Tarbiyah Haraki pemangkin kebangkitan PAS

Kolumnis
Typography
TARBIYAH adalah elemen pembeza yang paling ketara dalam gerakan politik di Malaysia terutamanya untuk membezakan antara PAS dengan parti-parti politik yang lain. Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS bergerak melalui tiga tunjang utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah. Lalu elemen tarbiyah inilah yang membina kekuatan yang menunjangi perjuangan PAS, di mana ahli-ahlinya begitu kental mempertahankan dasar, tujuan dan hala tuju perjuangan mereka.
 
"Tarbiyah" adalah perkataan bahasa Arab yang berasal dari akar kata "raba yarbu tarbiyah" yang bermaksud pendidikan dan pengasuhan. Dari segi istilah, tarbiyah memberi makna suatu cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik. Tarbiyah Islamiyah adalah proses penyiapan manusia yang shalih, yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, tujuan, ucapan dan tindakannya secara keseluruhan.
 
Kerana pentingnya tarbiyah ini, maka semua gerakan Islam meletakkan tarbiyah sebagai komponen utama mereka, di samping politik (siasah) dan dakwah. Sarekat Islam yang wujud sejak akhir 1905 di Indonesia telah membentuk sistem tarbiyahnya sendiri terutama di bawah Haji Omar Said Cokroaminoto dalam menghadapi ancaman Sosialisme selepas 1912, dan disambung oleh Pak Natsir dalam Masyumi sejak 1943. Sedangkan as-Syahid Hassan al-Banna sangat terkenal dengan model tarbiyah Ikhwanul Muslimin semenjak 1928, sebelum Syed Abul A'la al-Maududi membangunkan model tarbiyah Jamiat Islami di India pada 1941.
 
Dalam sejarah PAS sendiri, program tarbiyah telah wujud semenjak awal 1950-an lagi di mana PAS memberi fokus untuk membentuk generasi baru melalui pentarbiyahan kepada para pelajar dan pemuda. Melalui gerakan pelajar, Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan pada 1954, PAS telah mengembangkan tarbiyah kepada para pelajar di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Tanah Melayu. Mulai 1963, Dewan Pemuda PAS menjadikan teks-teks tarbiyah Ikhwanul Muslimin sebagai rujukan tarbiyah mereka, selain buku-buku dari Indonesia. Sedangkan mulai 1965, lebih banyak perkemahan tarbiyah, kursus-kursus dan latihan kepemimpinan diadakan, termasuk Gerakan Syuhada dan Gerakan SPEM yang diadakan pada akhir 1970-an.
 
Menjelang pertengahan 1970-an, kemunculan tokoh-tokoh ulamak muda yang menerima tarbiyah Ikhwanul Muslimin seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Yahya Othman dan lain-lain telah mengembangkan sistem tarbiyah haraki dalam PAS. Semenjak itu, pergerakan tarbiyah PAS menjadi lebih tersusun, terarah dan mengikuti manhaj yang bertepatan dengan perkembangan semasa. Bahkan, mulai 1982, Lajnah Tarbiyah PAS Pusat telah menyiapkan Sukatan Tarbiyah PAS sebagai panduan keseluruhan gerakan tarbiyah haraki PAS, terutama dalam menghadapi tarbiyah yang disusun oleh ABIM dan IRC sejak pertengahan 1970-an. Kini, sistem tarbiyah haraki telah dilaksanakan sepenuhnya dalam PAS di semua peringkat.
 
Program tarbiyah haraki dan perkaderan ini telah mengubah tarbiyah PAS dari aspek program dan aktiviti, keahlian dan kepemimpinan serta peranan ulama dalam membangunkan parti. Dengan slogan "Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, al-Quran panduan kami, jihad jalan kami dan syahid cita-cita kami," PAS telah berjaya membina kekuatan syakhsiah ahli-ahlinya dalam perjuangan menegakkan agama Allah.
 
Secara umumnya, tarbiyah haraki adalah program tarbiyah berkala dalam membentuk peribadi muslim sebagai pejuang Islam melalui usrah, tamrin, mukhayyam, rehlah, nadwah, liqa fikri dan juga ijtimak yang melibatkan seluruh ahli PAS di cawangan, kawasan, negeri dan pusat. Peringkat tarbiyah harakiyah ini disusun dalam tiga tahap iaitu taarif (pengenalan), takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
 
Kegagalan ahli-ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat dalam mengikuti program tarbiyah haraki ini akan menyebabkan berlakunya pergeseran fikrah dan konflik dalam amal. Sebahagian besar isu keciciran dari jalan dakwah adalah difaktorkan oleh kegagalan proses tarbiyah yang dilalui oleh mereka, sehingga mereka tidak dapat menghadapi serangan pemikiran moden dan penyelusupan musuh, tidak memahami stategi politik berasaskan siyasah syar'iyah, melepaskan pergantungan kepada Allah dan hilang keyakinan kepada Islam, yang akhirnya menyebabkan berlaku perubahan hadaf dalam perjuangan dan gagal untuk istiqamah bersama Islam.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 4/1/2018