedaran Islam di Sarawak sehingga akhirnya PAS dapat mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan PAS Kawasan Bintulu pada 1985 dan PAS Sarawak pada 1996.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 19/1/2018