Teks tarbiyah PAS karya Dr Fathi Yakan

Kolumnis
Typography
PELAKSANAAN Sukatan Tarbiyah PAS 1982 sebagai aplikasi kepada program tarbiyah haraki oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat telah mengenal pasti teks-teks rujukan untuk digunakan dalam program-program tarbiyah PAS. Tujuan utama penggunaan teks rujukan ini adalah untuk menyelaraskan pemikiran dan tindakan ahli-ahli PAS dalam menggerakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Salah seorang tokoh murabbi gerakan Islam antarabangsa yang menjadi rujukan ialah Sheikh Dr Fathi Yakan iaitu pemimpin Ikhwanul Muslimin Lubnan. Antara karya beliau yang terkenal ialah Qawarib an-Najah fi Hayah ad-Du’ah atau Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah.
 
PAS telah memilih untuk menjadikan karya terkenal Dr Fathi Yakan ini sebagai teks tarbiyahnya, khusus untuk tujuan pembinaan syakhsiah ahli-ahli sebagai pendakwah. Sebagai pendakwah, ahli-ahli dan pemimpin PAS perlu mempunyai kekuatan dalaman melalui pengukuhan iman kepada Allah dan mengenali musuh-musuhnya dari kalangan orang-orang kafir dan munafik, sedangkan iman itu mempunyai ciri-cirinya yang disebutkan oleh al-Quran, sekali gus menghendakkan setiap pendakwah mempunyai amalan-amalan yang melibatkan hubungan dengan Allah dan juga manusia. Pemilihan buku ini sebagai teks tarbiyah dapat menjawab persoalan-persoalan yang berlegar di sekitar pendakwah.
 
Buku Bahtera Penyelamat yang diterbitkan pertama kali di Malaysia oleh Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam pada 1985 telah diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Dr Zawawi Ali, di mana ia mengandungi empat bahagian utama. Bahagian pertama membahaskan tentang rintangan yang dihadapi dalam kehidupan pendakwah, manakala bahagian kedua membahaskan tujuh ciri keimanan yang mesti dimiliki oleh pendakwah. Dalam menghadapi cabaran dakwah, bahagian ketiga menjelaskan bekalan-bekalan yang mesti disediakan oleh pendakwah, sedangkan pada bahagian kelima di jelaskan dayung yang menjadi penyelamat dalam perjuangan seseorang pendakwah. 
 
“Keistimewaan golongan ini (pendakwah) tentunya kerana ketinggian dan keikhlasan amal-amal kerohanian yang membasahi kehidupan angkatan muharrik Islam yang seluruh keupayaannya dan jiwa raga mereka dinafkahkan ke jalan Allah,” demikian ulasan Ustaz Ya’qub Muhammad Hussin, pemilik Dewan Pustaka Fajar ketika mengulas yang hasil yang hendak dibina terhadap golongan pendakwah melalui buku ini. Dengan harapan dan sasaran yang begitu tinggi inilah, PAS telah menjadikan buku Bahtera Penyelamat ini sebagai salah satu sumber rujukan tarbiyah dalam pembentukan ahli-ahlinya, dan ia telah digunakan oleh PAS dalam program tarbiyahnya semenjak pertengahan 1980-an.
 
Sheikh Dr Fathi Yakan, penulis buku ini merupakan seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Lubnan yang dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Utara Lubnan dan meninggal dunia pada 13 Jun 2009. Beliau yang berkelulusan kedoktoran falsafah dalam bidang pengajian Islam telah memimpin Front Amal Islam, iaitu sebuah cabang Ikhwanul Muslimin dan menghasil lebih 35 buah karya berkait pembentukan gerakan Islam, selain menubuhkan sebuah universiti, Jami’ah al-Jinan bersama isterinya, Dr Muna Haddad. Pada 1992, beliau menduduki kerusi Parlimen Jordan sebagai strategi dakwah silmiyah. Dalam sejarah gerakan Islam, pada 1964, Dr Fathi Yakan bersama Dr Faisal Maulawi telah menubuhkan al-Jamah al-Islamiyah, sebelum menubuhkan Jabhat al-Amal al-Isalami (Front Amal Islam) pada 2006.
 
Ulasan dan huraian Dr Fathi Yakan terhadap kehidupan pendakwah dalam buku ini menjadi begitu berkesan kerana ia bukan semata-mata bertolak dari keilmuan yang dimiliki oleh beliau yang begitu mendalam, tetapi juga oleh pengalaman dan penglibatan beliau dalam amal Islami sehingga beliau sangat dihormati sebagai tokoh gerakan Islam yang berwibawa pada abad ke-20. PAS sendiri, selain buku Bahtera Penyelamat, turut menjadikan beberapa karya beliau yang lain seperti Maza Yakni Intima’i lil Islam, Mutasaqitun Ala Tariq ad-Dakwah, Abjadiyat at-Tasawur al-Haraki lil Amal Islam, Kaifa Nad’u ila al-Islam dan lain-lain.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 15/1/2018