Jamiat Kheir: Penggerak Pan-Islamisme Nusantara

Kolumnis
Typography
GERAKAN kesatuan Islam atau wehdatul Islamiyah (atau ittihad al-Islamiyah dan al-jamiah al-Islamiyah) yang biasa disebut oleh sarjana Barat sebagai gerakan Pan-Islamisme ialah satu gerakan politik Islam yang berkembang selepas Sultan Abdul Hamid II menjadi khalifah pada 1876. Gagasan ini turut diperjuangkan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani yang bergerak di Othmaniyah dan Mesir, kemudian di Perancis sejak 1871. Pada 1882, Syed Jamaluddin telah bergabung dengan Sheikh Mohamad Abduh di Perancis dalam mempelopori pembaharuan pemikiran Islam. Agenda utama pemikiran pan-Islamism adalah untuk menyatukan politik Islam dalam mempertahankan khilafah dan membendung penjajahan. 
 
Gerakan Pan-Islamisme yang mula dipelopori oleh Sultan Abdul Hamid II dan Syed Jamaluddin al-Afghani ini kemudiannya dikembangkan oleh Sheikh Mohamad Abduh dan Sheikh Rashid Ridha. Melalui majalah al-Urwathul Wuthqa dan al-Manar mereka menyebarkan kesedaran pan-Islamisme ini ke seluruh dunia termasuk di dunia Arab, India dan Nusantara. Perkembangan awal pemikiran ini di Nusantara dapat dilihat kepada kewujudan organisisasi pertama di Betawi (Jakarta) iaitu Jamiat Kheir yang ditubuhkan pada 1901 dan penerbitan majalah al-Imam di Singapura pada 1906.
 
Penubuhan Jamiat Kheir atau Djamiat Choir ini tercetus hasil daripada kesedaran kelompok bangsawan Arab di Betawi yang menerima pengaruh dari Sheikh Mohamad Abduh menerusi Urwathul Wuthqa sejak 1884 di Paris. Pada 1898, para pemimpin Arab di Betawi telah mengadakan beberapa siri pertemuan untuk mewujudkan gerakan kesedaran dengan dipimpin oleh Mufti Betawi, Syed Uthman bin Abdullah bin Yahya, hinggalah mereka berjaya membentuk Djamiat Choir pada 1901. Organisasi ini bertujuan untuk menggerakkan kesedaran sosial dan pendidikan Islam dalam menghadapi Kristianisasi dan mempertahankan khilafah Islam. 
 
Pada peringkat awal ini, Djamiat Choir yang dipimpin oleh Syed Ahmad Basandiet telah mendaftarkan organisasinya kepada penjajah Belanda pada 15 Ogos 1903, tetapi tidak diluluskan kerana dilihat sebagai ancaman. Kerana itu pergerakannya ditetapkan untuk orang Arab di Pekojan, Betawi sahaja. Pada 13 Mac 1905, barulah Belanda meluluskan penubuhannya dengan Syed Fakhir Abdul Rahman al-Mashoor sebagai setiausahanya, dan mulai 17 Julai 1905 ia berdiri secara rasmi dengan Syed Idrus Abdullah al-Mashoor sebagai ketua. Seorang pendukung pan-Islamisme, Syed Abdullah Alwi al-Attas turut mengangotainya, walaupun Belanda tidak membenarkan Djamiat Choir terlibat dalam politik. Djamiat Choir mulai 1906 telah membuka keahliannya kepada orang Islam bukan Arab.
 
Perkembangan organisasi Djamiat Choir selepas 1907 sangat membimbangkan Belanda sehingga ia disekat daripada berkembang ke luar Betawi. Walau bagaimanapun Djamiat Choir tetap menubuhkan sekolah-sekolahnya di Banyuwangi, Teluk Bentung, Banten dan lain-lain atas nama "Choir" atau "Choiriyah." Djamiat Choir dianggap pelopor sistem pendidikan moden di Nusantara melalui penubuhan madrasah atau sekolah-sekolahnya. Satu aspek yang menarik ialah hubungan antara Djamiat Choir dengan akhbar-akhbar di Asia Barat yang mengembangkan pan-Islamisme seperti al-Muayyad, al-Liwa, as-Siyasah al-Musyawarah, Samarat al-Funun, al-Qistah al-Mustaqim, Syamsu al-Haqiqah dan al-Adl.
 
Perkembangan yang lebih menarik dalam Djamiat Choir ialah apabila bekas pejuang Tunisia, Muhammad al-Hashimi yang pernah berperang dengan Perancis telah menjadi guru di Djamiat Choir pada 1911, diikuti oleg kedatangan Sheikh Ahmad Syurkati, pejuang pembaharuan Sudan yang sangat anti Inggeris pada 1912. Pada tahun yang sama, Djamiat Choir yang telah mempunyai hubungan dengan tokoh reformis antarabangsa seperti Sheikh Rashid Ridha dan Amir Syakib Arsalan, telah terlibat membantu mangsa Perang Itali di Libya sejak 1911. Di sudut yang lain, Djamiat Choir dianggap berbahaya oleh Belanda kerana wujudnya kerjasama dengan orang Cina, terutama melibatkan Sarekat Dagang Islam (SDI) dan Kong Sing. Revolusi China pimpinan Dr Sun Yat Sen pada 1911 dengan bantuan Cina Muslim dianggap 'boleh berulang' di Indonesia melalui peranan Djamiat Choir dan SDI.
 
Penglibatan Djamiat Choir dalam politik Islam tidak dapat disembunyikan apabila mereka menubuhkan percetakan HV Handel Maatschappij Setija Oesaha di Surabaya pada 1913 dengan dipimpin oleh Haji Omar Said Chokroaminoto sebagai direktor. Setija Oesaha pula menerbitkan majalah Oetoesan Hindia mulai 13 Mac 1913 dengan Chokroaminoto sebagai pengarangnya. Oleh kerana Sarekat Islam yang mula dipimpin oleh Chokroaminoto telah diterima sebagai pergerakan politik yang sah, Djamiat Choir telah bergabung dengan Sarekat Islam dalam pergerakan politik dan pernah didatangi oleh konsul Khalifah Othmaniyah, Abdul Aziz Musawi dan Galib Bek, sehingga ia menerima tekanan Belanda.
 
Bagi membendung perkembangan Djamiat Choir yang dianggap berbahaya ini, Belanda telah mengambil beberapa tindakan antaranya menangkap dan menahan pimpinan Djamiat Choir, menubuhkan Budi Utama (Boedi Oetomo) dengan kebangsaan Jawa untuk menyaingi pemikiran politik Islam pada 1908 dan akhirnya bertindak membubarkan Djamiat Choir pada 1918 atas alasan pergerakan ini tidak ditubuhkan oleh anak Indonesia. Sejak itu, ia bertukar menjadi Yayasan Pendidikan Jamiat Kheir mulai 17 Oktober 1919 yang tidak lagi terlibat dalam politik Islam.
 
Perjuangan Djamiat Choir walaupun dalam waktu yang relatifnya dua dekad sahaja, tetapi telah berjaya menggerakkan kesedaran pan-Islamisme di Nusantara, memulakan sistem pendidikan Islam moden, membina jaringan kerjasama umat Islam global, memajukan percetakan dan penerbitan, serta melahirkan tokoh-tokoh terkenal. Antara tokoh keluaran Djamiat Chori ialah Sheikh Ahmad Syukarti, tokoh reformis Indonesia yang terkenal; Haji Omar Said Chokroaminoto, pemimpin Sarekat Islam yang sangat berpengaruh; dan Kiyai Ahmad Dahlah, pengasas Pergerakan Muhammadiyah pada 1912. 
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Januari 2018 -  HARAKAHDAILY 2/1/20178