Pasangan pelanggan Cina yang kelakar

Foto hiasan.

Kolumnis
Typography

KISAH sepasang pelanggan Cina yang memesan sup dari restoran Cina memang kelakar, tetapi saya tidak takjub dengan berita itu. Ia sekadar senyum bagi saya.

Pasangan suami isteri itu memesan sup bukan kerana hendak menikmatinya sangat tetapi untuk mendapatkan pulangan wang berjuta.

Apa terjadi? Dia memasukkan bangkai tikus yang dibawanya dalam sup yang dihidangkan. Dia pun membuat kecoh kerana dikatakan makan sup tikus.

Sekalian pelanggan yang ada heboh. Dia tidak menerima tawaran menyelesaikan perkara itu sekalipun dia ditawarkan sejumlah duit yang banyak oleh restoran.

Dia menuntut diberi hampir sejuta duit China, jika tidak dia akan mengambil tindakan undang-undang. Kerana tuntutan itu terlalu besar, pihak restoran menyerahkannya kepada keadilan.

Setelah disiasat didapati sup yang dihidangkan tidak bertikus tetapi pelanggan itu memasukkan bangkai tikus yang dibawanya.

Jika dia terima apa yang ditawarkan, dia akan balik dengan duit yang agak banyak. Kerana dia tamak hendakkan sejuta duit China, dia didenda termasuk ganti rugi justeru urusan peniagaan restoran terganggu semasa kejadian itu.

Saya tidak tahu di mana penyangak itu dapat idea memasukkan tikus dalam sup?

Sekitar 40 tahun lalu, jika saya tidak silap diriwayatkan oleh wartawan Jalil Ali, rakan sekerja di Utusan Melayu dulu.

Jalil meriwayatkan kepada saya. Katanya, si fulan, seorang rakan sekerja di Utusan yang terkenal pintarnya, sebelum bekerja di Utusan satu hari dia sangat lapar. Tiada duit untuk membeli makanan sedang dia masa itu seorang penganggur.

Apa dia buat?

Dia dikatakan masuk restoran mamak memesan mi goreng. Dekat nak habis makan dia menjerit kerana didapati ada ekor cicak dalam pinggan mi itu.

Diriwayatkan dia mendakwa sakit perut makan bangkai cicak. Tuan punya restoran lalu menawarkan dia tidak perlu bayar. Tetapi dia kata mana boleh ia didiamkan saja kerana restoran yang begitu adalah pengotor dan pengotor adalah satu kesalahan. Boleh diperintah tutup perniagannya.

Bila mamak menawarkan beberapa Ringgit kepadanya, dia menerima tawaran itu.

Dia mungkin berpuas hati dapat rezeki, mengatasi kelaparannya masa itu dan bukan sekadar dapat makan percuma, diberi duit pula.

Dia tidak tamak dan dapat makan percuma itu sudah satu rahmat.

Ekor cicak tadi memang disediakan dalam saku. Hampir habis makan dikeluarkannya ekor cicak yang dibalut kertas dari dalam sakunya, digaulnya dengan baki mi yang belum habis.

Adakah penyangak China itu dapat idea dari fulan yang memasukkan ekor cicak dalam mi goreng 40 tahun dulu? Bagaimana pelanggan China boleh buat benda yang serupa dengan yang fulan buat 40 tahun lalu?

Atau ia adalah amalan biasa bagi penyangak serata dunia untuk mengaut duit banyak dengan memperdaya restoran?

Bila saya baca berita dari Beijing itu, saya sekadar senyum kerana riwayat seperti itu saya sudah maklum hampir setengah abad lalu. Ia tidak menakjubkan saya tetapi kelakar selepas setengah kurun kejadian itu berlaku lagi tetapi di tengah benua Asia yang jauh itu.

Orang pintar macam ini ada di mana-mana? Mengapa dengan kepintaran itu pilih hidup sebagai penyangak? – HARAKAHDAILY 8/5/2019