Apa jadi China tak tindas Uighur?

Kolumnis
Typography

SEMUANYA, atau majoriti umat/Negara Islam sekarang ini kata China tindas etnik Uighur tuan bumi wilayah Xinjiang, satu-satunya wilayah Islam di tanah Besar China.
      
Kalau ada yang kata China layan seadilnya umat Islam Uighur ia sama seperti Amerika yang buat tidak tahu Israel/Yahudi  tindas Palestin. Jika ada orang Islam kata, Palestin tidak dikejami Yahudi ia adalah seperti yang Islam diberitahu betapa Yahudi tidak redha sesiapa tidak jadi Yahudi.
       
Cuma kekejaman China Islam  Uighur tidak disebut dalam kitab suci, tetapi penindasan Firaun terhadap penganut agama tauhid banyak disebut.
      
Maka saya payah percaya ada menteri Melayu beragama Islam yang diajak ke China ketika China dituding jadi macam Yahudi terhadap Islam Uighur kata pemerintahan China tak buat apa-apa kepada mereka.
       
Kita faham diplomasi PM Mahathir yang berusaha jadi orang baik China berkata elok tentang China bila China beri beliau jadi pemimpin pertama Asia memuji China atas projek laluan jalan sutera merentas Asia-Eropah dalam sidang kemuncak dunia di Beijing atas subjek itu. Islam dan dunia tidak rugi apa jika China suka dengan diplomasi Mahathir itu.
       
Tetapi umat Islam dunia, khususnya di Xinjiang menangis air mata darah bila menteri Islam Malaysia kata China melayan mereka seadilnya.
      
Saya tidak tahu apakah menteri itu kata begitu keluar dari lidah dan dua bibirnya atau ia keluar dari gusi gigi palsunya?
      
Saya suka menyantuni menteri-menteri kita terutama yang Islam. Tetapi saya payah menyenangi pandangannya itu.
      
Telah tertanam di hati saya betapa komunis itu kaya dengan propagandanya. PAS istiqamah  memperjuangkan pemerintahan berasaskan al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Kedutaan Soviet Union di Kuala Lumpur pernah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa Soviet Union juga mahu menegakkan pentadbiran berasaskan Quran dan hadis di wilayahnya.
      
Sampai mati saya tidak percaya akan propaganda komunis itu. Meskipun China sudah beramal lebih kapitalisma dari komunismanya, otak penguasa pemerintahan tebal propaganda komunismanya kerana ia belum keluar dari sarang komunisnya dan komunis itu anti semua agama apa lagilah Islam.
      
Saya baru berusia 30-an ketika mengikuti Tun Razak menormalisasikan hubungan diplomasi China-Malaysia pertengan tahun 70-an. Orang Malaysia dalam  rombongan itu yang jakun dengan propaganda wilayah tembok besi China yang ikonnya masih Mao Zedung berlumba-lumba ziarah masjid di Beijing.
       
Menteri termasuk Mohamad Rahmat dan lain-lain puas hati dibawa melihat masjid di Beijing dan dapat taklimat dari pemandunya. Mereka balik dengan persepsi ada kebebasan beragama dalam tembok wilayah anti agama.
      
Saya tidak ikut mereka dan berminat dalam program yang dibenarkan pentadbiran komunis China itu. Bagi saya ia tidak terlepas dari gula-gula propaganda komunis dan saya tidak mahu jadi penyebar yang terpesona dengan propagandanya. Mengelaknya lebih baik dari termakan popagandanya.
       
Saya bimbang menteri Melayu yang diajak ke Beijing itu sudah tercelup dalam mandian propaganda murah hingga dalam diplomasi dunia seantero mengira Islam Uighur ditindas rejim kukus besi, terhegeh-hegeh kata ia tidak tekan mereka.
      
Kalau rusa masuk kampung ia sesat. Jika Beijing ajak Xinjiang jangan hantar yang macam rusa. Hantar menteri luar yang banyak tahu tentang banyak perkara yang tidak diberitahu.
     
Laporan tentang Uighur menteri adalah bunyi dari celah gigi palsu. Gigi palsu demi kemudahan makan bukan untuk dimakan. – HARAKAHDAILY 20/7/2019