Murid tahfiz rentung dapat istana di syurga

Kolumnis
Typography

TAKZIAH untuk sekalian ibu bapa dan waris murid 21 murid dan dua guru maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mati terbakar 14 September lalu.

Seluruh penduduk khususnya umat Islam pilu dan terharu atas musibah itu dan masing-masing mmmpu menyampaikan kata perangsang Inna lillah wainna ilahi rojiun.

Moga-moga waris sekalian menerimanya dengan sabar dan membanyak solat. Inilah ubat terbaik bagi menenangkan hati dan perasaan yang rawan.

Murid-murid itu tidak rentung begitu saja. Mereka hangus di dunia dan yang pasti mereka tidak akan terbakar lagi di akhirat. Yang tidak terbakar di dunia belum tentu idak terbakar di akhirat.

Sekalian yang terbakar itu adalah pelajar tahfiz al-Quran. Mereka ahli syurga. Di syurga mana ada api.

Sesudah waris berduka seketika, tidak wajar berduka selama-lamanya kerana Allah menawarkan bagi setiap murid agama yang mati semasa menuntut sebuah istana besar bagi seorang yang luasnya sejauh antara rumahnya dan madrasah tempat mereka belajar. Kalau rumah mereka di Ampang dan sekolahnya di Datuk Keramat, maka istana untuknya di syurga itu adalah adalah sebesar jarak antara Ampang dan Datuk Keramat.

Istana itu jauh lebih besar dari Istana Negara dan lain-lain istana dalam negara.

Ketika anak Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mati semasa belajar tahfiz di Afrika Selatan beberapa tahun lalu, saya telah menulis anaknya itu mendapat istana besar sebesar antara Malaysia dan Afrika Selatan. Bayangkan istana putera Nuridah terbentang memenuhi Lautan Hindi, bahkan lebih besar dari Lautan Hindi kerana pangkal di Malaysia belum termasuk dalam Lautan Hindi dan hujungnya Afrika Selatan sebelah sana Lautan Hindi.

Kerana murid-murid yang terbakar itu tinggal di Lembah Kelang, maka istana tidaklah sebesar istana untuk anak Nuridah, tetapi ia cukup besar untuk ibu bapa masing-masing bersantai di syurga nanti.

Anak Nuridah mati kerana sakit. Sekadar mati sakit dapat syurga sedemikian besar dan indah, mati terbakar adalah syahid yang tentunya ada kelebihan tersendiri.

Anda mungkin ada anak selain dari mati terbakar itu. Kalau dia penuntut agama, dia munkin jadi qari, ulama, pembesar dan lain-lain. Tetapi matinya belum tahu lagi. Sebaliknya anak yang rentung itu telah diketahui ahli syurga dan ada istana besar di syurga.

Yang terbakar itu tiada gantinya di dunia, tetapi ibu bapa tentunya boleh bergembira dengan segala anugerah yang Allah sediakan untuknya di syurga. Maka apakah ibu bapa masih terus gundah juga dengan segala nikmat yang anaknya dapat di syurga?

Seorang itu di zaman Rasulullah s.a.w. tidak menangis apabila anaknya seorang mati syahid. Mati syahid seorang lagi tidak juga dia menangis. Apabila ada lagi anaknya gugur dalam perjuangan dia pun menangis. Dia ditanya apakah dia tidak suka anaknya yang terbaru itu mati syahid?

Jawabnya dia tidak bangga anaknya itu mati syahaid, tetapi dia menangis kerana sudah tidak ada lagi anak yang hendak dihantar ke medan perang untuk mati syahid.

Kita nampak anak-anak itu kepanasan kerana mati terbakar. Tetapi dengan segala anugerah yang Allah sediakan untuk mereka di syurga, tentulah perut ibu-ibu yang semasa mengandung anak-anak yang terbakar itu adalah bahagia sesejuk rasa. – HARAKAHDAILY 16/9/2017