Yang menarik cara PAS-PKR selesai tahaluf

Kolumnis
Typography

CARA Brexit selesaikan hubungannya dengan Komuniti Eropah telah kita ketahui iaitu Britain mesti menyelesaikan hutangnya dulu.
      
Yang jadi perhatian sekarang ialah cara mana PAS dan PKR hendak mengakhiri hubungannya kerana mereka terikat dengan kerajaan di Selangor.
      
Adapun soal tahaluf siyasi antara kedua parti itu tidak berbangkit lagi kerana Muktamar PAS ke-63 telah melulusnya kira-kira sebulat suara.
      
Yang dikatakan sebulat suara itu ialah perwakilan yang berdiri menyatakan sokongan penuh Dewan Muktamar. Pengerusi Tetap lepas itu tidak pula minta perwakilan yang tidak setuju berdiri. Jika dia minta yang tidak setuju berdiri tahulah kita berapa orang saja yang tidak setuju.
      
Memang usul itu amat popular. Cuma saya tidak puas hati kerana tidak banyak maklumat mengapa tahaluf siyasi itu ditamatkan. Sesuatu usul yang dibawa ke muktamar, bukan sekadar mahukan keputusan setuju atau tidak, tetapi adalah untuk mendapat sebanyak maklumat yang boleh.
      
Kita tahu bahawa payah hendak mengekalkan tahaluf itu, tetapi bawa sesuatu usul unuk dibahas ialah bagi mendapatkan sebanyak-banyak maklumat. Maklumat itu boleh didapati melalui perbahasan terbuka. Keputusan yang baik ialah kita berpeluang mendengar hujah mengapa ia mesti putus dan apa pula maklumat ia tidak putus-putus. Ia boleh memberi pencerahan politik kepada semua baik dalam parti mahupun di luar parti.
       
Kerana yang mahu putus dikira menyeluruh, maka muktamar yang mendengar hujah pembentang usul dan penyokong saja. Lepas itu diundi. Jika ia dibuka kepada perbahasan, nescaya kayalah kita dengan maklumat politik. Dan nescaya ia meringankan kerja penyelidik membut kajian.
       
Soal pecah tidak  dapat dihalang lagi. Ibarat suami isteri yang sudah ramai anak tetapi hidup tidak serasi. Jalan terbaik ia keluar dari rumah lebih baik daripada hidup dalam rumah yang pecah.
       
Soal pecah sudah tidak timbul lagi. Ia sudah diputuskan oleh muktamar. Yang jadi perhatian ialah cara mana dan apabila ia hendak ditamatkan.
      
Secara teknikalnya ia mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Tiada cara Majlis Syura mungkin membuat keputusan yang berbeza setelah ia diputuskan oleh Muktamar. Muktamar secara umumnya adalah pembuat dasar yang terpenting. Kuasa yang diberi kepada Majlis Syura adalah sebagai satu adab dan menapis keputusan yang diambil justeru ia adalah badan pakar dalam parti.
       
Sekarang adalah masa bagi kedua parti itu meneliti kerja-kerja  teknikal bagi memulakan tamat tahaluf itu kerana membabitkan kerajaan Selangor. Apakah ia dilaksanakan bila-bila masa saja sekarang atau tunggu sehingga tamat apabila Dun dibubarkan dalam pilihan raya umum serentak dengan pembubaran Parlimen?
       
Keputusan yang dibuat oleh muktamar itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri politik matang dan sejahtera yang jadi wawasan PAS sekarang. Dan kerja menamat tahaluf dan masanya sudah tentu mencerminkan pengisian budaya poitik matang dan sejahteranya.  
      
Semuanya sedang memerhatikan pengisian awal BPMS itu menyuluh cara mana akan dilaksanakan kiranya PAS menawan Selangor selepas pilihan raya  nanti. Ia akan jadi panduan kepada pengundi untuk bersama dalam pilihan raya itu nanti.
      
Secara mudah PAS boleh keluar daripada kerajaan Selangor hari ini juga. Tetapi ia akan meninggalkan kesan kepada kerajaan dan PKR tentu ada langkah persiapan bagi menghadapinya. Apa ia hendak buat?
     
Pecah tetap pecah tetapi cara pecah itu hendak bermula dan bila? – HARAKAHDAILY 8/5/2017