Pendidikan agama isu terawal dibawa PAS ke Parlimen

Kolumnis
Typography
PENDIDIKAN agama adalah antara keprihatinan besar para ulama di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua, sehingga pergerakan politik Islam menaja penubuhan Universiti Hang Tuah di Gunung Semanggol melalui Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) pada 16 Mac 1948, sebelum isu penubuhan Kolej Islam Malaya diangkat dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 20-21 Februari 1950. Bahkan, PAS sendiri, sejak awal penubuhannya telah mengadakan usaha-usaha ke arah penubuhan Kolej Islam sehingga wujud cadangan agar rancangan penubuhan Kolej Islam yang dipertanggungjawabkan kepada Jam'iyatul Dakwah Islamiyah Singapura pada 1948 diserahkan kepada PAS.
 
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS sendiri, semenjak yang pertama pada 3 Januari 1953 hingga merdeka, isu pendidikan agama sentiasa dibangkitkan bermula dengan cadangan biasiswa pelajaran agama PAS (pertama - 1953), mewujudkan pelajaran agama Islam di Sekolah Melayu (kedua - 1953),  penubuhan sekolah agama dan Arab oleh PAS (ketiga - 1954), mewujudkan kelas agama di setiap sekolah (keempat - 1955), bantuan kewangan kepada sekolah agama (kelima - 1956) serta desakan supaya disegerakan dana pendidikan agama dan pembukaan kelas agama di sekolah (keenam - 1957), yang memperlihatkan kesungguhan PAS terhadap pembangunan pendidikan Islam di negara ini.
 
Di Majlis Undangan Persekutuan (Parlimen sekarang), Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah membangkitkan pada 20 November 1952 agar kedudukan Sekolah al-Quran diperkasa dan waktu belajar agama di sekolah ditambah ketika membahaskan Penyata Fenn-Wu 1952. Kemudian, selepas Pilihan Raya Umum 1956, wakil rakyat PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (PAS - Krian) telah menyuarakan Manifesto PAS untuk memastikan "pelajaran agama Islam hendaklah diberatkan kepada kanak-kanak..." Di mana pada 14 Mac 1956, beliau telah membangkitkan isu bantuan kepada sekolah agama, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan yang turut dianggotai oleh wakil Krian itu. Jawatankuasa ini membuat kajian antara Ogos hingga Oktober 1956 berkait pendidikan pondok, madrasah, maahad dam kolej Islam.
 
Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, PAS mengatur langkah melalui Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959 untuk mengukuhkan kedudukan pendidikan Islam di negara ini. Hal ini terbayang dalam memorandum PAS kepada Menteri Pelajaran pada 24 Januari 1958, "Memorandum Atas Perkara Pelaksanaan Dasar Pelajaran," yang berkait umur pelajar di sekolah Melayu, sekolah lanjutan (kelas petang dan malam) berbayar, isu bahasa kebangsaan dan pendidikan agama.
 
Setelah Pilihan Raya Umum 1959 tamat, dalam Sidang Pertama Parlimen Pertama yang bermula pada 11 November 1959, PAS telah mula membawa isu-isu pendidikan ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Sebaik sahaja selesai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, majlis mengangkat sumpah ahli parlimen, meluluskan usul mewujudkan Aturan Mesyuarat (Standing Order) dan  pembentukan Committee of Selection untuk tujuan tersebut, PAS terus membahaskan isu-isu rakyat mulai 25 November 1959.
 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Utara, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad pada 25 November 1959 telah mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran supaya membuka kelas pelajaran agama Islam terutama di sekolah Inggeris jika mempunyai tidak kurang 15 orang pelajar Islam, dengan guru digaji oleh kementerian. Bahkan Profesor Zulkifli Mohamad (PAS - Bachok) turut menimbulkan persoalan tanggungan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai guru-guru agama di seluruh negara. Ustaz Hassan Adli (PAS - Kuala Terengganu Utara) juga mencadangkan supaya kementerian menyelaraskan sukatan pelajaran di sekolah-sekolah agama dan menubuhkan jawatankuasa khas untuknya mengikut syor Jawatankua Menimbang Bantuan Kerajaan Kepada Sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan 1956. 
 
Wakil PAS itu juga mengesyorkan supaya kerajaan menyediakan asrama di sekolah-sekolah kerajaan, khususnya untuk anak-anak polis dan askar. Khadijah Mohd Sidek (PAS -Dungun) pula menimbulkan isu berkaitan Taman Asohan RIDA iaitu intitusi untuk melatih wanita melalui kursus jangka pendek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang kini dikenali sebagai MARA. Beberapa isu pendidikan yang lain turut ditimbulkan oleh ahli-ahli parlimen seperti pengiktirafan ijazah Nanyang Technological University of Singapore, perperiksaan kemasukan sekolah menengah dan pendidikan rendah percuma.
 
Isu-isu pendidikan yang dibangkitkan oleh PAS pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat ini menunjukkan kesungguhan PAS dalam membela dan membangunkan pendidikan Islam di negara ini. Seorang pengkaji, Ismail Said (2011: 182) mengakui bahawa kesan daripada kesungguhan desakan PAS ini telah membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Penyemakan Dasar Pelajaran Razak yang diketuai oleh Dato' Abdul Rahman Talib pada 1960.
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 1/1/2018