Aduh! Ibu syukur anak terbakar di dunia

Kolumnis
Typography

ADUH! Hebatnya sekalian ibu dan bapa yang anaknya terbakar di Maahad Tahfz Darul Quran Ittifaqiah Datuk Keramat, Kuala Lumpur hingga meragut nyawa 21 murid dan dua guru.

Tiada yang tidak sedih. Tiada ibu mahu anak yang dilahirkannya terbakar, bahkan tiada ibu bapa mahu anak mati dulu dari mereka atas apa sebab jua. Sekaliannya jika mahu mati dulu dari anak-anak. Pilu ibu bapa yang anak mati dulu lebih terasa dari anak kematian ibu/bapa.

Setakat sakit anak, ibu bapa cukup cemas, inikan pula mati terbakar.

Sekalian ibu bapa yang anak kematian terbakar itu menyatakan kata-kata berpahala dan sikap berpahala atas tragedi yang menimpa anaknya. Semua berkata redha atas kehendak Allah itu tak kira didaftar atau tidak, tak kira cukup ciri keselamatan atau tidak.

Itulah ajaran Allah dan RasulNya, syukur atas rahmat dariNya dan redha dengan segala ujian pedihNya. Orang beriman tidak berputus asa atau meninggalkan agama atas kesudahannya.

Sebagai yang Islam janjikan ganjaran syahid bagi yang mati terbakar apa lagi anak-anak itu adalah pelajar agama dan mengaji menghafaz al-Quran. Banyak syafaat untuk ibu bapa yang anaknya hafiz/hafizah. Syafaat bagi pelajar tahfiz adalah berganda dari orang biasa mati terbakar.

Anak yang mati terbakar dijanjikan Allah syurga. Moga-moga 23 murid dan guru itu tergolong ahli syurga. Sebagai syuhada mereka berpenghulukan Saidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah yang gugur dalam Perang Uhud.

Ahli syurga itu harum semerbak yang manusia hidup tidak dapat mengidunya. Sebaik roh mereka terpisah dari jasad yang rentung, para malaikat menyambutnya dari madrasah yang harum diarak ke langit sebagai tetamu Allah.

Seluruh ruang dan isi antara langit dan bumi penuh harum dari roh ahli syurga itu. Pintu gerbang setiap lapisan langit bermandi wangi semasa roh mereka diarak naik dan turun dari langit. Mereka sudah nampak mahligai masing-masing di syurga. Dari dalam kubur tempat mereka direhatkan sehingga hari kiamat masing-masing mencium bau syurga yang dipancarkan ke situ.

Puteri Nabi, Fatimah Zahrah menangis apabila baginda memaklumkan kewafatannya sudah dekat. Tetapi tersenyum pula setelah baginda memberitahunya anaknya menyusulnya tidak lama selepas itu.

Jika Fatimah dapat menemui bapanya di akhirat selepas kematiannya, tiada halangan bagi para pelajar tahfz yang gugur itu untuk menemui baginda sebelum kiamat.

Dengan segala berita gembira yang ahli syurga dapat nikmati sebelum pintu syurga dibuka kepada penghuninya, memang wajar ibu bapa yang kematian anak itu redha atas rahmat yang anaknya boleh dapat setelah kematiannya.

Setiap ibu dan bapa yang meredhai cara kematian anaknya, sebagai orang yang beriman moga-moga akan bertambah tebal imannya, menyatakan keredhaannya nescaya memberi pahala kepadanya. Dengan sikap itu moga-moga mereaka memungut pahala hingga hari akhir hayatnya.

Sebagai ibu bapa ahli syurga dan para syuhada pula tentu mereka mengharapkan rahmat dari keistimewaan anaknya. Dengan iman yang bertambah, moga-moga kekal jadi ahli ibadat istiqamah supaya dapat bertemu anaknya di syurga.

Meskipun mereka kehilangan anak, kerana redha dan tabahnya, Allah boleh gantikan dengan anak yang lebih baik dan cucu yang membahagiakan.

Jika tiada anak untuk dihantar ke tahfiz, bantu dan sokong perbanyakkan kelas tahfz, biar seorang tahfz yang gugur diganti dengan sepuluh pelajar baru. – HARAKAHDAILY 17/9/2017