Tiada tanding Najib, Zahid langkah undur

Kolumnis
Typography

PERHIMPUNAN Agung UMNO boleh apa keputusan jua seperti tiada pertandingan bagi Datuk Najib dan Dr. Zahid Hamidi untuk jadi Presidennya dan Timbaln Presidennya sekalipun ia kurang indah untuk roh demokrasi dan parti dan transformasi politik parti itu.
      
Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan apa jua perlanggaran tidak boleh diadukan ke mahkamah. Sekalipun ia berlawanan dengan semangat perlembagaan, kerana kekangan untuk ke mahkamah itu ia adalah agung.
    
Adakah ia demokrasi? Tidak berbangkit. Banyak amalan dalam dunia komunis diragui sebagai amalan demokrasi, tetapi semua negara komunis menamakan ia wilayah demokrasi.
      
Jika Najib hendak jadi Presiden UMNO seumur hidup dengan keputusan itu dia akan jadi Presiden hingga mati.
      
Tetapi ia tidak sesuai dengan semangat transformasi yang diperkenalkan oleh pimpinan Najib. Layaknya politik transformasi itu meliputi semua bidang.
     
Dengan keputusan itu ada cacat pada demokrasi UMNO dan transformasi Najib. Ia tidak pernah berlaku dalam UMNO sejak 70 tahun lalu.
    
Dr. Mahathir membuat peraturan. Sepuluh undi bonus untuk satu pencalonan bagi Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam demokrasi parti yang terkawal, tiada terbuka peluang sewajarnya bagi calon lain bertanding. Dengan ini Presiden dan timbalan tidak bertanding. Masing-masing boleh bertanding, tetapi payah bagi pencabar dapat memenuhi syarat.
     
Bagi Najib dan Zahid tiada ruang lagi untuk bertanding sehinggalah perhimpunan membuat satu keputusan yang lain.
     
Keputusan yang baru dibuat itu bagi mengelakkan berulang perpecahan UMNO seperti yang berlaku  apabila Tengku Razaleigh mencabar Dr. Mahathir. Gara-garanya ia berpecah dan UMNO diharamkan oleh mahkamah.
      
Perpecahan itu bukan kerana adanya pertandingan, tetapi masing-masing  tidak sabar menerima keputusan dan kegagalan pentadbiran parti menjalankan keadilan.
     
PAS dengan sistem syuranya juga jika boleh mengelakkan pimpinannya dicabar, tetapi ia tidak menutup pintu kepada pertandingan. Ia mengelakkan pertandingan kerana Islam dan membenarkan pertandingan kerana Islam.
     
Mengharuskan pertandingan adalah satu langkah terbuka dan terbaik. Demikianlah UMNO selama ini harus jawatan itu dicabar. Harus tidak semestikan dicabar. Ia boleh dicabar dan boleh tidak dicabar. Tetapi zaman Najib ia tidak jadi harus lagi.
     
PAS yang lebih 60 tahun baru sekali dicabar Presidennya tahun 2015 dulu. Memang berlaku pertembungan sengit. Dan memangnya berlaku perpecahan. Kerana Islam mengharus pertandingan, maka pertandingan itu sewajarnya kerana Islam. Masing-masing wajar menerima keputusan. Walaupun ada yang tidak dapat menerima keputusan dan kekal dalam parti, justeru pertandingan tadi kerana Islam, hikmat niat Islamnya, sekalipun ada tidak menerima keputusan, tidaklah ia menjadikan parti itu lumpuh.
      
Perpecahan UMNO atas pertandingan antara Mahathir dan Ku Li, bukan kerana pimpinan dicabar, tetapi keengganan yang menang menerima yang kalah terus berada dalam UMNO. Walaupun pengendalian pertandingan itu ada kelemahan dan kelemahan itu diadukan ke mahkamah, ia tidak dibuat untuk mengkhianati parti, tetapi manusia itu dibenarkan mengadu atas yang ia tidak puas hati bagi menentukan keadilan dan kebenaran ditegakkan.
      
Jika yang menang dapat melayan yang kalah sewajarnya, Ku Li tidak menubuhkan parti lain. Ia menubuhkan parti sendiri kerana mereka tidak diterima lagi dalam UMNO.
      
Mengapa Najib tutup pertandingan? Kerana  takut dikalahkankah? Dengan sokongan yang dirasakan besar sekarang, payah dia kalah. Tetapi dia tidak yakin sokongan kepadanya. Bukan takut perpecahan tapi takut dikalahkan. - HARAKAHDAILY 19/12/2017