Sidebar

23
Sat, Sep

KAMI berpendapat bahawa pendekatan PM Malaysia DS Najib terhadap mengukuhkan agenda ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Mengetahui agenda dan sikap Donald Trump yang penuh kontroversi di AS itu sendiri, menawarkan pelaburan besar Malaysia di AS untuk mengukuhkan ekonomi negara itu tidak sepatutnya dilakukan.

AS kini mempunyai imej yang tidak baik di mata dunia. Trump berdepan kritikan yang masih kuat dari rakyat AS sendiri terhadap pelbagai dasar dan pengumuman yang beliau bangkitkan.

Ketidaktentuan polisi adalah antara ciri yang ditunjuk oleh Trump dan ini dizahirkan ramai penganalisis di AS sendiri. Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan sendiri mulai menyatakan kerisauan terhadap cara kepimpinan Trump yang akan memberi risiko kepada ekonomi AS.

Prinsip "rule of law" dalam ekonomi pasaran nampaknya goyah di bawah Trump.
Ucapan dan komen spontan President Donald Trump menimbulkan persoalan mengenai apakah beliau menghormati prinsip ini.

Setelah menyerang kehakiman mengenai larangan beliau keluar negara awal tahun ini, memecat pengarah FBI yang menyiasat kempen Trump dalam pilihan raya Presiden AS dan membuang Peguam Negara, penganalisis di AS mulai khuatir bahawa AS bakal menerima implikasi buruk dengan gaya kepimpinan Trump.

Dengan menunjukkan hubungan tegang dengan sistem keadilan di AS serta meningkatkan komitmennya di luar AS, beliau mendedahkan AS kepada sekurang-kurangnya dua risiko.
Pertama ialah keyakinan pelabur kepada AS. Kedudukan politik beliau yang maseh sarat dikelilingi krisis kepercayaan termasuk campur tangan anaknya dalam hubungan dengan Russia ketika piliharan raya Presiden AS.

Jelas, urusan ekonomi dan perkembangan politik di AS sukar diasingkan. Kejutan besar boleh sahaja berlaku kepada ekonomi AS akibat siasatan yang maseh berterusan melibatkan Russia dan kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden AS yang lalu.

Kedua, ialah status AS sebagai pemimpin ekonomi dunia mulai tergugat. Trump berdepan dengan kesangsian pemimpin-pemimpin ekonomi negara maju yang lain akibat beliau tidak menunjukkan komitmen yang jelas dalam pelbagai perjanjian antarabangsa yang dimenterai sebelum beliau menjadi Presiden.

Trump akan berhadapan dengan Kongres yang didominasi oleh Republikan sama ada tindakannya menutup siasatan terhadap Russia berkemungkinan dibantah oleh ahli partinya sendiri.

Ketidakstabilan politik dan dasar yang tidak konsisten akan menjejaskan pelaburan global. Robert Zoellick, bekas Presiden Bank Dunia dan ramai pengamat antarabangsa sangat khuatir dengan sikap dan arah berfikir Trump mengenai polisi ekonomi AS.

AS dilihat oleh dunia sekarang sebagai tidak konsisten, malah sedang berkrisis dengan sistem mahkamahnya, agensi inteligennya serta Jabatan Keadilan negara sendiri. Rakyat AS tidak tahu bagaimana hendak mengikuti perubahan yang dibawa oleh Trump.
Malah penganalisis ekonomi melihat ini sebagai suatu peluang untuk pesaing AS seperti China mengambil alih tempat AS.

AS yang dilihat selama ini sebagai kuasa terpenting untuk terlibat mengatasi pelbagai masalah global seperti keselamatan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan bantuan kemanusiaan kini menjadi tandatanya. Ini akan mengakibatkan kos kepada rakyat AS bila AS memporakperandakan ekonomi global.

Trump sudah sampai ujian tempoh satu tahun sebagai Presiden. Apakah Trump bersedia meningkatkan had hutang negara hujung tahun ini. Jika beliau gagal untuk berbuat demikian maka taraf kebolehpercayaan kredit AS akan terjejas dimata dunia dan golongan korporat di AS.
Kongres Republikan kini sudah memperlihat keberatan untuk mengambil langkah tersebut dan Rumah Putih nampaknya tidak mempunyai strategi yang jelas dalam isu tersebut. Isu tebesar ialah keupayaan AS membayar hutang dalam krisis ekonomi.

AS sekarang dilihat oleh dunia sebagai kuasa yang tidak lagi boleh dipercayai atau boleh disandar. AS kehilangan kepercayaan dari dunia dan dengan itu statusnya sekarang sangat goyah.

Dengan menemui bukti-bukti baru terhadap siasatan mengenai kempen Trump berkait dengan hubungan dengan Russia ketika kempen Presiden AS berlangsung, jelas, Presiden AS ini bakal berdepan dengan krisis kepercayaan yang besar terhadapnya. Dalam hal ini beliau membayangkan cara beliau menyelesaikan isu ini dalam twitternya "complete power to pardon" (kuasa penuh untuk mengampun).

Dalam kondisi semua ini, kami melihat pelaburan besar yang dilulus oleh PM untuk KWSP dan Khazanah menambah pelaburan di AS adalah tidak tepat. Mungkin beliau telah mendapat nasihat dari para pakar pelaburan untuk menawarkan cadangan Malaysia untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika, namun dalam keadaan ekonomi negara sendiri tidak kukuh, apakah wajar Malaysia pula yang mahu membantu ekonomi Amerika.

Banyak nasihat pakar kepada PM seperti penubuhan beberapa agensi pelaburan sudahpun berdepan dengan krisis hutang yang besar.

Persoalan yang lebih besar ialah untuk apa wang awam seperti KWSP dan Khazanah dikeluarkan ke negara luar sedangkan negara sendiri sedang berada dalam keadaan defisit bajet yang kritikal.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat

 

undipas

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak dan menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih dalam usaha untuk menukar kerajaan yang sedia ada supaya negara akan ditadbir dengan lebih baik dan kebajikan golongan miskin terbela.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Semarak Kasih Ramadhan yang merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam,  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk meraikan golongan miskin, gelandangan dan orang ramai di sekitar Lorong Haji Taib berhampiran Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Walaupun telah memasuki tahun yang kesembilan diadakan, Semarak Kasih Ramadhan terus mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Jalan Raja Laut.

Sekitar 300 orang pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir di majlis itu dan menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Yang kaya terus kaya, manakala yang miskin dipinggirkan sedangkan terlalu ramai golongan yang miskin. Sebaiknya kekayaan itu dikongsi bersama agar semua orang medapat manfaat daripadanya,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengajak masyarakat yang hadir untuk sama-sama mendoakan PAS agar dapat memerintah Malaysia dengan jaya pada suatu hari nanti. - HARAKAHDAILY 19/6/2017

 

PASCA muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan di peringkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik. Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS di semua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita.

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.    

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masanya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

PILIHAN yang ada sekarang hanya PAS selepas Umno dan parti parti Pakatan Harapan juga dilanda masalah.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS kini kembali tenang setelah berlalu kemelut dalaman yang berlaku lebih dua tahun lepas.

Katanya dengan apa yang berlaku sekarang PAS ada potensi besar untuk menjadi pilihan kepada rakyat.

"Lagi pun model pentadbiran Islam sudah ada di Kelantan. Orang ramai boleh melihat sendiri sebuah kerajaan yang terbukti bebas rasuah sehingga sekarang.

"Selain aspek pentadbiran jabatan kerajaan negeri banyak dianugerah prestasi cemerlang peringkat persekutuan, iaitu terbaharu Pejabat Menteri Besar dan SUK mencatat pengurusan kewangan terbaik," katanya ketika merasmikan sambutan jubli emas PAS Kota Bharu di Medan Ilmu malam tadi.

Sambutan jubli emas PAS Kota Bharu bermula malam Jumaat dan akan berakhir malam ini dengan perasmian Pintu Gerbang Tok Guru, juga di lokasi yang sama.

PAS Kota Bharu juga menganugerah kepada beberapa tokoh veteran yang mewakili Dun Bunut Payong, Kota Lama dan Tanjung Mas.Turut menerima kaum Tionghua.

Tokoh jubli emas PAS Kota Bharu pula dianugerah kepada bekas ketua urusan ulama, Ustaz Idris Yusof.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, timbalannya, Datuk Dr Ramli Mamat, naib, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ketua Muslimat, Rohani Ibrahim.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS Kota Bharu boleh menjadi model kepada PAS kawasan kawasan lain dari aspek pengurusan memandangkan mempunyai rakyat pelbagai kaum.

Program malam tadi berakhir dengan forum mahabbatan yang menampilkan Ustaz Haslim Bollywood dan Ustazah Asmak Husin. – HARAKAHDAILY 23/9/2017

KotaBharu 1

KotaBharu 2

KotaBharu 3

LAGI laporan polis dibuat  terhadap peguam kontroversi, Siti Kassim yang sebelum ini didakwa menghina Nabi Ibrahim dan memutarbelitkan kefahaman mengenai peristiwa Qurban.

Kali ini, Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang (DMPNPP) diketuai oleh Naib Ketua, Fadzilah Ahmad telah membuat empat laporan polis serentak di dua tempat iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Balai Polis Teluk Kumbar hari ini.

Laporan yang sama juga dibuat ke atas wakil rakyat pembangkang di Sabah, David Orok yang didakwa menyokong kenyataan Siti Kassim yang berbaur penghinaan terhadap Nabi Ibrahim AS dan terhadap Islam.

DMPNPP menggesa supaya satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang dilakukan ke atas kedua-dua individu tersebut, seterusnya diambil tindakan yang sah berteras undang-undang.

Kata Fadzilah,  laporan itu dibuat kerana status komen Siti Kassim dan David Orok  disifatkan satu dakyah menyeleweng dari fakta dan maksud.

Malah kata Fadzilah status komen dua aktivis Itu cuba mewajarkan keterangan secara bohong dan palsu dalam sirah Korban Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.

Selain itu tambah beliau, status tersebut berunsur penghinaan yang melampau, menyinggung dan berbaur hasutan.

Malah katanya lagi kenyataan dua individu itu bagi DMPNPP diajukan secara biadab angkuh hingga boleh membangkitkan ketidakharmonian antara agama.

Tambahan pula kata beliau, status tersebut berpotensi membangkitkan rasa permusuhan antara agama dan mencetuskan hubungan tegang di mana ia merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

"Semua ini bererti dan boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menentang serta mencabar Yang di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam bagi Malaysia.

"Ia juga bersifat ancaman dan gugatan ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara" dakwa beliau dalam laporan polis itu.


Hadir sama semasa membuat laporan polis itu adalah beberapa orang ahli jawatankuasa DMPNPP. – HARAKAHDAILY 22/9/2017

POLIS Terengganu pada dasarnya sedia bekerjasama untuk mempastikan kelancaran penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 (F200K) akan berlangsung akhir bulan ini.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata, perkara berkaitan dibincang dengan Ketua Polis Terengganu yang baharu, Datuk Aidi Ismail.

Katanya, Ketua Polis Terengganu menerima kunjungan hormat pimpinan PAS yang diketuai Pesuruhjayanya, Datuk Husain Awang.

“Pertemuan berjalan dengan baik. Ia lebih kepada kunjungan hormat kami kepada ketua polis negeri yang baharu.

“Tetapi sebahagian perbincangan menjurus berkaitan kerjasama polis terhadap Himpunan Fastaqim 2.0. Mereka pada dasarnya sedia bekerjasama,” katanya di Kuala Terengganu semalam.

Yahaya juga berkata, polis sedia memastikan kelancaran lalu lintas di sekitar tempat berlangsung perhimpunan Fastaqim.

Setiausaha PAS Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid pula memberitahu polis Terengganu akan memastikan program yang akan menghimpunkan 200,000 ahli dari seluruh negara itu berjalan lancer. – HARAKAHDAILY 22/9/2017

KEKAL Kota Bharu, Pertahan Kelantan menjadi tema sambutan jubli emas PAS Kota Bharu yang bermula malam tadi. Tumpuan gerak kerjanya menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Setiausaha PAS Kota Bharu, Aidy Hassan berkata, bulan ini genap usia PAS Kota Bharu yang melewati 50 tahun selepas ditubuh pada 1967.

Katanya, PAS kawasan itu mengharungi pelbagai ujian dan mehnah sehingga bertapak kukuh di Kelantan sekarang.

“Sebab itu kita pilih tema Kekal Kota Bharu, Pertahan Kelantan pada sambutan jubli emas bagi menggambarkan iltizam pendokong PAS di sini,” katanya di Kota Bharu.

Sambutan jubli perak bermula dengan tahlil perdana dan solat hajat untuk Rohingya yang diadakan di Dewan Jubli Perak MPKB malam tadi.

Acara perasmian sambutan itu akan diadakan malam ini di Medan Ilmu, Jalan Datuk Pati dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Sebelum itu diadakan kuliah Maghrib akan disampaikan pendakwah bebas, Ustaz Khairul Ikhwan.
Manakala selepas perasmian diadakan forum mohabbatan yang akan mengentengahkan Ustaz Haslim Bollywood dan Asmak Husin. Moderatornya, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.

Petang tadi pula berlangsung konvoi motosikal dari tiga Dun iaitu Bunut Payong, Kota Lama dan Tanjung Mas.

Seramai 150 anak muda dan belia menyertai konvoi tersebut. Konvoi itu disambut Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan di Medan Ilmu.

Esok pula akan berlangsung Cakna Mahabbatan Kota Bharu. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk cabaran larian wanita, aerobik perdana, derma darah.

Selain itu pertandingan gubahan pulut dan ulaman serta pertandingan mewarna yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV. – HARAKAHDAILY 22/9/2017

SEGAMAT: Kesiapsiagaan Muslimat sebagai salah satu sayap PAS dalam gerak kerja PRU14 terus diperkukuhkan dengan sesi penerangan yang menjadi tunjang penting dalam menyampaikan mesej parti.
 
Ia juga sebagai mengikat teguh kesatuan kalangan ahli serta menjadi tanda kebangkitan Muslimat dalam menghadapi PRU14 dengan membawa mesej politik Islam yang sebenar.
 
Intipati itu antara dipertegaskan Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman pada program Jelajah Saidatina Khadijah (JELAS 3.0) di Hotel Villa, di sini sebentar tadi.
 
Sementara itu, Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiyah Mohd Nor dalam ucapannya memberitahu, Muslimat PAS kini telah menyediakan persiapan mingguan untuk setiap ahli menggerakkan Gelombang AKIFI.
 
"Kita mahu gerakan penerangan bergerak aktif bagi meruntuhkan kefahaman jahiliyah dalam masyarakat. Kita tidak pernah dengar kebaikan PAS di televisyen mahupun di akhbar.
 
"Walaupun begitu, orang PAS kena peka dan mengambil tindakan tegas atas setiap kata nista mereka," ujarnya merujuk kebiadaban Siti Kasim baru-baru ini.
 
Beliau menggesa Muslimat PAS Kawasan turut memanjangkan laporan polis atas tindakan peguam itu yang terang-terang menghina Islam dengan logik akalnya terhadap pensyariatan ibadah korban.
 
Pada program tersebut, peserta turut didedahkan dengan sesi penerangan Dokumen Hijau oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.
 
JELAS 3.0 telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussein dan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Johor, Atiyah Ahmad. - HARAKAHDAILY 22/9/2017

PAS Sabah melalui Timbalan Pesuruhjaya 3, Sahar Abdul Majid telah membuat suatu laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor di Balai Polis Sandakan dekat sini hari ini.

Menurut Sahar, laporan ini dibuat bagi membolehkan suatu siasatan dibuat oleh pihak polis terhadap Rahim Noor berasaskan undang-undang tertentu.

Katanya lagi, ini berikutan kenyataan Rahim Noor di sebuah forum bertajuk “Malaysia In The Future” yang disiarkan oleh surat khabar Daily Ekspress di muka surat pertama edisi Bahasa Malaysia.

Menurutnya, surat khabar tersebut melaporkan bahawa Rahim Noor telah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak mungkin mengambil keputusan untuk meninggalkan Persekutuan Malaysia jika kerajaan tunduk kepada tuntutan PAS untuk melaksanakan hudud semata-mata untuk memastikan Umno terus berkuasa.

Tambahnya, Rahim Noor juga menyebut bahawa bukan sahaja kedua-dua negeri di Borneo itu mungkin akan keluar bahkan seluruh negara akan berada dalam keadaan huru hara jika parti Islam itu mendapat apa yang dituntutnya.

"Rahim Noor juga mendakwa langkah Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) adalah satu taktik untuk mendesak pelaksanaan hudud, dan sangat berbahaya kerana ia menyebabkan bukan Islam merasa tidak senang," kata Sahar.

Jelas Sahar, kenyataan tersebut bersifat fitnah terhadap PAS serta undang-undang hudud serta bersifat provokasi.

Katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab itu boleh membawa kepada kebencian terhadap Islam dan undang-undang hudud, dan sekaligus boleh menyebabkan kekacauan di Sabah.

"Justeru, PAS membuat laporan polis di seluruh Sabah bagi membolehkan siasatan tertentu dibuat ke atas Rahim Noor sekaligus bagi menjaga keharmonian beragama di Sabah ini," jelasnya.

Selain Sandakan, tiga laporan polis lain turut dibuat di daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Kota Belud dan Tawau yang disertai oleh pimpinan PAS Sabah antaranya Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah, Ahmad Dullah; Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Sabah, Ustaz Awang Laiman Ikin dan Ketua Pemuda, Zulzaim Hilmee Abidin. – HARAKAHDAILY 21/9/2017

laporKPN

PENDAKWAAN kes rasuah membabitkan seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut seharusnya menimbul rasa jijik masyarakat terhadap gejala rasuah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, kes membabitkan penjawat awam terbabit seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Isu yang berlaku itu sebaliknya memperlihatkan gejala rasuah semakin parah di Malaysia,” katanya di Kuantan.

Kelmarin Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM150,000 kepada Zainal Abidin Maskon, 33, selepas dilapor mengaku bersalah terhadap kes terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan pegawai berkenaan menerima wang bernilai RM340,000 daripada sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai hubungan rasmi dengan tugasnya.

Andansura juga berkata, rakyat perlu membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk membebaskan negara daripada amalan rasuah. – HARAKAHDAILY 21/9/2017

KESEDARAN ibu bapa bagi menghantar anak ke sekolah agama semakin meningkat sekarang. Situasi itu lebih ketara berlaku di Kelantan.

Malah permohonan pelajar dari luar Kelantan memasuki tingkatan satu di sekolah kawalan Yayasan Islam Kelantan (Yik), ada antaranya terpaksa ditolak disebabkan kekurangan tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekolah agama sekarang bukan lagi kelas dua.

Katanya, sekarang sekolah agama menjadi pilihan masyarakat setelah membuktikan berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang akademi dan syaksiah.

“Sekolah Yik acap kali mendapat pencapaian akademik melebihi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Contohnya di peringkat SPM dua kali pelajar Yik muncul pelajar terbaik peringkat negara. Manakala bagi peperiksaan STAM pelajar Yik mengungguli pencapaian terbaik setiap tahun,” katanya di Kota Bharu.

Beliau juga berkata, permohonan pelajar untuk mengikuti pengajian tahfiz sains di sekolah Yik juga begitu tinggi.

“Bukan sahaja pelajar tempatan, sebaliknya dari seluruh Malaysia. Kita memang menyediakan kuota bagi pelajar luar Kelantan.

“Contohnya tempat yang kita sediakan hanya untuk 20 orang tetapi permohonan 50 orang. Sambutan sangat menggalakkan sekali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2017