PAS cipta sejarah dalam PRU T'ganu 1959

Kolumnis
Typography
SEMENJAK berlakunya perubahan politik selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu mula mengadakan Pilihan Raya Umum peringkat negeri secara berasingan bermula di Perlis dan Kedah pada 20 Mei 1959, dan berakhir di negeri Pahang pada 27 Jun 1959. Negeri Terengganu adalah negeri yang pertama di Pantai Timur mengadakan Pilihan Raya Umum Negeri iaitu pada 20 Jun 1959, sebelum Pilihan Raya Umum Persekutuan diadakan pada 19 Ogos 1959. Kemenangan ini juga menjadi sejarah kerana inilah kemenangan pertama gerakan Islam di seluruh dunia dalam sistem demokrasi sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 1924.
 
PAS yang pertama kali menyertai Pilihan Raya Umum di Terengganu telah melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan Perikatan dan Parti Negara dengan memperolehi 13 daripada 24 kerusi DUN yang dipertandingkan. PAS tidak menyertai Pilihan Raya Negeri Terengganu pada 29 Oktober 1954, kerana PAS Terengganu hanya ditubuhkan pada 6 Julai 1956. Ketika menyertai Pilihan Raya Umum ini, usia PAS Terengganu baru mencecah tiga tahun.
 
Hari penamaan calon diadakan pada 16 Mei 1959, di mana PAS Terengganu telah berjaya menghantar calon untuk bertanding di kesemua 24 kerusi DUN yang dipertandingkan. Berikut adalah kerusi-kerusi DUN yang disertai oleh PAS iaitu Kuala Besut, Kg Raja, Ulu Besut, Besut Tengah, Setiu, Jeram, Langkap, Kuala Nerus, Batu Rakit, Kuala Terengganu Tengah, Batu Buruk, Bandar, Ladang, Bukit Besar, Binjai, Ulu Terengganu Timur, Ulu Terengganu Barat, Marang, Sura, Ulu Dungun, Paka Kerteh, Kemaman Utara, Chukai dan Kemaman Selatan.
 
Sebelum pilihan raya ini berlangsung, PAS telah mempunyai seorang wakil di Majlis Undangan Negeri Terengganu apabila Ahli Majlis Undangan Negeri Terengganu Kawasan Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar menyertai PAS dari Perikatan selepas tidak berpuas hati dengan Umno dalam rundingan kemerdekaan pada 1957. Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Terengganu 1959 ini, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar sekali lagi bertanding dengan mewakili PAS dan dapat mempertahankan kerusi tersebut. Calon-calon PAS yang berjaya dalam pilihan raya ini ialah Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut), Mohd Sanari Yunus (Kg Raja), Ustaz Hussin Jusoh (Ulu Besut), Mohamad Ismail (Besut Tengah), Mohd Daud Abdul Samad (Setiu), Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanafiah (Jeram), Tuan Guru Haji Abdul Kadir Muhammad (Kuala Terengganu Tengah), Tuan Guru Haji Syafie Long (Binjai), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Timur), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang), Abu Bakar Mohd Salleh (Sura) dan Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun).
 
Sedangkan calon-calon PAS yang tewas pula ialah Mohd Rashid Su (Batu Rakit), Tuan Guru Haji Abbas Mohamad (Kuala Nerus), Ngah Awang (Langkap), Su Mahmud Dato’ Amar (Batu Buruk), Mohamad Chik (Bandar), Da Abdul Jalil Awang (Ladang), Syed Ahmad Khalid (Bukit Besar), Ahmad Mahmood (Paka Kerteh), Abdul Rahman Salleh (Kemaman Utara), Wan Ngah Abdul Rahman (Chukai) dan Syed Noh Alwee (Kemaman Utara). Perikatan telah memprolehi tujuh kerusi dan Parti Negara memenangi empat kerusi di 11 DUN yang PAS tewas ini.
 
Hasil daripada kemenangan yang dicapai oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum Negeri Terengganu pada 20 Jun 1959 ini, PAS telah membentuk kerajaan yang diketuai oleh Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) sebagai Menteri Besar Terengganu. Walau bagaimanapun, akibat krisis kepemimpinan yang berlaku, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang dalam undi tidak percaya pada 30 Oktober 1961. Dalam krisis kepemimpinan ini, Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanafiah (Jeram) dan Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang) yang masing-masing merupakan Exco Kerajaan Negeri dan Speaker DUN telah bertindak keluar PAS, manakala ADUN Parti Negara, Ismail Abbas (Langkap) pula bertindak menyertai PAS. 
 
Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanifah yang menyertai semula PAS sebelum usul undi tidak percaya tersebut telah bertindak untuk berkecuali dalam pengundian bersama Ustaz Hussin Jusoh (Ulu Besut) dan Mohamad Ismail (Besut Tengah), sedangkan Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) tidak hadir kerana diculik oleh agen Umno di Kuala Lumpur. Seorang lagi ADUN PAS, Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat) diperintahkan keluar Dewan. Selepas undi tidak percaya ini, PAS telah memecat keahlian tiga ADUN yang berkecuali tersebut kerana mengkhianati parti, sedangkan dua ADUN yang diculik mengisytiharkan penyertaan mereka dalam Umno kemudiannya.
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 14/1/2018