Jadi pemimpin bukan hanya bersandar sijil!

Kolumnis
Typography

PAS menjadi tarikan pesona terbesar bagi peminat politik negara ini serta terus menerus menjadi objek perbincangan samada pada sisi putih atau hitam. Ahli-ahli PAS dan masyarakat awam juga seperti tertunjal-tunjal akal untuk mengenali siapakah dan apakah latar belakang pimpinan PAS. Cukupkah dengan sekadar menggalang gelaran akademik dan status sosial untuk memimpin sebuah pertubuhan massa bernuansa Islam ini? Adakah mereka mempunyai latar belakang yang mapan dan piawai untuk mentarjih perjalanan gerakan Islam ini?.

Ustaz Nik Mohamad Abduh, antara tokoh PAS yang popular, bukan sekadar mewarisi watak ayahandanya, namun bekas pelajar Maahad Muhammadi yang pendiam ini juga mewarisi minat ayahandanya. Ulat buku ini pada asalnya meminati bidang perubatan namun almarhum Tuan Guru mahukan anakandanya menjadi ulama besar dan mewarisi perjuangan Islam. Beliau dihantar belajar ke Deoband dan Mesir.

Nik Abduh, pulang ke Kelantan dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa dalam tempoh yang panjang dan juga Timbalan Ketua DPP Kelantan. Nik Abduh mengalahkan Datuk Ibrahim Ali dalam PRU ke-13 di konstitusi Pasir Mas. Beliau ialah penulis yang prolifik dan juga  kontroversi kepada pembenci-pembenci PAS.

Datuk Mohd Amar ialah Naib Presiden PAS yang gemar berkain pelekat, mantan Pensyarah Kanan UIA itu yang juga Koordinator Kursus di Jabatan Ilmu Wahyu Pusat Matrikulasi UIA. Beliau daripada darah keturunan ulama pejuang iaitu Tok Ayah Kedah,  manakala ayahanda, Ustaz Nik Abdullah Nik Arsyad telah mendekam dalam tahanan ISA semasa beliau berumur empat tahun. Meminati politik kerana pergulatan hidup bapanya dalam politik turut diwarisi kepada Nik Amar yang cergas dalam persatuan semenjak zaman sekolah. Di kampus, beliau terlibat dengan PMUKM, juga memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM. Datuk Mohd Amar juga menyertai PALAPES di kampus dan ini banyak membentuk disiplin beliau dalam perjuangan Islam.

Semasa berada di pemukiman ilmu di negara penjajah, beliau aktif dalam Persatuan Masyarakat Melayu Birmingham. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan serta Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada tahun 1995 dan seterusnya melepaskan kerusi Parlimen untuk bertanding di DUN Pachor. Beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan dan sering menjadi "punching bag"  pembenci-pembenci PAS.

Dr Azman Ibrahim, anak jati Terengganu ini merupakan mantan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Iraq. Beliau merupakan mantan pegawai pergigian di Kementerian Kesihatan Malaysia dan mantan Pensyarah Pelatih di USM. Dalam parti, beliau pernah memikul amanah sebagai Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, AJK Perhubungan dan Ketua Lujnah Kebajikan PAS Terengganu dan Pengarah Jabatan Kecemasan dan Pengurusan Bencana Terengganu yang bertanggungjawab mengendalikan operasi banjir di Terengganu.

Dr Azman merupakan calon PAS di Dun Jabi dalam PRU 2008 dan 2013. Beliau pernah memimpin NGO i-BANTAH untuk menangani isu kolam udang i-SHARP di Setiu dan sekarang merupakan Pengerusi NGO Media, Kumpulan Aktivis Media Independen. Beliau juga terlibat dalam dunia penulisan dengan menghasilkan empat buah buku beliau, Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat, Solat dan Sains, Air Mata Kassala dan Travelog 2, Epilog Seorang Doktor Gigi Pendakwah dan Ahli Politik, di samping bergiat aktif sebagai pendakwah dan penceramah motivasi. Beliau turut terlibat dalam misi kemanusian peringkat antarabangsa di Mindanao, Sudan dan Sempadan Jordan-Syria.

Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, antara tokoh PAS Kedah yang berjaya yang obses dengan dunia pendidikan Islam. Beliau anak kepada ilmuwan Islam di Kedah pernah berkhidmat sebagai Pengetua sekolah Agama Rakyat daripada tahun 2000 sehingga tahun 2015. Di antara individu yang berusaha mewujudkan Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Islam Negeri Kedah (MERSIK) dan diberi amanah sebagai Setiausaha, di samping pernah menjawat jawatan setiausaha di dalam Majlis Pengetua Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.

Beliau merupakan Setiausaha MTD Tanjung Dawai bagi dua penggal. Pengarah DUN sepenggal, begitu juga Pengarah JPRK Merbok. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Ulamak Kedah sebelum dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak Kedah. Pernah dilantik pemegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya III sesi 2013-2015 sebelum ke jawatan Pesuruhjaya Negeri Kedah. Beliau juga merupakan Calon PRU13 DUN Tanjung Dawai.

Dr Halimah Ali yang berketurunan Cina merupakan penasihat International Islamic Academy of Life Sciences and Biotechnology. Beliau yang juga mantan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor juga merupakan pengasas Jejak Ilmuwan Selangor, di samping menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, yang mana perbadanan ini merupakan perbadanan perpustakaan terbaik di seluruh negara.  Dr Halimah yang juga merupakan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan merupakan Chairman Founder Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) dan beliau merupakan pengasas Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS).

Bekas pimpinan pelajar Universiti di Australia ini merupakan Pengasas Quranik Botanical Garden SRA dan SRI Farabi.  Beliau yang meminati kerja-kerja kesukarelawan ini merupakan pengasas Briged Amal Selangor dan Pasukan Bomba Sukarelawan Selat Klang. Dalam NGO,  Dr Halimah diamanahkan sebagai Ketua Amalnita Malaysia yang telah banyak keluar negara melakukan misi-misi bantuan kemanusiaan. Beliau yang terkenal sebagai seorang tokoh pimpinan muslimat merupakan Pengasas GeMS iaitu Generasi Idaman Selangor dan jawatankuasa induk menangani gejala sosial Selangor.

Kamaruzaman Mohamad dilahirkan di Rantau Panjang, Kelantan. Beliau merupakan aktivis pelajar kampus di mana pernah mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPM) selama tiga tahun pada tahun 1994-1997. Anak muda kelahiran Kelantan ini merupakan Timbalan Presiden Persatuan Silat Gayong UPM dan telah mewakili UPM dalam Silat Seni dan Silat Olahraga, dan pernah mendapat tempat kedua dalam Silat Olahraga di Pertandingan antara universiti-universiti Malaysia. Kamaruzaman pernah terlibat dalam bantahan Akta Pengkorporatan Universiti dan juga membantah Kriket Israel pada April 1997.

Mantan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan mantan Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai ini,  adalah antara penggerak dalam semua bantahan awam mega seperti BERSIH 1, BERSIH 2 dan BERSIH 3. Begitu juga perhimpunan anti TPPA, perhimpunan membantah DLP, perhimpunan membantah ISA, dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dan GST. Ini juga menyebabkan beliau sentiasa berdepan dengan pihak keselamatan dan beberapa kali telah dilokapakan akibat himpunan bantahan awam di negara ini.  Kamaruzaman adalah Pegawai Khas Presiden PAS sejak 2013 dan beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan 2013-2017.

Datuk Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan merupakan Pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM. Beliau merupakan Penolong Profesor Undang-undang Ahmad Ibrahim daripada tahun 2002-2008. Anak kepada mantan pimpinan PAS iaitu Ustaz Hassan ini merupakan Penolong Pengarah di Pusat Undang-undang Harun M. Hashim, UIAM semenjak tahun 2004-2008. Beliau juga merupakan Penasihat Syariah, Standard Charted Bank 2005-2008 dan sekarang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Temangan 2008 sehingga kini.  Beliau juga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak tahun 2008 sehingga kini.

Semasa belajar di kampus UIAM, beliau adalah Amir Jamaah dan merupakan Presiden Hizbi United Kingdom dan Eire pada tahun 1999-2001 (sebuah persatuan pelajar Islam terkemuka di United Kingdom). Beliau merupakan Pengerusi Forum Malaysia United Kingdom dan Eire 1999-2001 (FMUKE merupakan sebuah persatuan induk yang dianggotai oleh lebih dari 20 buah persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland), juga Pengerusi Gabungan Pelajar Islam Malaysia Sedunia 2000-2001 (GPIMS – Sebuah gerakan pelajar yang menggabungkan persatuan-persatuan pelajar dari United Kingdom, United States of America, Timur Tengah, Pakistan, India, Indonesia dan Jepun). Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Pusat Strategik PAS dan memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kerja Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat. Beliau juga pernah menjadi AJK Institut Latihan dan Kepimpinan PAS Pusat (ILHAM) dan diamanahkan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah ILHAM.

Berlatarbelakangkan  pendidikan beliau dalam undang-undang Syariah,  beliau telah dipilih sebagai salah seorang Konsultan Syariah kepada institusi perbankan dan jabatan kerajaan, juga menjadi Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan seterusnya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi II PERKIM Negeri Kelantan. Alumni Kolej Islam Kelang (KIK)  ini juga kini dipertanggungjawabkan  untuk memikul pelbagai amanah dalam kepimpinan PAS antaranya sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Machang, Ketua Penerangan PAS Kelantan, YDP PAS Kawasan Machang, dan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan.

Ustaz Misbahul Munir Masduki ialah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Tokoh PAS Perak ini mantan Naib Ketua Pemuda PAS Perak serta mantan Ketua Pemuda PAS Perak. Pernah menjadi Johan Debat Antara Guru Peringkat Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut.

Misbah dianugerahi anugerah guru cemerlang pada tahun 1999 serta menjawat pelbagai jawatan dalam parti semasa masih menjadi penjawat awam. Antaranya Ketua Pemuda Bagan Dato, YDP PAS kawasan Bagan Dato serta pernah tiga kali bertanding di DUN Rungkup. Anak Jawa ini juga aktif dalam gerakerja dakwah dan misi bantuan kemanusiaan, pernah menjadi setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada tahun 2008 apabila PAS bersama rakan politiknya berjaya menawan negeri tersebut.

Dr Shamsuri Mokhtar merupakan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baru merupakan anak kelahiran Besut. Beliau mula mengunjungi kuliah pengajian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila dan Ust Awang Jidin (Tukul Besi) di Batu 6, sejak dari berada di Tingkatan Satu semasa bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh yang berhampiran pada zaman kehangatan ceramah dan kuliah, era tahun 1983 - 1987. Beliau memulakan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik dan Bahan di UKM pada sesi 1989/90 dan menjadi Exco PMUKM Sesi 1990/91 di era Islam Penyelamat Ummah menjadi peneraju PMUKM, di mana beliau menang tanpa bertanding pilihan raya kampus untuk kerusi fakulti.

Beliau pernah menjadi SU Cawangan Changkat Batu Gajah (Perak) sekitar tahun 1994 ketika bekerja di USM Cawangan Tronoh pada masa itu. Beliau seterusnya menyambung pengajian ke Leeds, England pada Oktober 1995 dalam peringkat Masters in Combustion and Energy, dan tamat PhD dalam kajian "High Altitude Aero-engine Ignition and Combustion" di universiti yang sama pada tahun 2001. Kajian PhD itu juga antara lainnya sebahagian dari kajian besar bersama Rolls Royce Plc. yang juga pengeluar enjin kapal terbang terkemuka dunia. Sepanjang berada di UK, Dr Shamsuri pernah menjadi Timbalan Presiden al-Hizbul Islami UK & Eire, dan Ketua Komuniti Melayu Leeds.

Beliau pulang ke tanahair pada tahun 2001, dan kemudiannya bertugas di sebuah IPTA sehingga akhirnya beliau tekad melepaskan jawatan pada tahun 2009 sebagai Professor Madya untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS. Sepanjang dalam perkhidmatan di universiti, Dr Shamsuri pernah menjadi Pengerusi Jemaah Dekan Aeroangkasa IPTA Malaysia, Penasihat Bidang Aeroangkasa kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi pada tahun 2006-2007.

Beliau pernah mengetuai delegasi Kementerian dan IPTA untuk mengadakan perbincangan teknikal di China - Korea - Jepun iaitu dengan China National Space Agency, Korean Space Agency dan Japan Aerospace Exploration Agency. Beliau juga pernah mewakili negara ke Persidangan Teknikal Teknologi Aeroangkasa anjuran National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Washington sekitar 2006.

Akhirnya pada awal tahun 2009 beliau melepaskan jawatan akademik di IPTA. Bermula pada tahun 2001 sehingga beberapa tahun kemudiannya, Dr Shamsuri dilantik menjadi Ketua Modul, Ahli Lembaga ILHAM di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, di samping sebagai salah seorang tenaga Think Tank Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau juga turut diundang memberikan ulasan semasa berlaku tragedi MH370 & MH17, di dalam Astro Awani, TV1, TV Hijrah, TV2 dan Radio IKIM. – HARAKAHDAILY 14/5/2017