Murid Cikgu Hussin hafiz setahun

Kolumnis
Typography

CIKGU Hussin Ismail yang mengetuai Yayasan Amal Malaysia sekurang-kurangnya menjalankan dua sekolah tahfiz yang dikendalikan oleh anak-anaknya  sendiri di Lembah Klang.
       
Dia hendak menganjurkan sebuah lagi di Gombak.
       
Katanya, seorang guru mengendalikan tidak lebih dari sepuluh orang.
       
Dia tidak mengajar. Yang mengajar anak-anaknya dan orang lain.
       
Programnya, murid-muridnya boleh khatam dalam masa setahun. Sudah dibuktikannya, sekitar 70 peratus muridnya tamat dalam masa setahun. Yang tidak hafiz setahun akan hafiz beberapa bulan kemudian, tetapi kebanyakannya tamat mengikut jadual.
      
Seorang anaknya pernah saya hantar ke Turki. Dia berjaya hafaz dalam lingkungan dua tahun. Anaknya itu melanjut pelajaran ke Mesir dan kini mengurus sekolahnya.
      
Di bawah kelolaan anaknya inilah kira-kira tujuh dari sepuluh yang dididiknya khatam dalam masa setahun.
      
Saya rasa tidak percaya. Tapi saya percaya dia bercakap betul pada saya.
      
Saya tahu ada murid tahfiz di sana sini berjaya hafaz dalam masa setahun atau kurang. Tetapi di sana satu dan di sini satu.
      
Untuk lebih dari separuh murid sekelas hafaz dalam masa setahun boleh dikira ajaib. Bukan mustahil.
       
Macam mana Cikgu Hussin boleh lakukan?
       
Katanya, murid-muridnya penuh masa menghafaz di asrama. Mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah kecuali beberapa hari tertentu seperti raya.
      
Inilah yang dilakukan di Pakistan dan beberapa negeri atas angin.
      
Mungkin terlalu ketat untuk murid-murid itu. Mungkin ia paksaan yang keras, tetapi ia bukan satu deraan. Dalam masa setahun yang begitu kebanyakan hafal Quran. Ada yang dilapor murung atau sakit jiwa atas disiplin yang ketat itu. Hasilnya anak-anak itu yang otak dan dadanya penuh dengan ayat Quran.
      
Ke mana mereka hendak dihantar, mereka boleh menyambung pelajaran. Katakanlah anak-anak itu  masuk ke situ usia 12 tahun. Setahun kemudian dia hafiz. Masuk sekolah menengah rendah mana pun mereka diterima dan boleh ikut pelajaran yang ada di situ.
      
Saya ada anak yang tidak pernah ke sekolah menengah. Lepas UPSR dia belajar tahfiz. Tamat tiga tahun kemudian dia masuk peperiksaaan SPM ambil Bahasa Melayu saja. Dengan lulus itu dia jadi imam di sebuah masjid universiti. Seorang lagi sekolah rendah pun tak lulus. Setelah tamat pengajiannya di luar negeri, dia tidak ambil peperiksaan untuk layak bekerja dengan Kerajaan Malaysia.
        
Tetapi setiap kali anak pegawai Wisma Putra mengadakan motivasi pengajian agama, mereka yang mudah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, maka dialah mereka panggil.
       
Sekarang ada skim di depan murid boleh hafiz setahun. Wajarlah kementerian mendekati dan mengkaji kaedah pengajarannya supaya lebih ramai anak yang belum baligh hafaz Quran dan lulusannya boleh diprogramkan untuk menjadi ahli ilmu duniawi dan ukhrawi.
     
Bila Quran sudah masuk ke dada dan kepala anak, semua pelajaran jadi senang bagi mereka. Jika kerajaan peka dengan sekolah Hussin Ismail ini, tidak sukar Malaysia ada ulama dekat martabat Imam Bukhari dan Imam Ghazali.
      
Imam Syafie hafiz sebelum 10 tahun dan jadi mufti ketika 11 tahun. Tidak mahukah Malaysia yang belum 15 tahun mahir Quran dan hadis?
      
Hussin Ismail sudah memulakannya. – HARAKAHDAILY 14/7/2019