Assabiqun Pahang mengaji sambut maulud

Kolumnis
Typography

SIDANG Assabiqun Pahang yang dilancarkan 4 November lalu menjadikan membaca al-Quran beramai-ramai pada malam Maulud Rasul sebagai kegiatan pertamanya.
      
Ia terbuka kepada semua anggota masyarakat semua lapisan pada malam pertama maulud itu dengan masing-masing membaca surah pilihannya mengikut waktu yang ditetapkan.
      
Assabiqun menerima pakai kaedah yang dianjurkan oleh Karangkraf yang menerbitkan Sinar Harian mengaji beramai-ramai dalam program yang dinamakannya Rumah Ngaji dan kemudian dikembangkannya World Quran Hour pada hari Arafah serentak di seluruh dunia.
     
Masing-masing mengaji satu jam surah pilihan sendiri rating yang didapati tahun kedua World Quran Hour itu disertai oleh 100 juta pembaca.
     
Assabiqun menyambut baik dan menyambung ibadat itu sebagai langkah mendekatkan umat dengan al-Quran. Kegiatan itu bukan buah fikiran Assabiqun tetapi ia adalah dipelopori akhbar yang menerbitkan Sinar Harian dan ia kekal sebagai kegiatan tetap Karangkraf. Assabiqun tumpang menjayakan kegiatan yang baik itu.
      
Ia bermula dengan mengaji beramai-ramai dulu. Setelah masing-masing lekat dengan kegiatan itu, maka terserahkan kepada tindakan setempat mengembangkannya dengan membetulkan tajwid, bertadarus di luar bulan puasa, mendalami dan menghayati kandungannya hingga seluruh umat menjadi generasi al-Quran.
     
Sebagai adab yang bertemu dengan Penasihat Editorial akhbar itu minta izinnya untuk menyambung kegiatan itu. Ia boleh dilaksanakan tanpa izinnya. Tetapi memaklum dan minta izinnya adalah adalah sopan sebagai mana seorang murid minta izin guru mengajarnya mengaji.
      
PAS ada hampir 8,000 cawangan di seluruh negara. Jika 3,000 cawangan saja menyambutnya sebagai kegiatan tetap, maka masyrakat kita sudah mula memakmurkan kitab suci itu dan terbukalah dunia ini untuk kebajikan  dan keamanan.
      
Jika diizin Allah, Assabiqun hendak mengambil kegiaan ini bagi disertai oleh semua cawangan +-8,000 itu.
     
Assabiqun sudah membincangkannya dan menyerahkan kepada Speaker Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Yaakub untuk mengepalai operasinya supaya setiap negeri mengambil  tindakan.
     
Pahang telah mengambil tindakan awal, tanpa menunggu arahan dari Assabiqun Pusat menganjurkan majlis mengaji itu sebagai sambutan maulud Rasul tahun ini. Jika biasanya umat di Malaysia menyambut malam maulud Rasul itu dengan ceramah pengkisahan Nabi SAW, salawat dan lain-lain kegiatan ibadat, Assabiqun Pahang kali ini menyambutnya dengan mengaji.
     
Maka kita berikan syabas kepada Ayah Ngah, Ustaz Ismail Mohamad sebagai Pengerusi Assabiqun Pahang atas tindakan cepat dan segeranya, moga-moga dengan izin Allah daya usahanya itu diikut jejak oleh rakan-rakan yang lain.
      
Assabiqun belum terbentuk di semua negeri. Langkah-langkah sedang diambil bagi tiap-tiap negeri mengadakan pelancaran. Sekalipun menjelang malam maulud ini ia belum sempat dibentuk, penggerak Assabiqun yang ada di banyak tempat bolehlah mengadakan kegiatan yang sama mengikut keupayaan masing-masing.
      
PAS kawasan dan PAS cawangan boleh memulakannya dulu dan bila unit Assabiqun terbentuk nanti, boleh ia diserahkan kepadanya.
      
Apa jua kegiatan ibadat – mendekatkan diri kepada Allah – nescaya Allah beri pertolongan memakmurkannya. Setiap satu kegiatan kebajikan dalam satu masyarakat, maka dengan sendiri mengurangkan satu kejahatan. Apabila kebajikan itu jadi pegangan kepada semua dalam satu masyarakat, maka dengan sendirinya transform kepada masyarakat yang berkebajikan.
     
Dan jika masyarakat itu berpecah hingga mencemaskan semua, duduk mengaji beramai-ramai yang Assabiqun cuba galakkan, nescaya bermulalah ia ke arah msyarakat yang satu.
      
Kita mulakan dengan mengaji di Pahang dulu! - HARAKAHDAILY 22/11/2017