Pilunya Mat Taib pulang ke Umno

Kolumnis
Typography

TAN Sri Muhammad Muhd Taib, bekas Menteri Besar Umno Selangor dan Naib Presiden parti itu telah membuat pilihan yang betul apabila menyertai PAS  atas kehendak sendiri pada 14 April 2013.
       
Mungkin ada yang mengajaknya menyertai PAS tetapi siapa yang boleh mempengaruhi seorang Umno berkedudukan tinggi sepertinya. Sama seperti tiada siapa boleh memaksa seseorang untuk masuk Islam, melainkan atas pilihan sendiri, maka umat yang menyertai PAS adalah atas pilihan sendiri.
       
Sebagai mana Islam tidak membenarkan orang Islam meninggalkan Islam, maka demikianlah pilunya apabila seorang PAS, baik baru atau lama dalam PAS meninggalkan PAS. Saya tidak mahu samakan orang meninggalkan PAS seperti orang Islam meninggalkan Islam, tetapi PAS itu adalah jemaah Islam yang ditubuhkan untuk memartabatkan Islam, maka setiap orang Islam berkewajipan bersatu memertabatkan PAS supaya Islam dapat dimartabatkan. Maka meninggalkannya atas apa sebab jua adalah tidak dikehendaki.
      
Meninggalkan jemaah Islam itu tidaklah boleh dientengkan seperti meninggalkan pertubuhan lain.
       
Kita tidak mahu kata Mat Taib dipengaruh oleh sesuatu yang lain selain daripada Islam apabila menyertai PAS. Seperti seseorang yang jadi Islam kerana Allah pilih dia jadi Islam, maka menyertai PAS juga kerana Allah memilihnya jadi PAS. Ramai ulama Allah tidak jadikan PAS, tetapi ramai yang tidak berlulusan pengajian Islam Allah pilih jadi PAS.
      
Masuk ke sesuatu yang baik itu adalah atas pilihan Allah, tetapi keluar suatu yang baik kepada suatu yang tidak baik sekalipun atas kada’ dan kadar Allah, ia adalah bukan kemahuan Allah.
      
Dengan izin Allah, Mat Taib telah tinggalkan Umno untuk menyertai PAS. Semua orang PAS dan penyokongnya menyambut pilihannya itu. Apabila seseorang masuk PAS, maka dia tidak boleh harap akan diberi layanan istimewa dalam PAS.  Keadaannya adalah sama dengan orang-orang PAS yang lain bekerja dan berjuang untuk mengagung dan memenangkan PAS supaya PAS dapat memberikan apa yang dicita-citakannya untuk semua.
      
Orang PAS banyak kerja untuk memartabatkan PAS, kadang-kadang ia tidak cukup masa untuk seorang individu. Saya selalu kata kepada aktivis, jangan ziarah saya sebagai warga emas jika banyak kerja yang hendak dibuat. Singgahlah jenguk saya kalau tidak ada kerja. Sekalipun mereka jarang singgah, tapi saya tahu mereka sayangkan saya sebagai orang PAS.
      
Semua seronok apabila Mat Taib masuk PAS. Sifat PAS ialah mesti menyayangi sekalian masuk PAS, istimewa pula dia bekas ahli Umno, sekalipun sumbangannya amat minimum. Sumbangan minimum itu amat besar ertinya bagi PAS.
     
Saya pilu kerana sebagai orang lama tidak dapat memberi tumpuan kepada Mat Taib kerana sibuk berjuang, kita juga sibuk cari makan.
     
Penyertaan Mat Taib dalam PAS amat penting. Dia boleh jadi contoh dan ikutan kepada orang Umno yang lain untuk menyertai PAS. Orang PAS yang kempen siang malam adalah untuk mengajak orang Islam dan bukan Islam untuk menyokong PAS. Jika orang Umno tidak menyertai PAS bagaimana PAS boleh mengatasi Umno.
      
Kita syukur Mat Taib menyertai PAS dulu. Kita rasa sayang apabila dia keluar PAS. Sayang itu sama dengan sayang kepada yang lain meninggalkan PAS. Sebagaimana kita tidak mahu orang meninggalkan Islam, maka begitulah kita tidak mahu orang meninggalkan PAS.
     
Sebagaimana Islam cegah orang keluar Islam, maka kita wajar cegah orang tinggalkan PAS. Sedih Mat Taib sudah bersama PAS terlepas jadi Umno semula. – HARAKAHDAILY 20/9/2017