Tahniah hari jadi ke-94 Mahathir

Kolumnis
Typography

SAYUGIA kita, PAS sebagai pembangkang adalah bersama penduduk dunia seluruhnya menganugerah dan ucapan selamat hari jadi ke-94 10 Julai lalu.
      
Didoakan sihat, kesihatan yang terkawal, diberi kekuatan bagi meneruskan pentadbiran negara, moga-moga memulihkan segala yang tempang sesegera mungkin dalam tempoh penggal dan usia lanjut yang Allah anugerah itu.
      
Tiada Perdana Menteri pilihan rakyat berusia 90-an melainkan dari Malaysia saja dan itu pun sekarang dan Malaysia pun mungkin tidak dapat mengulangi pengalaman dan sejarah itu dalam berapa tahun akan datang.
      
Bukan kita saja, bahkan tiada dunia demokrasi ada Perdana Menteri seusia itu. 80-an payah. Perdana Menterinya itu tidak sekadar menghadirkan diri saja, bahkan menghidupkannya dengan aneka wawasan.
      
Jika boleh biar dia jadi Perdana Menteri sehingga usia 100 tahun, biar tercatat dalam sejarah dunia betapa Perdana Menteri yang mencapai usia 100 tahun hanya dari Malaysia. Kita tidak banyak sejarah gemilang, biar PM 100 tahun jadi kegembiraan kita.
      
Inipun satu anugerah Allah kepada kita. Kita sayugia syukur dengan pemberian-Nya itu dan sebagai orang Islam kita pohonkan dilimpah hidayat sempurna, moga-moga pimpinannya membawa rahmat dan kemakmuran.
       
Gagasan Penyatuan Ummah (GPU) yang merangkumi PAS dan Umno, setuju dia terus jadi PM hingga tamat penggal, bukan sementara. Jika jadi PM hingga usia 100 tahun tiada masalah. Biar sejarah PM 100 tahun datang dari negara kita.
      
Tetapi untuk sampai ke usia itu kita terpaksa tunggu enam tahun lagi, sedang PRU15 dijangka dua tiga tahun lagi. Demi demokarasi GPU tidak sedia tunggu enam tahun, lainlah jika SPR lanjutkan tempoh PRU15 hingga tahun 2025.
     
Sekalipun sentimen sejarah demi negara adalah menarik, GPU boleh bersabar hingga  tempoh penggal yang ada sekarang saja. Jika penggal yang ada ini dipendekkan, Gagasan Penyatuan Ummah mengalu-alukan.
      
Bagi wawasan Gagasan Penyatuan Ummah, lagi panjang tempoh kerajaan PH, lagi banyak kerosakan negara dan kemusnahan umat. Membenar dia menghabiskan penggalnya ialah bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih banyak. Buruk juga tetapi buruk yang tidak maksimum.
      
Ada tanda-tanda kesabaran PAS disukai Bersatu, parti Dr. Mahathir. Tan Sri Muhyiddin Yassin mewawaskan Dr. Mahathir bukan PM sepenggal, bahkan untuk beberapa penggal, hingga usia lewat 100 tahun.
      
Dari sudut sejarahnya ia boleh ditoleransi tetapi dari sudut demokrasi dan keburukannya, PAS tidak boleh terima. Penggal yang normal ini saja sudah banyak bobroknya. Jika lebih dari satu penggal lebih pula bobroknya. Jika mahu dilanjutkan lebih dari satu penggal ia mesti berlawan dulu dalam PRU. Tiada laluan mudah.
     
PAS, Umno sabar PM menamatkan penggalnya, bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia tidak mahu demokrasi yang berbilang PM dalam satu penggal. Indahnya kerajaan PH ialah anti rasuahnya saja. Keadilan, perkauman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain hapak dan haprak belaka.
      
PAS tidak tahu apa yang ia boleh dapat dengan menyokong Mahathir terus jadi PM. Untuk join PH, ikut loghat bahasa Ustaz Fadzil Noor ia tidak buloq. Mahathir jadi PM semula bukan atas sokongannya.
Dia naik kali ini atas sokongan Kit Siang.
      
Bila dia hendak dibuang, PAS tidak mengundi membuangnya. PAS mahu dia terus jadi PM pada usia 95, 96 dan 97 dengan izin Allah. PAS harap kesihatannya yang elok. Itulah doa harijadinya yang ke-94. – HARAKAHDAILY 17/7/2019