Moga-moga Mahfuz yang terakhir

Kolumnis
Typography

MUNGKIN Datuk Mahfuz Omar pembesar PAS yang terakhir meninggal PAS sebelum meninggal dunia dalam kejadian pecah PAS tahun 2015.
      
Mungkin ada satu dua Adun yang ikut yang tahu tidak tersenarai lagi sebagai calon. Jika ada depa bukan anatara 18 orang ternama PAS yang bertemu di Muar sejurus selepas Muktamar PAS memutuskan tahaluf dengn DAP. Pertemuan di Muar itulah menyarankan keluar PAS dan tubuh parti lain.
       
Jika di Muar juga tahun 1950 jadi tempat pertemuan alim ulama UMNO membincang awal untuk menubuh parti lain yang tahun 1951 terbentuklah PAS, maka di bandar itu juga 18 orang penting PAS mahu tinggal PAS.
     
Dua daripadanya keluar PAS tapi tidak sertai parti kumpulan itu. Mereka ikut PKR. Seorang daripadanya cabut pula daripada PKR. Mahfuz tidak ikut mereka. Dia berfikir panjang dari jauh tentang kedudukannya dalam PAS dan cara mana hendak membawa PAS supaya dapat kembali dalam pakatan pembangkang pada PRU14.
       
15 daripada 18 itu tubuh parti baru. Mahfuz isytihar cuti daripada PAS untuk berfikir dan cari jalan supaya PAS kembali ke pangkuan Pakatan. Tetapi dia tidak bertemu dan berbincang dengan PAS. Dipercayai dia berbincang dengan kumpulan yang tinggal 15, dengan PKR, DAP dan Dr. Mahathir yang baru tinggal UMNO.
      
Dia seru PAS dari jauh sama seperti PAS seru UMNO dari jauh supaya masuk PAS. Dia bincang dan minta nasihat dari semua tapi tidak minta nasihat daripada PAS. Lebih dua tahun dia memerah otak. Acap bersama PKR, DAP dan Dr. Mahathir memikirkan hendak terus dalam PAS atau hendak buat apa dengan PAS.
     
Semuanya menasihatkan baik tinggal PAS sebelum tinggal dunia. Lebih dua tahun memikir sehingga PAS tidak memikirkan dia tidak bersama PAS lagi. Pilihan raya tinggal satu dua bulan lagi, namanya tidak dicalonkan lagi. Tidak keluar PAS, dia tidak dicalonkan juga.
     
Dalam dua tahun lebih itu sikapnya terhadap PAS seolah-olah lebih kritis daripada Rafizi, Guan Eng dan Mahathir.
      
Ia bukan brfikir panjang lagi, tapi lambat buat keputusan. Parlimen pun mungkin tidak sempat bersidang lagi. Tidak keluar PAS pun hendak jadi apa?
      
Orang PAS yang sayang pada Mahfuz dari dulu memang  ramai. Tapi yang mungkin sayang padanya lagi saya saja. Sebagaimana sayang saya pada PAS begitulah sayangnya saya kepadanya. Tapi sayangkan PAS lebih sayang daripada Mahfuz. Dia pun sayangkan PAS. Sayangkan PAS tidak sama dengan sayangkan bini. Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan! Jika sayangkan PAS tinggal-tinggalkan, maka jadilah ia sayang yang tidak difahami.
     
Lebih 30 tahun dia menentang Mahathir dalam PAS, akhirnya dia jadikan Mahathir pemimpinnya. Itulah hebatnya Mahathir dibandingkan dengan TG Haji Hadi. Penentang Mahathir jadi penyokong Mahathir, penyokong TG Haji Hadi jadi penentang Tok Guru.
      
Yang ikut Mahathir dalam PAS sudah tidak ramai. Mahfuz dan satu dua lagi adalah yang terakhir. Semua yang tidak setuju dengan PAS sudah lama keluar. Yang tidak keluar itu pun sudah lama macam keluar. Patutnya Mahfuz adalah yang terakhir.
      
Yang jadi perhatian sekarang bukan lagi yang hendak keluar, tetapi bagaimana dan bila yang keluar itu hendak masuk balik ke dalam PAS?
      
Ini yang ramai tidak fikir, tetapi inilah yang saya fikir. Ituah fikiran saya bila saya terima untuk menjadi Pengerusi Sidang Assabiqun, wadah jasawan orang yang lama dalam PAS yang baharu diwujudkan. – HARAKAHDAILY 4/1/2017