PAS saja pejuang bantah arak

Kolumnis
Typography

PAS tidak perlu marah, bahkan wajar berterima kasih kepada Exco DAP Selangor, Datuk Teng Chang Kim yang mencabarnya jangan sibuk tentang anjuran festival arak di luar Kelantan bahkan jagalah Kelantan baik-baik.
      
Tidak perlu kata pula DAP yang ghairah meluluskan permit Makanan Jerman yang tidak mengecuali arak di Kelang dengan mengatanya begitu dan begini.
      
PAS boleh memberi ucapan terima kasih setingginya pada DAP kerana cabaran Chang Kim mengiktiraf PAS saja parti politik yang lantang di negara ini membantah pesta minuman setan itu. Parti lain yang dipimpin oleh orang Islam dan penuh dengan anggota Islam tiada dasar jelas tentang arak termasuklah pestanya yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tolak permohonan permitnya.
     
Sekalipun Exco DAP itu akur dengan pandangan polis festival itu ditangguhkan, bukan atas kerelaan partinya, tetapi telah tercatit bahawa ia adalah pro dan penyokong kuat penganjuran maksiat itu. Jika ada orang Islam mengundinya apa lagi menjadi calonnya selepas ini maka mereka telah berkongsi dosa atas dasar pro araknya.
     
Dosa arak adalah besar, tidak padan dengan pahala menetang rasuah dan anti penyelewengan yang diperjuangkannya. Menentang rasuah dan semua anti politik mungkar adalah mulia, tetapi dosa maksiat arak memadamkan pahala yang lain. Maka dengan dasar liberal araknya menjauhkan lagi umat Islam daripada menyokongnya.
     
Apapun niat menganjur makanan Jerman yang mempromosikan arak itu belum berdosa. Dosa dikira apabila maksiat itu dilaksanakan. Apabila ia ditangguhkan, dosa tadi tertangguh sama. Dosa yang ada ialah dosa dasar tentang arak.
      
Berbeza dengan PAS. Menentang festival itu satu ciri jihad. Sekadar niat saja sudah dikira pahala. Apabila ia bangun menentang dapat pahala penuh. Apabila ia tidak dapat diadakan di Kuala Lumpur dan ditangguhkan pula di Kelang, bertambah lagi pahalanya.
      
Dan penolakan permit di Kuala Lumpur itupun bukanlah ia dasarnya yang jelas, tetapi menjelang PRU 14 ini akan ada yang tidak mengundinya. Kemungkinan mereka mengundi PAS. Takut undi direbut PAS ditolak permit.
      
Jika selepas PRU nanti PAS dapat menentukan pembentukan kerajaan nescaya bertempiklah syaitan, tidak akan ada pesta arak di mana-mana.
     
Tempelak Chang Kim atas PAS adalah mengiktiraf, PAS saja yang ada dasar menentang arak kerana Allah.
     
Dasar PAS tidak sekadar beribadat demi menyelamatkan umat Islam daripada bencana arak, tetapi adalah juga untuk menyelamatkan seluruh rakyat termasuk penyokong DAP supaya bebas daripada keburukan arak, sama seperti bebasnya semua daripada petaka  dadah dan rasuah.
     
Maka Chang Kim/DAP marah atas takwil PAS, tapi marahnya itu menguntungkan PAS betapa ia ke depan daripada lain-lain pertubuhan menentang ibu segala maksiat.
     
Chang Kim telah tolong mempromosikan PAS. PAS boleh marah DAP atas lain-lain politiknya, tetapi dalam isu arak DAP telah mengikitraf peranan PAS. Maka PAS jangan takut kepada celaan orang-orang yang mencela.
      
Mungkin Chang Kim hendak menghalang penyokong DAP daripada memberi undi kepada PAS, tetapi undi itu di tangan Allah. Selagi orang PAS mempunyai hubungan yang terus dengan Allah, tahulah Allah bagaimana hendak menolong PAS.
      
Tidak bolehkah kita berterima kasih pada Chang Kim atas pengiktirafannya? Dan dia pula selepas mencabar PAS itu tidak dapat meneruskan festival yang sudah diberi permit. Tidakkah ia gara-gara kesan ghaib daripada bantahannya kerana Allah.
     
Syabas Chang Kim. Ada jasamu pada PAS! – HARAKAHDAILY 6/10/2017