Islam: Agama dan kedaulatan - karya pemikiran politik yang diharamkan

Kolumnis
Typography
PERUBAHAN politik dunia ekoran kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 3 Mac 1924 telah membentuk kesedaran ulama untuk membincangkan mengenai kepentingan politik, pemerintahan dan kenegaraan dalam sistem hidup umat Islam. Fahaman sekular yang melanda umat Islam akibat penjajahan Barat telah memyebabkan mereka memandang serong kepada sistem politik Islam, bahkan menganggap politik bukan sebahagian daripada agama. Menghadapi penularan fahaman sesat inilah, para ulama Melayu mula menuliskan tentang pemikiran politik Islam.
 
Di kalangan ulamak Tanah Melayu, yang terawal memperkatakan tentang politik Islam selepas jatuhnya kekhalifahan ialah Tuan Hussin Kedah melalui karyanya, "Taslih Buldan" pada 1936, diikuti oleh Maulana Abdullah Noh dengan "Semangat Perajurit-perajurit Muslimin" pada 1947. Selepas Perang Dunia Kedua, Ustaz Zulkifli Mohamad telah menghasilkan karyanya, "Masyarakat dan Syariat" pada 1954, manakala Dr Burhanuddin al-Helmy menghasilkan "Agama dan Politik" dalam tahun yang sama, sebelum Sheikh Abdul Qadir al-Mandili menuliskan "Islam: Agama dan Kedaulatan" pada 1959, serta "Tatanegara Islam," karya Ustaz Budiman Radhi terbitan 1963. Perkembangan ini banyak didorong oleh kesedaran para ulamak tentang kegelinciran pemikiran umat berkait dengan politik dan kenegaraan.
 
Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah "kemerdekaan yang kosong" menurut pendapat Dr Burhanuddin al-Helmy kerana perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam di atas kemerdekaan telah digagalkan oleh pemikiran kebangsaan sekular Umno. Para ulama PAS selain Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Zulkifli Mohamad, termasuklah Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dan Ustaz Budiman Radhi mula membahaskan secara akademik tentang hakikat kenegaraan dan pemerintahan menurut kaca mata Islam. Atas sebab inilah, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili menghasilkan beberapa karya lain seperti "Pendirian Agama Islam Daripada Kaum Feudal dan Kapitalisme dan Sosialis dan Komunisme;" "Menakutkan Daripada Memasukkan Kanak-kanak ke Dalam Sekolah Bangsa Kafir;" dan "Kebagusan Undang-undang Allah dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia."
 
Sheikh Abdul Qadir Abdul Mutalib al-Mandili (1910-1965) adalah seorang ulamak yang berasal dari Tanapuli Selatan, Sumatera. Beliau yang berketurunan Mandailing ini telah mendapat pendidikan Belanda di Tanapuli sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan belajar agama di beberapa pondok di Kedah antara 1924-1936. Salah seorang guru beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim Abdul Qadir (Pak Chu Him Gajah Mati), sebelum berguru dengan Sheikh Wan Ismail Abdul Qadir (Pak Da Eil) dan ulamak-ulamak lain di Mekah sejak 1936. Setelah itu beliau menjadi guru di Masjidil Haram dan berjaya menghasilkan 24 buah kitab berbahasa Melayu dan Arab dalam pelbagai bidang. Karya beliau yang paling terkenal ialah Penawar Bagi Hati, kitab tasawuf yang masih digunakan di masjid-masjid institutsi pendidikan Islam di seluruh Nusantara. Beliau dikatakan memainkan peranan utama terhadap penubuhan PAS Cawangan Mekah pada 1954.
 
Selain bidang ilmu tasawuf dan fiqh ibadat, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili juga telah berjaya menghasilkan kitab fiqh siyasah, "Islam: Agama dan Kedaulatan" yang dicetak kali kedua untuk Tanah Melayu pada 1959 oleh The United Press, Pulau Pinang hasil susunan semula oleh Pak Chu Him. Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dalam kata pengantarnya menyebutkan bahawa buku ini ditulis sebagai "hadiah kepada saudara-saudara yang berjuang di lapangan agama Islam." Ia merupakan respon beliau terhadap kegagalan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam sesudah kemerdekaannya, selain mengulas isu-isu berkait hukum kerjasama dengan orang bukan Islam, masalah loteri Umno, hukum menyokong selain daripada parti Islam dan sebagainya.
 
Kitab "Islam: Agama dan Kedaulatan" ini telah menghuraikan tentang pemerintahan Islam, menghukum sebagai tabiat Islam, sifat-sifat kerajaan Islam, tanggungjawab kerajaan melaksanakan hukum Allah, musyawarah dalam pemerintahan, kekhalifahan dan hukum berkongsi dengan orang kafir dalam memerintah negara. Di bahagian akhir kitab ini, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili telah menjawab isu-isu yang berbangkit di Tanah Melayu berkait politik dan undang-undang Islam. Walau bagaimanapun, ketika tercetusnya isu takfir pada tahun 1963, Kerajaan Perikatan dikatakan telah bertindak mengharam kitab ini kerana kandungannya dikatakan merugikan politik Umno.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 5/1/2018