Tak bolehkah 13 tahfiz diselamat?

Pelajar KITTIS.

Kolumnis
Typography

SEBAGAIMANA restoran Cina dan India menghidangkan makanan halal mesti ada piawaan halal, masjid dan sekolah tahfiz mesti penuh syarat layak guna.

Atas logik itu dikehendaki maahad tahfiz di mana-mana memenuhi kelayakan itu dan justeru itulah JAIS mengarah tutup 13 pusat tahfiz di Selangor. Tidak perlu ia diarah istana atau tidak. Bukan sekadar sekolah tahfiz, jika masjid sendiri tidak lulus sijil layak pakai, wajar dilarang solat dan iktikaf di dalamnya.

Tetapi adakah umat Islam dari raja hingga rakyat jelata Selangor sudah berusaha untuk menyelamatkan tahfiz 13 itu? Kita kempen sedunia agar jutaan umat jayakan World # Quranhour, pantang ada bencana dilancar pungutan bantuan dari semua. Jika ada sekolah Cina diarah tutup kerana dikatakan tidak memenuhi kehendak nasional, nescaya jutaan dalam sejam mereka kumpul bagi menyelamatkannya.

Sekolah tahfiz iu adalah tuntutan Iqrak, wahyu pertama disampaikan kepada baginda Rasul supaya umat celik, hidup dan menguasai al-Quran. Produknyalah nanti akan menghidup dan memakmurkan kempen World # Quranhour.

Bukan mereka ingkar akan syarat yang dikehendaki, tetapi yang menyambut agama tauhid yang dibawa setiap rasul ia hamba, yang tiada status dalam masyarakat, ahli assabiqun dan awalun mempelajari al-Quran dari Nabi di gobok sempit dan pangkal pokok kurma.

Maka yang menyabut tahfiz diakhir zaman inipun kebanyakan anak-anak dan ibu bapa miskin, dan tergerak untuk membuka tahfiz juga adalah tok guru yang tidak kaya. Ada jutawan melimpahkan harta menaja tahfiz dan memberi bangunan besar, tetapi jarang-jarang dibandingkan permintaan yang merata dari masyarakat sekarang.

Antaranya buta jawi gara-gara dasar pendidikan songsang dulu, tetapi setelah kaya dan timbul kesedaran, mereka tebus buta jawinya itu dengan menaja tahfz supaya generasi selepasnya tidak senasibnya, biar mereka bukan sekadar menguasai jawi tetapi menguasai al-Quran. Jika mereka tidak boleh bacal-Quran, biar orang selepas mereka mahir dan hidup dengan Quran.

Dengan kos hidup tinggi, harga perkhidmatan juga melambung, sudah bersyukur jika ada sekolah Quran di bangsal pisang sesikat. Jauh dari memenuhi piawaan semasa.

Maka menutupnya adalah tindakan terakhir. Bila mati nanti sekalian warga Selangor akan tanya, baik raja dan rakyat jembelnya, apa yang dibuat bagi menyelamatkan kelas tafiz yang bangsat itu? Menutupnya? Itu kerja senang yang semua orang boleh buat. Membina dan menyelamatnya adalah cabaran bagi yang diberi nikmat.

Orang Selangor kini keluar zakat berjuta. Zakat yang diagih jabatan zakat juga berguni. Ramai yang berbelanja besar berkali-kali umrah dan haji. Tetapi membiarkan sekolah tahfiz ditutup. Mana lebih aula membantu 13 tahfiz beroleh status kelayakan atau haji berkali-kali dan umrah mewah dua tiga kali setahun?

Tanya mufti, keringkah jabatan zakat kiranya gunakan sebahagian dari pungutannya untuk melayakkan tahfiz malang itu memenuhi syarat?

Nasib 13 tahfiz di Selangor boleh dikira bencana seperti gempa bumi dan banjir besar. Jika semua NGO dan berbagai pihak menganjur bantuan kecemasan atas bencana yng terjadi, maka kempen bantuan kecemasan atas bencana 13 tahfiz adalah wajar serancak kempen World # Quranhour.

Semua becakap utamakan kemahuan rakyat dari politik. Di sana sini ibu bapa hantar anak ke tahfiz adalah antara kemahuan rakyat. Banyak sekolah lengkap, tapi orang miskin pilih tahfiz. Takut menutup tahfiz itu seperti menyekat umat belajar al-Quran? – HARAKAHDAILY 27/5/2019