BRIM, KISS bukti uzur Umno urus negara

Kolumnis
Typography

PEMBERIAN BRIM, pengagihan wang tunai bagi keluarga berpendapatan rendah – mungkin yang Islam bangsakan fakir – bermula sebagai pemberian rasuah politik BN bagi pemadat Umno, tetapi sekarang menjadi ikhtiar tetap bagi meringankan golongan miskin.
      
Ia projek PM Najib bagi si miskin Umno, buat tiga empat tahun kebelakangan ini bertukar menjadi program negara bagi meringankan sikit warga yang terhimpit oleh memansuhkan subsidi, kesan GST dan rudum ringgit. Mulanya ia tidak dibajetkan, sekarang ia sebahagian daripada bajet. Untuk berapa lama? Selagi urus negara di tangan pesakit politik.
      
Dan segi penyokong kerajaan BN kenyang dengan dedak dan mabuk dedak.
      
Justeru kegagalan pengisian kemerdekaan oleh kerajaan persekutuan di bawah Umno menggugat kestabilan ekonomi negeri maju Selangor yang sepatutnya sudah mampu berdikari. Gara-gara orang susah seluruh negara berhimpun mencari rezeki di Wilayah Persekutuan dan Selangor, maka sakit negara ini jangkit ke Selangor.
      
Sekalipun kaya-raya, Selangor itu mula oleh urus tadbir Umno juga, tetapi pencapaian Selangor itu oleh tumpuan pembangunan dan pelaburan asing di situ. Tadbir uzur secara umum itu tidak terkesan di Selangor, tetapi negeri-negeri lain tidak upaya mengejar nasib Selangor.
     
Mungkin Malaysia  mampu membangun dibanding dengan negara baru merdeka yang lain, tadbir yang bermula uzur itu gagal menyaingi kejayaan Singapura, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan lain-lain.
     
Malaysia yang ditinggal British teruk sangat kehidupan rakyat. Ia tidak sehancur Jepun dan Korea Selatan yang dilanda perang dunia kedua dan perang Korea. Setelah keluar dari perang Jepun orang Malaya dapat makan nasi tanpa gaul ubi kayu atau pisang muda rebus. Yang kaya Inggeris dan saudagar yang dapat faedah daripada penjajah. Rata-rata rakyat miskin tapi tidaklah fakir sangat.
      
Tanah besar China juga hancur gaga-gara perang Jepun. Ia terus bangsat di bawah komunis. Jepun dan Korea hancur. Taiwan dan Hong Kong tak ada apa-apa. Malaya yang senang sikit jadi tumpuan pengungsi Cina yang lari dari komunis. Sejurus Malaya pun merdeka. Serentak Jepun, Korea Selatan dan Taiwan membangunkan wilayah yang hancur sedang Malaya merdeka mengisi kemerdekaannya.
      
Singapura yang ditinggal British kira-kira sama seperti Malaya yang ditinggal British. Lapan tahun selepas Malaya merdeka, Singapura berpisah daripada Malaysia. Sama-sama Malaysia dan Singapura mengisi kemerdekaan.
      
Lain-lain wilayah yang membangun serentak tadi sekarang adalah wilayah gergasi ekonomi dan kemajuan. Sedang kita wilayah makan nasi tak bercampur rebus ubi kayu dan pisang muda seolah makan dedak. Sekalipun tidak lagi nasi digaul ubi kayu dan pisang muda, tetapi rakyat rata-rata kais pagi makan pagi, makan petang berkais lagi.
      
Wakil Timur Leste jadi tetamu PAS. Mereka tidak sentuh ikan, daging dan ayam yang dihidang. Mereka makan nasi putih tanpa kuah. Jika Umno dan Najib memerintah lagi tidak mungkin kita makan nasi putih tanpa lauk macan Timur Leste?
      
Masih belum ada kebuluran. Tapi anak-anak mula dibagi beg sekolah. Buku dan pensel bercuma. Pakaian sekolah mulai dibagi. Lama selepas merdeka rakyat beli sendiri. Semuanya kini mulai diberi. Selain daripada BRIM. Selangor sebagai negeri kaya terkesan penduduknya dengan uzur tadbir pusat terpaksa adakan KISS, beri barang keperluan bulanan.
     
Sedekah itu bukan kerana Malaysia pemurah, tetapi bukti kegagalan pentadbiran uzur Umno. Ia sebelum kita makan nasi tanpa lauk. – HARAKAHDAILY 3/1/2017