Video Azmin: Mahathir kaya pengalaman tangani

Kolumnis
Typography

SEBAGAI ahli PAS semua mesti patuh atas pencerahan Timbalan Presidennya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, diam saja atas video yang babitkan menteri Azmin Ali yang difitnahkan berkelakuan sumbang dan tidak senonoh.

Setiap penyokong PAS mesti diam dan tengok saja.

Biarkan ia ditangani oleh Perdana Menteri Mahathir yang kaya pengalaman atas isu seperti itu. Allah takdirkan dia dua kali jadi Perdana Menteri. Setiap kali jadi PM, ditakdirkan dia berdepan dengan kes tidak senonoh yang membabitkan orang kuatnya. Pertama dengan timbalannya, Anwar Ibrahim. Kini dengan menteri kanannya pula.

Dia ada pengalaman menangani yang pertama dulu dan biarkan dia menanganinya video Azmin ini baik seperti dulu atau berbeza.

Inilah ujian dan cabarannya dan kemudian kita masing-masing boleh hakimi layanannya atas dua kejadian itu.

Setiap sebaran dan tular seperti ini, reaksi awal semua ialah jangan percaya hinggalah ada keterangan dan kesaksian mengesah dan mensabitkannya.

Fitnah berat pernah dihadapi Nabi Musa. Ada wanita upahan mengaku Nabi Musa tidak senonoh terhadapnya. Setelah wanita itu disoal siasat dia mengaku diupah Qarun. Gara-garanyanya semua asetnya bersama Qarun sendiri ditelan bumi hingga menjadi Tasik Fayyun seluas mata memandang 100 kilometer dari Kaherah.

Lazimnya semua tidak mengaku akan tohmah dan dakwaan ke atasnya apa lagilah fitnah. Kebanyakannya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Seperti Anwar tidak pernah mengaku, maka Azmin juga tidak mengaku.

Dan kalau Azmin mengaku sekalipun, jangan mudah percaya. Jangan terima bulat-bulat. Mungkin ada yang tidak kena menyebabkan dia mengaku.

Seorang wanita mengadu kepada Rasulullah SAW dia berzina dan minta dihukum. Baginda tidak menerima pengakuannya, menyuruh dia balik dan fikir semula pengakuannya. Kemudian dia datang lagi mengukuhkan aduannya. Baginda menolak juga. Setelah wanita itu datang lagi dan mengaku hamil, baginda menasihatkannya supaya melahirkan dulu anak.

Setelah anak dilahirkan dia merayu lagi supaya dihukum, Rasulullah SAW minta tangguh hingga bercerai susuan. Bila anak berhenti menyusu, dia menyerah diri supaya dihukum, baginda memaklumkan Allah telah mengampunkan dosanya.

Nabi sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu cepat mempercayai segala yang ditular. Siasat dulu segala yang didengar dan yang diadu. Keadilan dalam Islam bukan sekadar tidak mahu cepat menghukum, tetapi mencari jalan bagaimana hendak membebaskan seorang yang didakwa.

Kejadian yang sejati ada pada undang-undang yang adil dan mahkamah yang adil. Masalah kita ialah ada persepsi mahkamah tidak cukup wibawa menjalankan keadilan. Undang-undang adil tetapi keadilan banyak ditentukan oleh orang bukan undang-undang.

Dalam kes Anwar orang ragu untuk berserah bulat kepada undang-undang dan mahkamah. Persepsi umum ialah keadilan itu dipengaruhi oleh Sang Perdana Menteri. Kerana keyakinan kepada mahkamah dan undang-undang rendah, maka semua berserah kepada Perdana Menteri menangani fitnah yang melanda Azmin.

Mahathir banyak pengalaman menangani kes Anwar dari dulu dan sekerang, maka menyerahkan isu Azmin kepada Mahathir adalah lebih menyenangkan fikiran. Berfikir amat memberat diri, yang senang ialah jadi sabut atau jadi batu. Yang tenggelam itu batu, yang timbul itu sabut.

Semuanya menunggu kata Mahathir, ikut cara mengadili Anwar dulu atau cara baru?

Mengapa jadi begitu? Kemerdekaan kita separuh masak – rakyat sekerat bebas sekerat terkongkong. Bila Islam tidak dipakai merdekanya lompong, fitnah berkussa dari kebenaran. Keadilan ikut batu dan sabut. – HARAKAHDAILY 18/6/2019