NS negeri kedua lancar assabiqun

Kolumnis
Typography

NEGERI Sembilan adalah negeri kedua melancarkan Assabiqun menjelang senja 26 November di Seri Menanti.
     
Saya sebagai Pengerusi Sidang Assabiqun melancarkannya yang dihadiri sama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Harun, Ketua Penerangan Assabiqun Pusat dan Pengerusi Assabiqun Negeri Sembilan, Haji Alias Tijat.
     
Pelancaran itu satu daripada acara sambutan 50 tahun penubuhan PAS Negeri Sembilan.
     
Negeri pertama melancarkannya ialah Pahang pada 4 November lalu.
     
Pelancaran itu adalah muqadimah awal kegiatan Assabiqun bagi menggerakkan wadah dalaman PAS itu bagi menyegarkan semangat dan keberadaan warga berjasa PAS yang berusia 55 tahun ke atas yang dalam buku induk keahlian PAS yang berusia 60 tahun ke atas berjumlah lebih 300 ribu dari sejuta ahlinya sekarang.
     
Jika dimasukkan yang 55 tahun ke atas, maka jumlahnya lebih besar.
     
Golongan ini rata-rata tidak cergas lagi untuk bergiat dalam politik yang aktif kerana faktor usia, sebahagiannya uzur dan yang lain tenaga tidak mengizinkan dan ramai yang solat dengan kerusi.
      
Bagi menyegar semangat dan istiqamah dengan PAS, maka PAS bentuk wadah dalaman dinamakan Assabiqun bagi mengekalkan rasa senang kepada perjuangan PAS demi mendaulatkan Islam dan merangsang orang PAS yang lebih muda meneruskan azam mewujudkan tertegaknya sebuah pemerintah di Malaysia yang terlaksana di dalamnya aturan dan peraturan Islam.
      
Jika orang-orang tua yang berjasa ini tidak pernah putus asa menunggu kemenangan PAS, dengan semangat tingginya untuk melihat kemenangan, maka tentulah ia dapat membakar semangat sekalian aktivis yang lebih muda meningkat jasa juang bagi memacak bendera PAS di puncak kejayaan.
     
Ia dinamakan Assabiqun mengambil barakah peranan dan sumbangan Assabiqun pada zaman Nabi menyambut kedatangan Islam di tengah masyarakat jahiliyah Quraisy Mekah dulu. Sahabat-sahabat yang awal menerima Islam sebagai agama dan menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul dirakam dalam al-Quran sebagai Assabiqun.
      
Antara yang al-Quran rakamkan ialah Allah meredhai mereka dan mereka meredhai Allah.
      
Dengan menamakan demikian, ia adalah menghormatan tinggi PAS kepada golongan ini dan saya sendiri terharu dan bersyukur atas panggilan PAS mengepalai mereka.
     
Bagi menggerakkan wadah dalaman ini pertamanya mengadakan pelancaran di peringkat negeri. Pada 9 Disember pelancaran di Kelantan dan 22 Disember di Muar, Johor. Assabiqun menunggu lain-lain negeri menetapkan tarikh pelancaran.
      
Kerana yang dinamakan pemimpin Assabiqun adalah warga emas keupayaan bergeraknya terhad. Maka Pesuruhjaya Negeri, Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan mestilah menggerakkan tenaga dulu bagi Assabiqun tiba ke sasarannya.
    
Atas bantuan itu barulah Assabiqun dapat mendekati 300,000 orang itu. Atas sokongan itu nescaya pembentukan Assabiqun dapat dicapai.
     
Menjelang PRU14 yang sudah dekat, sekalian Assabiqun boleh berperanan berpesan-pesan untuk kemenangan sebagai sampingan kepada berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Manusia itu sentiasa dalam kerugian. Dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran dapat meminimumkan kerugian.
      
Dan berpesan-pesan kepada kemenangan selepas itu nescaya dapat mendekat kepada kemenangan. Maka berpesan-berpesanlah kepada anak menantu dan isteri, kepada adik-beradik dengan SMS, kepada jiran-jiran dan orang sebelah menyebelah dalam saf solat berjemaah pastikan kemenangan dan jangan lepaskan lagi peluang kemenangan.
     
Dengan berakah memuliakan para Assadiqun-al-awalun mempermudah pesan kemenangan itu. Allah berjanji kemenangan itu. Carilah melalui kemulian Assabiqun. Janji Allah adalah benar. Jika kemenangan terlepas juga, jangan salahkan Allah, tetapi kajilah kelemahan sendiri. Kepada-Nya sekalian berserah. – HARAKAHDAILY 18/12/2017