Saingan PAS ialah Bersatu?

Kolumnis
Typography

PAS telah meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR. Ia satu cara yang baik bagi memudahkan PKR menghadapi PRU14 tanpa PAS. Ini membolehkan PKR meletakkan calonnya di mana-mana. Tidak memerlukannya berbincang dengan PAS.
       
Adalah lebik baik PKR dimaklumkan dulu. Mereka tidak terperangkap pada saat terakhir.
       
Ramai yang susah hati dengan keputusan PAS khususnya dari orang PAS yang beruzlah dengan PAS. Ia dirasakan PAS mengambil tindakan kamikaze – bunuh diri.
       
Tapi saya ada cerita yang menyenangkan hati.
       
Semasa di Kedah kerana muktamar PAS 63, saya bercakap dengan seorang awam yang saya rasa dia bergaul dengan semua orang. Dia dengan kerjanya, tidak mengikut muktamar.
      
Katanya, kebanyakan orang Kedah tidak mengundi Umno/BN dalam pilihan raya kali ini. Tetapi dia tidak tahu siapa yang menang antara PAS dengan Bersatu.
      
Orang yang menyokong Bersatu sekarang ramai. Dia tidak ceritakan mengapa orang tidak mahu undi Umno. Tetapi dia kata, ramai orang suka Mukhriz. Orang tak suka Menteri Besar sekarang.
     
Antara yang menyebabkan mereka suka Mukhriz, dia dikatakan tidak mengambil gaji. Elaun wakil rakyatnya habis dibagi kepada masjid.
     
Peluang bagi PAS sekarang sama banyak dengan Bersatu.
     
Saya bercakap juga dengan orang-orang Kelantan yang hadir di muktamar. Ancaman pada PAS di Kelantan sekarang bukan Umno dan Pakatan Harapan. Tetapi Bersatu.
     
Lain-lain parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat tiada pengaruh di Kelantan, tetapi Bersatu lebih kuat daripada yang lain-lain. Untuk kata Bersatu boleh mengalahkan PAS adalah terlalu laju.
     
Dalam suasana sekarang bertanding lebih daripada dua penjuru menguntungkan PAS. Pembangkang PAS di Kelantan sekarang, kata mereka tidak bersatu. Mereka berpecah antara Umno dan Pakatan Harapan.
    
Sekalipun Bersatu lebih pengaruh daripada Pakatan, masih disangsikan ia cukup untuk mengalahkan PAS.
    
Seorang perantau Kelantan di Kuala Lumpur memberitahu saya, Umno di Kelantan bukan saja tidak mahu ada pilihan raya, tetapi mereka juga tidak mahu hari raya.
     
Jika boleh, biar puasa dalam bulan Ramadhan ini tidak berakhir pada hari raya. Biarlah orag lain semuanya berhari raya, tetapi mereka mahu terus berpuasa.
      
Semua yang saya dengar di Kedah dan Kelantan itu cerita yang menyenangkan hati orang PAS. Saya belum dengar apa-apa cerita orang di Perak, di Johor dan di Pahang.
     
Jika betul di Kedah dan Kelantan Bersatu boleh muncul bagi mengikuti PAS dari belakang, maka tidak mustahil di negeri-negeri lain juga Bersatu menjadi tenaga yang penting mengancam Umno.
      
Kelebihan Bersatu daripada sekutu Pakatan Harapan yang lain ialah ia meraih sokongan orang Umno yang tidak sukakan Najib dan tidak lagi yakin Umno masih memperjuangkan perjuangan Umno. PKR mungkin berupaya meraih lagi sokongan pengundi Cina dan India tetapi sebahagian daripada kekuatan PKR dulu adalah kekuatan PAS.
      
Jika PAS yang sabar bulat di belakang PAS, maka penyokong PKR tidak sekuat dulu lagi.
       
Apabila orang PAS semuanya jadi seperti sirih pulang ke gagang, maka harapan Pakatan Harapan bergantung kepada harapan saja.
      
Maka dengan semua penglipur lara yang menyenangkan hati orang PAS, jika betul sebagai yang diceritakan, saingan PAS selain Umno sekarang ialah Bersatu. Jika Bersatu tidak memikir untuk meraih undi Cina dari DAP, bertahaluf PAS dengan Bersatu boleh jadi pukulan maut kepada Umno. – HARAKAHDAILY 5/5/2017