SPRM: Sumpah Kerajaan PH dilanggar

Kolumnis
Typography

KERUSI Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesungguhnya panas baik semasa Najib mahupun semasa Dr Mahathir kini.

Dua isu besar melibatkan penyandang kerusi itu menjadikan badan pencegah rasuah itu bergolak sakan.

Pertama pelantikan ketua pesuruhjaya barunya, peguam Latheefa Beebi Koya, seorang pengasas dan pimpinan tinggi PKR adalah orang luar dari perkhidmatan kerajaan.

Kedua, pengerusinya yang baru setahun dilantik untuk kontrak dua tahun tidak mahu menyambung perkhidmatan yang berbaki setahun lagi.

Pelantikan Latheefa amat mengejutkan dan tidak terfikir oleh sesiapa melainkan orang yang melantiknya iaitu Perdana Menteri Mahathir. Mesti ada orang memuafakatkannya yang tentunya pimpinan PKR sama ada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR atau timbalannya Dato’ Seri Azmin Ali yang dipercayai lebih dekat dengan PM Mahathir.

Anwar tidak jauh dengan PM tetapi tidak dekat sangat sedekat Azmin dan PM. Dekatnya Azmin dengan PM dirasakan lebih dekat dari Anwar. Jika ia dimuafakatkan, maka mungkin antara Azmin dulu dari Anwar. Dan mungkinkah Awnar tak tahu apa-apa?

Apakah mungkin muafakat itu berlaku dulu sebelum penyandang kerusi membuat keputusan tidak mahu menyambing lagi perkhidmatan?

Mengapa tuan penyandang tidak mahu menyambung khidmat hingga tamat dua tahun? Adakah ia atas pilihan sendiri justeru susah bekerja dengan kerajaan yang ada? Atau dia diisyaratkan secara langsung atau tidak melepaskan kerja besarnya memerangi rasuah hingga ke akar umbi?

Adalah kepentingan untuk semua hendak tahu mengapa dia berhenti. Jika Mahathir dan tuan penyandang enggan memaklumkan yang sebenar, patut ada pihak membentuk penyiasat bebas menyiasat kejadian itu.

Siapa lebih kuat anti rasuah antaranya dengan PM Mahathir? Mengikut rekod dia anti rasuah tegar sejak berkhidmat di SPRM. Ada pun PM baru saja jadi anti rasuah tegar. Tidak diketahui dulu amat anti rasuah.

Setelah BN dan Najib dikatakan amat rasuah dan ia antara isu yang menumbangkan kerajaannya, maka PM sekarang panglima utama memerangi rasuah. Tuan penyandang anti rasuah sepanjang perkhidmatan, PM jadi anti rasuah tegar sejak berkawan dengan Kit Siang, sejak PH menggantikan Pakatan Rakyat.

Adapun penyandang pernah bersara awal kerana payah bekerja di bawah Najib dan Najib pun suka dia bersara. Setelah Najib tumbang, PM Mahathir panggil dia balik jadikan pengerusi SPRM yang baru macam dia jadi Latheefa penggantinya.

Mungkin baginya dengan Najib payah bekerja, dengan Mahahir pun payah bekerja. Maka ditinggalkannya perang besar yang sedang berjalan. Dulu dia berhenti kerana rasuah tidak boleh diperang. Sekarang dia berhenti kerana payah perang?

Maka Latheefa disediakan menggantikan panglima besar perang rasuah itu. Dia tiada pengalaman perang dan tiada pengalaman tentera memerangi rasuah. Macam Konggo baru merdeka 50 tahun dulu. Ia tiada jeneral. Yang ada koperal Mubutu. Mereka jadikan dia Jeneral Mubutu.

Apabla PH berkuasa, PM dan kerajaannya bersumpah tiada akan ada lantikan politik bagi jawatan utama kerajaan. Tidak mahu jadi macam Najib angkat orang luar jadi Setiausaha Kementerian Kewangan.

Setahun selepas bersumpah dilanggarnya sumpah, dijadikan Latheefa, peguam bela kes Awnar dari mula hingga akhir. Sedang belum pernah SPRM diketuai bukan pegawai kerajaan. Jika pengerusi SPRM diisi dengan orang luar, maka mungkin satu hari nanti Ketua Polis Negara diisi dengan mana-mana pimpinan kanan PH.

Mengapa? Supaya SPRM tidak tangkap pemimpin politik? – HARAKAHDAILY 26/6/2019