'Buah kalu dok leh nak makan'

Kolumnis
Typography

BUKAN semua benda Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sempat buat dalam tempoh Tok Guru berada di Pejabat MB Kelantan. Apa yang Tok Guru tak sempat buat, maka diteruskan oleh pengganti. Kerana itulah selalu disebut bahawa kepimpinan sekarang adalah mewarisi kepimpinan terdahulu.

Bila Kerajaan Kelantan memperkenalkan sesuatu langkah yang baru, adalah terlalu dangkal untuk kita terus persoal, "Bakpo zaman Tok Guru dulu tak buat?" atau dengan ungkapan "Kalu Tok Guru masih ada, Tok Guru pun tak akan buat gini!"

Sekiranya kerajaan sekarang hanya perlu copy paste dan 'koyok tepek' segala keputusan Tok Guru dulu, maka tak perlulah untuk buat mesyuarat Exco dan segala perancangan negeri yang lain. Sekadar ambil minit mesyuarat zaman Tok Guru dan 'koyok tepek' saja.

Ungkapan "Kalu Tok Guru masih ada..." diulang berkali-kali sebagai modal untuk terus menyerang Kerajaan Kelantan. Sedangkan orang Kelantan kata, "Buah kalu dok leh nak makan."

Kenapa perlu bermain dengan perkataan 'kalu' kemudian membuat andaian sendiri. "Kalu Tok Guru masih ada, dia juga akan masuk PAN." "Kalu Tok Guru masih ada, dia tak akan buat gini." "Kalu Tok Guru masih ada, benda gini tak akan berlaku", "kalu... kalu..."

Hakikatnya Dato' Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan ketika Tok Guru masih hidup. Ini adalah realiti dan bukannya 'kalu'. Sebab itu tak ada kedengaran lagi ungkapan, "Kalu Tok Guru masih hidup, tentu dia akan pilih Husam Musa sebagai MB." Bukankah Tok Guru sendiri yang pilih Dato' Ahmad Yaacob untuk meneruskan kesinambungan dasar 'Membangun Bersama Islam'?

Kebun yang ditinggalkan Tok Guru sudah sangat baik. Sepatutnya sama-sama kena jaga supaya hasilnya terus boleh dipetik untuk dinikmati bersama rakyat Kelantan. Pagar kena perkukuhkan supaya tak masuk babi dan haiwan perosak yang lain. Baja pokok jangan lupa supaya pokok terus hidup subur. Ada dahan pokok yang mati dan pohon dedalu, kena cantas buang. Tengok ada keperluan untuk tambah tanam pokok lain, silakan tanam. Jangan pula ada yang bodoh larang, "Zaman Tok Guru dulu tak tanam pun pokok ni!"

Dr Azman Ibrahim
18 April 2017