Sidebar

23
Sat, Sep

Tak cukup hayati Tun tanpa hayati Tunku

Kolumnis
Typography

LEGASI Tun Abdul Razak yang meninggalkan kita 40 tahun dulu adalah Perdana Menteri yang ada nama dan ada jasa.
      
Dia wajar dihayati, tetapi tidak sempurna penghayatan itu jika seseorang tidak menghayati legasi Tunku Abdul Rahman Putra yang banyak peranan menjadikan Tun Razak sebagai seorang pemimpin dan ahli politik yang tersohor.
      
Jika kita terima Tun Razak adalah seoang pemimpin, maka legasi Tunku adalah  pemimpin kepada Tun Razak selama menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri kepada Tunku Abdul Rahman.
      
Sebagai pemimpin Umno dan Perdana Menteri Tunku adalah pemimpin yang mencetuskan itu dan ini, dan segala yang dicetuskannya itu kebanyakannya Tun Razaklah yang menjadi dan melaksanakanya sebagai dasar dan arah tuju negara.
      
Mungkin perbezaan yang ketara sebagai pemimpin dia mencetus sesuatu tetapi yang menjadikan sesuatu ialah orang di bawahnya yang diamanahkannya. Tetapi Tun Razak sebagai pemimpin, dia cetuskan sesuatu dan dia mengepalai orang-orang di bawahnya dan yang diamanahnya melaksanakannya. Dan keadan demikian, mungkin Tun Razak mengetahui secara terperinci di bawahnya dibanding dengan Tunku.
      
Semua merasakan Tun Razak lebih berwibawa dari Tunku. Nampak besar Tun dibandingkan dengan penggantinya Tun Husein Onn. Tetapi ada orang dalaman UMNO mengira Tun Husein kepada Tun Razak, maka begitu perbandingan bagi Tun Razak kepada Tunku.
      
Tunku mengambil UMNO dari Dato Onn bin Jaafar dalam keadaan UMNO tidak ada apa-apa dan parti prasarananya tidak teratur.  Tunku memindahkan pejabat agungnya dari Kuala Lumpur ke lokasi antara Butterworth dan Kepala Batas, Seberang Perai dengan dibantu oleh seorang yang bernama Khair Taib.
      
UMNO terpaksa disusun semula dan dihidupkan dari situ sebelum ia dipindahkan ke Johor memandangkan sambutan UMNO di Johor lebih menggalakkan selain Tunku mahu menghadapi pengaruh Dato Onn di Johor.
     
Belum tentu UMNO yang tidak memperjuangkan kemerdekaan sebelum boleh dihidup suburkan jika yang menggantikan Dato Onn itu lain dari Tunku.
      
Bagi meyakinkan rakyat UMNO benar-benar bertentangan dengan British dalam menuntut kemerdekaan, Tunku memutuskan semua pemimpin UMNO memegang jawatan kerajaan dalam pentadbiran British yang menteri kanannya adalah Dato Onn. Semuanya mengikut langkah yang meninggalkan jawatan besar bagi memimpin UMNO.
      
Tun Razak saja yang idak meletak jawatan. Dia kekal sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kata Tunku kepada saya, mungkin dia kurang yakin UMNO boleh berjaya, maka dia mungkin mahu menjaga hubungan dengan Dato Onn yang menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah British.
      
Patut dikaji sejarah tentang kuasa rakya diserahkan semula kepada rakyat bagi menggantikan kerajaan Mageran selepas darurat 13 Mei, 1969. Masa itu Tun Razak adalah Pengarah Pentadbiran Mageran kerana jawatan Perdana Menteri yang disandang Tunku digantung bersama Parlimen.
      
Suasana menghendaki Tunku meletak jawatan Perdana Menteri yang tiada kuasa bagi digantikan dengan Tun Razak. Tetapi Tunku hanya sedia berundur jika Parlimen dan demokrasi dipulihkan. Jika kuasa dipulang kepada rakyat, ia justeru tekanan Tunku.
      
Bagi mengetahui dan menghayati legasi Tun Razak semua patut mengkaji semua tulisan Tunku di Sunday Star dari semasa Tun jadi Perdana Menteri hingga permit penerbitannya digantung oleh Perdana Menteri Mahathir.
       
Menghayati legasi Tun Razak hanya sempurna jika semua memahami tulisan mingguan Tunku di bawah tiga Perdana Menteri itu. - HARAKAHDAILY 10/9/2017