Akta 299: Pengislahan perundangan tanggungjawab semua

Kolumnis
Typography

SUKA saya menarik perhatian para pendokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada suatu penghakiman Mahkamah Rayuan yang melibatkan permohonan pendaftaran seorang anak kepada ibu bapa biologinya. Oleh sebab kes yang melibatkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 “Akta 299” ini membabitkan mereka yang beragama Islam, sangat perlu untuk kita beri perhatian secara khusus dan terfokus.

Bagi mereka yang mengikuti kes-kes melibatkan Islam dalam perundangan, kes ini sekali lagi mendatangkan rasa gusar yang bukan kepalang. Sekali lagi ia menunjukkan betapa perundangan yang membabitkan Islam dan umat Islam itu bukan lagi dalam tangan umat muslim semata-mata.

Saya tidak bercadang menyentuh dari aspek kedudukan hukum itu sendiri dalam kes-kes sebegini. Yang lebih menjadi perhatian saya dan ingin saya kongsikan adalah bagaimana kita melihat kes-kes sebegini dalam kerangka mendaulatkan Islam dalam perundangan negara.

Suatu yang sangat jelas, kes ini sekali lagi memberi pemahaman kepada kita betapa adanya suatu asakan yang berterusan bagi melonggarkan pengangan nilai-nilai Islam dalam perundangan. Hal ini bukanlah suatu yang asing apabila adanya pentafsiran perundangan negara berasaskan prinsip-prinsip sekular iaitu pemisahan perundangan daripada nilai-nilai agama.

Prinsip sekular ini akan menjadikan perundangan itu terus berkuatkuasa tanpa suatu nilai-nilai kerohanian yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Ia akan menjadikan perundangan itu hanya tertakluk pada kewujudannya di atas kertas sebagaimana ia digubal yang diistilahkan sebagai “the creature of the statute”.

Tiada unsur-unsur spiritual, kerohanian, seumpama nilai-nilai keyakinan dan kepercayaan yang beriirngan dengan perundangan. Dengan perkataan lain, perundangan yang berprinsipkan sekular akan sama sekali mengenepikan nilai-nilai selain lahiriah sebagai pemutus.

Dalam usaha mengislahkan perundangan semasa yang ada, tanggungjawabnya adalah terletak pada bahu setiap muslim. Demikianlah pernah ditegaskan oleh Tun Saleh Abas dalam sidang tiga hakim Mahkamah Agong pada awal tahun 1990-an.

Selain individu muslim dalam ruang lingkup akademik, dan aktivis, golongan politikus adalah antara mereka yang jelas punyai tanggungjawab langsung bagi mendaulatkan Islam dalam perundangan. Ini disebabkan sistem negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, ahli-ahli politik adalah mereka yang terlibat langsung dengan penggubalan dan penerusan system perundangan dalam negara.

Sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan, bagi pendokong PAS sesungguhnya ia suatu amanah yang sangat besar. Keberadaan kita di medan politik bukanlah sekadar menang pilihan raya.
Lebih dari itu, kita punyai tanggungjawab sangat besar bagi membebaskan sistem perundangan dari cengkaman sekularisme.

Dalam mendepani cabaran medan pilihan raya, mahu tidak mahu setiap individu rakyat itu begitu sekali bernilai bila diukur dari sudut undinya. Dalam hal inilah kita punyai tanggungjawab yang begitu sekali mustahak bagi memastikan setiap rakyat mampu memahami dan terus bersama mendokong aspirasi perjuangan.

Islam yang telah cukup segala macam panduan bagi membina masyarakat sewajarnya telah memberi kita kelebihan tersendiri agar kita menguasai medan ini. Yang perlu hanyalah berusaha menterjemah dan memastikan panduan dari sumber-sumber nas itu dapat dirasai oleh setiap rakyat.

Harus kita insaf, bagi golongan anti-Islam, mereka hanya perlu memastikan sistem perundangan yang ada terus kekal pada tempatnya. Sedangkan bagi kita yang mencintai Islam, kita punyai tanggungjawab yang sangat penting bagi mengubah sistem kenegaraan sesuai dengan ketentuan syariat. Menyedari hakikat itulah seharusnya setiap dari pendokong parti perlu memahami Islam dan syariat siasahnya sambil memperkuatkan lagi pergantungan kepada Allah SWT.

Moga catatan ringkas ini mampu memberi kita suatu rangsangan bagi memastikan rahmatnya Islam dirasai secara nyata dan tidak lagi dilihat sebagai suatu polimik dan retorik semata. – HARAKAHDAILY 31/7/2017