Keutamaan PAS tangani pembantu rumah

Kolumnis
Typography

DEMI mengatasi krisis pembantu rumah oleh setiap/kebanyakan keluarga Bajet 2018 Perdana Menteri Najib menyarankan masing-masing tidak perlu lagi bergantung pda agensi, tetapi boleh ambil terus dari negara asal dan kemudian selesaikan urusan rasminya dengan pihak berwajib kerajaan.

Ia mungkin satu langkah awal bagi mengatasi masalah itu, tetapi masih terlalu banyak karenah birokrasi menjadi penghalang.

Pegawai di pihak terbabit belum disediakan dengan kaedah membereskan urusan rasmi bagi calon pembantu rumah yang masing-masing sudah perolehi sendiri. Pembantu rumah sudah ada tetapi urusannya masih payah. Sehingga urusan rasminya selesai semua terpaksa menggunakan pembantu rumah haram.

Kemajuan yang Malaysia alami, sama ada ia pesat atau di tahap dunia ketiga soal pembantu rumah adalah krisis getir yang dihadapi oleh semua orang. Boleh dikatakan setiap rumah dan setiap keluarga memerlukan perkhidmatan pembantu rumah.

Kebanyakan isteri tidak lagi jadi suri rumah. Sama ada makan gaji dengan kerajaan atau swasta atau berusaha sendiri di luar rumah. Isteri bekerja atau ada pendapatan sendiri adalah penting bagi setiap keluarga bagi menampung keperluan hidup zaman ini. Pendapatan suami tidak mencukupi keperluan rumahtangga.

Ini memerlukan pembantu bagi mengasuh anak. Boleh anak diserahkan kepada pengasuh sambilan yang terdiri dari suri rumah, tetapi biaya bagi seorang anak sudah mahal. Jika ia adalah lebih dari dua anak, maka tak berbaloi gaji yang diperoleh dengan bayaran mengasuhi anak-anaknya.

Dan anak-anak sudah tidak lagi dapat menjaga dan melayan ibu bapa yang memerlukan bantuan dalam semua perkara.

Maka pembantu rumah sudah jadi satu keperluan sebagai mana dulu semua memerlukan kediaman, pakaian dan makanan, tetapi pembantu rumah adalah keperluan yang baru.

Bukan orang berada saja perlukan pembantu, orang yang tiada pendapatan pun perlukan pembantu. Itulah cara hidup sekarang.

Pembantu yang dibekalkan oleh agensi selain dari bayarannya tinggi, tetapi tiada jaminan mereka akan kekal. Banyak kejadian belanja mendapat seorang orang gaji mencapai belasan ringgit. Baru sebulan dua mereka lari. Banyak kejadian duit habis, pembantu tidak kekal.

Ia satu krisis yang kerajaan hadapi, ia gagal membekalkan ketenangan dan keselesaan kepada rakyat.

Apa yang menyebabkan krisis itu ialah kerana pengambilan pembantu rumah asing itu adalah sebahagian dari perniagaan orang dan ia juga satu bentuk perhambaan. Lesen membawa masuk pekerja asing adalah satu industri yang lumayan. Lesen itu hampir sama dengan cara saudagar Amerika mengambil hamba dari Afrika itu.

Perniagaan orang mesti dihentikan dan sistem pengambilan pekerja asing khusus pembantu rumah mesti mengikut kehendak transformasi dikatakan itu.

Pengambilan sendiri adalah betul. Berbelanja mencari orang ke Indonesia misalnya lebih murah dari mendapatkannya dari agensi.

Dan jika PAS berkuasa sistem itu mesti dirubah. Jangan jadikan ia terlalu mahal dan terlalu susah. Yang memerlukan pembantu itu adalah susah-susah belaka. Urusan itu mesti diringankan.

Jika pengambilan itu dari Indonesia, kerajaan PAS mesti berunding dengan Indonesia supaya urusan jangan dipersusah. Pengambilan itu bukan lagi atas dasar perniagaan orang tetapi atas dasar persaudaraan serumpun.

Mereka tidak dilihat seperti buruh yang ada pemisahan antara tuan dan pekereja, tetapi ada saudara satu keluarga.

Jika Nabi tidak melihat hamba sebagai kuli, tetapi sebagai saudara sesama Islam, mengapa tidak dijadikan contoh. Upah tetap dijamin.

Indonesia tidak dapat memberi pekerjaan cukup untuk rakyat. Malaysia memberikan pekerjaan/rezeki kepada mereka. Apakah ia bukan tolong menolong? – HARAKAHDAILY 30/11/2017