Masjid kawasan larangan politik

Masjid Rusila.

Kolumnis
Typography

PAS dan Umno yang dipersepsi umum sebagai dua parti politik pemecah umat Melayu/Islam selama lebih separuh abad adalah pengguna masjid dan surau teramai dan terpenting di Malaysia. Tanpa kedua-duanya nescaya kosong dan terkuncilah masjid.

Adapun parti-parti yang ada Islam sebagai ahli adalah pengguna minoriti masjid. Akan orang atas pagar yang tidak berpolitik seperti Tabligh tegar dan lain-lain juga minoriti.

Sudah setengah kurun orang politik PAS dan Umno adalah maklum masjid adalah kawasan larangan politik. Larangan itu bukan untuk politik berparti. Ada orang tidak ahli mana parti politik seperti Mufti Perlis misalnya, tiba-tiba dia berceramah politik di masjid pun dilarang sedang mereka bukan ahli politik parti.

Masjid yang terkecuali yang sebuah saja iaitu Masjid Rusila. Dengan sebuah dari ratusan ribu masjid di negara kita, tidaklah di mana-mana selain daripadanya PAS mencabul larangan berpolitik itu. Umno yang kaya dengan Rumah Umno di setiap desa lebih selesa berpolitik di premisnya kerana tidak perlu tanggal kasut dan tutup aurat.

Sekalipun PAS dan Umno tidak guna masjid, rekod pepecahan umat yang dipersepsikan itu adalah paling ketara setengah kurun lalu. Masjid sebagai kawasan larangan politik tidak banyak menyumbang perpaduan yang dicari itu.

Apapun adalah silap PAS dan Umno yang sudah berdua sekarang sama-sama bergiat ibadat bulan Ramadan dengan memasang sepanduk politik dalam masjid. Sekalipun sekadar sama-sama bertadarus, tetapi memasang bendera parti boleh menyakit mata orang-orang yang menyucikan diri dari apa jua yang dikatakan politik.

Perbalahan PAS dan Umno dalam rangka taawun penyatuan sudah licin. Jangan anggap penyatuan ummah itu sudah tiada masalah lagi beribadat sambil politik di masjid termasuk memakmurkan masjid dan bulan Ramadan. Fobia politik masih ada di hati Melayu. Orang Melayu kena mandi limau tujuh masjid bagi membasuh fobia politik.

Mungkin politik PAS dan Umno yang betul bendul itu menyangka penyatuan ummah yang holistik dan penuh barakah wajar buat di masjid, justeru masjid itu adalah Rumah Allah dan hadapan Allah mereka menyatukan hati moga-moga jadi taqwa. Dengan niat iktikaf beroleh pahala. Beribadat di markas tarbiah dan Rumah Umno tidak dapat pahala iktikaf. Mana ada lokasi paling suci bagi mempamerkan perdamaian selain dari masjid?

Raja pun tentu berlapang dada jika rakyat sudah berdua, sama ngaji dan sama tadarus dalam masjid. Cuma jangan pasang lambang parti kerana payah hendak jawab takwil pacal-pacal fobia politik terutama yang tidak mengenali adanya siyasah syariyah.

Politik itu ada pahala dan ada dosa. Politik penciptaan manusia sebagai khalifah adalah yang berpahala. Iblislah yang memesongkan politik berdosa.

Mana lebih baik rakyat berdamai dan bersatu di depan raja di masjid dari mereka bersatu di belakang raja di luar masjid? Paling unggul raja rakyat berpisah tiada, ialah raja rakyat berpisah tiada di dalam masjid.

Jika terlepas laku lambang parti dipasang di masjid, bisikkan kepada orang politik bersatulah dalam masjid, tinggalkan lambang di luar pagar. Belum masa ‘Roket’ dan ‘Bulan’ boleh dibawa ke masjid.

Bukan zamannya yang tersilap bawa lambang dibangsakan derhaka. Derhaka itu di zaman Hang Jebat. Yang membangkit derhaka boleh jauhkan istana dari rakyat kerana rata-rata peka berpolitik di luar masjid. Larangan sudah ada, tidak perlu dibaharui, memadai mengingatkan adab berpolitik semasa di luar masjid. – HARAKAHDAILY 17/6/2019