Syukur pembedahan Tok Guru berjaya

Kolumnis
Typography

SELURUHNYA bersyukur kepada Allah dan lapang dada mendengar pembedahan pintas jantung ke atas Tok Guru Haji Abdul Awang berjaya dan seluruhnya berdoa moga-moga dari semasa ke semasa proses pemulihan bertambah dan pulih seperti sedia kala dengan izin Allah.
        
Sekalian kemajuan rawatan jantung seperti yang dijalani oleh beliau bertambah maju dari semasa ke semasa, berjaya lebih banyak daripada tidak berjayaa, bahkan yang tidak berjaya mulai jadi kes yang terpinggir, tetapi semuanya cemas dan gugup apabila seseorang terpaksa melalui rawatan seperti itu.
        
Kita tidak tahu apa perasaan orang yang menjalani rawatan itu, tetapi semua yang mendengar dan menunggu orang yang dikasihi menjalani rawatan itu amatlah cemas dan teruji.
       
Sekalipun kes yang tidak berjaya bertambah kecil sekarang, pembedahan seperti itu memang berisiko. Risiko menjalani rawatan seperti itu mungkin kurang risikonya dengan tidak menjalani rawatan itu atau menangguhkan rawatannya. Dirawat risiko, tidak dirawat lagi risiko.
       
Maka Allah memberi pilihan, memilih yang kurang risiko adalah yang terbaik. Ternyata yang berani dan tabah menerima ujian berjaya meneruskan usia dan berbakti kepada kepada semua. Tetapi yang tidak berani menempuh ujian, tidak dapat dipastikan usianya dapat dilanjutkan.
       
Pintasan jantung memang berisiko. Bagi setiap doktor mereka berpegang pada prinsip, jika satu-satu rawatan yang  tinggal bagi seorang pesakit ialah membedahnya, sekalipun dengan membedahnya itu ia tidak dapat diselamatkan, ia tetap dibedah dan doktor tidak teragak-agak membedahnya.
       
Berita beliau hendak menjalani pintasan jantung itu disampaikan sendiri kepada saya dalam pertemuan kami kurang dari dua minit semasa Muktamar di Kota Sarang Semut yang lalu.
      
Ada perkara lain yang saya hendak cakap kepadanya. Biasalah setiap orang apabila berjumpa bertanyakan tentang  kesihatan. Saya tanya tentang kesihatannya, terus diberitahunya beliau akan menjalani pintasan jantung lepas muktamar ini. Berdegup juga hati mendengarnya. Tetapi saya tunjukkan senyum sebagai isyarat ia kini sudah kurang risiko dengan izin Allah kecuali Allah menentukan sebaliknya.
      
Insya-Allah, kata saya, ia moga-moga selamat.
       
Ujarnya, doakan ana selamat!
       
Saya ulangi, Insya-Allah anta selamat.
       
Memang saya nampak wajah keuzurannya. Memang dalam masa beberapa tahun terakhir ini beliau uzur, berulang alik antara tinggal di wad dan di rumahnya. Selalunya saya mendengar berita uzurnya saja dari  jauh. Tetapi inilah pertama kali saya bertemu dengannya dalam masa lebih dari setahun. Memang banyak perbezaannya.
      
Sekalipun saya acap menerima berita uzurnya, tetapi beliau tetapi ligat berpusing seperti gasing berada di mana-mana saja  di pentas politik  seolah-olah sihat seperti orang yang tidak pernah sakit. Seolah-olah lebih banyak masa di luar rumah daripada di rumah.
      
Mengetahui beliau hendak menjalani pintasan jantung, lupa segala yang hendak ditanya, orang lain pun ramai, maka masa kurang  dari dua minit itu kami bercakap tentang pembedahannya saja.
     
Pagi esoknya beliau akan menyampaikan ucapan dasar. Saya tidak mengganggu dengan pertanyaan lain. Orang uzur jangan diganggu sangat.
     
Saya bimbang bagaimana beliau hendak menyampaikan ucapan dasar esok? Cukup tenaga dan kudratkah?
     
Esoknya beliau berdiri di hadapan beribu orang, tidak nampak macam orang sakit. Cukup satu jam beliau membentangkan ucapan dasar dengan penuh semangat. Begitulah pemimpin sekalipun uzur, apabila di depan pembesar suara, lupa akan keuzurannya.
     
Sekarang beliau lepas ujian pertama. Insya-Allah apabila ujian pertama selamat, beliau akan segara ke tengah gelanggang semua mudah-mudahan. – HARAKAHDAILY 23/5/2017