Wan Azman tidak dikenali generasi baru PAS

Kolumnis
Typography

WAN Azman Wan Abdullah, awal 70-an meninggal dunia awal 20 Mei lalu dan 15 Ramadan sebagai seorang ahli PAS yang tidak seronok dengan PAS sekarang. Kerana terlalu lama tidak terlibat dalam kegiatan PAS, dia tidak memahami politik matang dan sejahera PAS yang ambil sekarang termasuklah sikap berdua PAS dengan Umno.

Kebanyakan orang-orang PAS yang rapat dengannya dan rakan seperjuangannya dulu sudah meninggal dan yang belum meninggal pula kebanyakannya meninggalkan PAS.

Kerana secara terbuka dia marahkan PAS dan sejak rapat dengan pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor dulu dia tidak segan menyatakan yang tidak disetujuinya tentang PAS kepada mereka dan kadang depan orang ramai. Tetapi mereka memahaminya dan suka ke mana-maan bersamanya.

Dia tetap dierima sebagai aktivis penting PAS yang tidak mengira masa, tenaga dan ringgit.

Sejak lebih 20 tahun lalu dia sudah tidak ada dalam kegiatan PAS yang aktif. Sepanjang masa dulu dia bersama saya. Selama PAS Kawasan Batu ditubuhkan dan saya jadi Yang Dipertuanya, dialah setiausahanya. Banyak tahun saya jadi Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan dia jadi Setiausaha Perhubungan.

Dia sangat menyenangkan saya kerana dia buat semua kerja yang saya mahu dan semasa saya beberapa tahun berkhidmat dengan Kerajaan PAS Terengganu mulai 1999, hari minggu saja di Kuala Lumpur dia yang menggerakkan PAS Wilayah. Sebagaimana biasa tegur apa yang dia hendak tegur, tetapi saya kenal wataknya, arahan saya semua dia ikut.

Bila saya tidak jadi PJ beberapa tahun, Wan Azman terlibat pengendalian haji dan umrah, banyak masa di Mekah dan bila berada dalam negeri dia sibuk dengan pelanggannya. Masa dengan PAS kurang. Bila sayajadi PJ sekali lagi, saya tidak dapat bergantung padanya lagi.

Bila saya berundur dari pimpinan PAS lebih 10 tahun, saya tertinggal dari arus perdana politik PAS. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Wan Azman sudah lama tertinggal politik PAS, maka lebih dia tidak tahu dan tidak faham tentang PAS.

Ketika semua yang rapat dengannya masih bersama PAS, sudah banyak dimarahnya depan mereka. Bila semuanya lari dari PAS, lagi banyak yang dia tidak faham.

Saya selalu berjumpanya, dua tiga bulan terakhir saya jumpa dia setiap hari kerana dia mengawas kerja baik pulih rumah sewanya depan rumah saya. Walaupun banyak komen tentang PAS, dia tidak kata pada saya dia keluar. Dengan wataknya itu, jika dia keluar PAS tentu dia akan kata pada saya begitu. Anaknya pun tidak sebut ayahnya tinggalkan PAS.

Itu dia Wan Azman yang saya tahu.

Satu kerja penting semasa PRK Dun Bayu di Baling. Kita tahu dulu calon PAS iaitu bekas guru agama MCKK dan pesara pensyarah USM. Wan Azman dapat kontrak dari PAS Kedah menyediakan poster calon. Kami bawa poster itu ke Baling dengan Wagonnya sebelum penamaan calon. Selepas diumumkan calon, pekerja PAS mula pasang poster. Orang yang balik dari penamaan calon tengok poster sudah dipasang. Itu idea Wan Azman.

Ketika kami mengasaskan Harakah, bermalam-malam dan berminggu Wan Azman mengedarkan naskhah sulung dan keluaran seterusnya kepada wakil pengedar parti. Hingga Wagonnya tersempak banjir. Dia pulih Wagonnya dengan duit sendiri.

Itu sebelum dia penuh masa pelanggan haji dan umrahnya sekitar 30 tahun lalu. Yang solat jenazahnya penuh di Masjid Saidina Ali, Padang Balang, Sentul. – HARAKAHDAILY 22/5/2019