Sayunya membaca rintihan Pak Habibie

Kolumnis
Typography

AMAT tersentuh hati membaca rintihan Pak BJ Habibie, mantan Presiden ketiga Indonesia yang di hari-hari tuanya kesepian menduda di kediaman mewahnya tetapi bertemankan oleh seorang yang sudi bersamanya.
      
Isterinya sudah lama mendahului. Ada anak tiga masing-masing punya kerjaya penting boleh dikira berada, tetapi berjauhan baik dalam negeri dan luar negeri. Acap juga dikunjungi anak cucu tetapi rasa terasing. Tentu kesunyian itu terubat jika senstiasa dikelilingi anak cucu.
      
subkySaya tidak setuanya, hujung Julai ini genap kurang setahun 80 tahun. Jika saya nanti mencapai usianya sekarang mungkin saya juga merasai seperti rintihannya.
       
Sebelum jadi Presiden pun beliau sentiasa riang di tengah masyarakat sebagai orang yang rapat dengan Presiden Suharto dan sebelumnya sebagai seorang  karyawan jurutera yang  menguasai ilmu teknologi membuat kapal terbang di Jerman.
       
Baginya jika ada pilihan menuntut ilmu sekarang dia memilih menguasai ilmu agama kerana ilmu itu lebih berguna buat dirinya terutama di hari tua ini. Cemerlang ilmu teknologi kapalterbang tidak sama  dengan kecemerlangan ilmu agama.
      
Sekalipun kejuruteraan dan teknologi itu amat penting bagi manusia, tetapi ilmu agama pilihan umat dan manusia.
      
Andaian saya jika penguasaan kejuruteraan dan teknologinya dapat disempurnakan dengan menguasai ilmu agama, nescaya beliau tidak merasai sunyi menduda dan tidak dikelilingi anak dan cucu. Ilmu agama itu akan menemani seseorang hatta di ambang ajalnya. Ahli agama itu akan penuh masa bersama masyarakat.
      
Bapa saya ada pengetahuan bertukang kayu. Bila mencecah usia 80-an, tidak berupaya memahat dan mengetam papan. Kurang 12 jam sebelum ajal masih menyampaikan kuliah Maghrib di masjid. Apak tidak mampu menunggang motosikal ke masjid, tetapi semua surau dan masjid menjemputnya di rumah.
      
Masa petang anak sibuk kerja, cucu sibuk main. Ayahanda tidak keseorangan, seorang warga emas 60-an setiap petang datang menadah kitab belajar nahu Arab. Sekalipun yang belajar itu seorang dia tetap menyampaikan ilmunya.
      
Presiden Habibie bercakap betul jika beliau ada peluang belajar lagi, pilihannya ialah ilmu agama. Dengan tradisi pak kiyai yang tidak selesa duduk saja, menyampai ilmu lebih selesa dari tidur. Kadang-kadang pak kiyai rasa tidak senang dengan cucu sekeliling pinggang kerana ia mengganggunya menyampai ilmu kepada murid-muridnya.
     
Imam Nawawi seorang imam besar Mazhab Syafie justeru sibuknya menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu hingga tidak sempat mendirikan rumah tangga.
       
Pak Habibie bukanlah tidak pernah mendapat pendidikan agama. Beliau adalah intelektual Islam di tengah masyarakat Indonesia  dan sebelum menjadi Presiden adalah pemimpin gerakan ICMI, sebuah badan dakwah penting masyarakat elit Jakarta.
      
Tetapi latarbelakang sebagai jurutera dan teknologi  lebih menonjol dari penguasaan agamanya.
      
Sebagai orang  tua yang banyak pengalaman dan berpandangan jauh, sunyi yang dirasanya itu mungkin satu persepsi betapa umat Islam itu mesti mengutama dan menguasai ilmu agama dulu sebelum meneroka lain-lain cabang ilmu.
      
Semua ilmu adalah penting, tetapi umat Islam wajar alim dulu dan kemudian menguasai dunia  teknokrat dan dan lain-lain.

Rintihannya tadi bukanlah justeru dia ketinggalan dalam hidup sebagai umat Islam tetapi terasa rugi tidak setara Hamka dan ulama dan kiyai besar Indonesia yang lain. – HARAKAHDAILY 31/7/2019