14
Mon, Oct
10 Artikel Baru

Memorandum isu kos sara hidup - GAMIS

Nasional
Typography

KEPADA:

Menteri Kewangan Malaysia

Dihantar oleh:

SAIFULLAH BAIDURI, Naib Presiden 2 Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Delegasi.

Pengenalan 

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dengan ini menyatakan satu memorandum bertarikh 28 Disember 2018, bersamaan hari Jumaat pada jam 10.00 pagi kepada Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, berkaitan gesaan untuk Kerajaan Pakatan Harapan menurunkan kos sara hidup yang kian membebankan rakyat khususnya mahasiswa.

Isu berbangkit

Pada PRU-14 yang lalu, rakyat Malaysia telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memberi nafas baru kepada kehidupan yang dijalani oleh mereka. Hal ini adalah disebabkan mereka tertawan oleh manifesto-manifesto yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan. Namun harapan rakyat untuk keluar daripada mulut harimau rupanya menjerumuskan mereka ke mulut buaya. 

Janji-janji manifesto yang ditawarkan bagi menyelesaikan kemelut ekonomi yang membebankan rakyat, antaranya adalah mengecualikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000 sebulan daripada membuat sebarang bayaran. Tambahan pula, baru-baru ini pada 5 Disember, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN telah mengeluarkan kenyataan polisi pembayaran melalui kaedah potongan gaji berjadual. Namun, polisi tersebut telah ditarik kembali. Walau bagaimanapun, kami melihat pendekatan yang ingin dibawa oleh beliau menekan golongan anak muda khususnya para graduan yang baru bergraduasi.

Selain itu, Pakatan Harapan telah berjanji akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari selepas membentuk Kerajaan Persekutuan yang menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Namun amatlah mendukacitakan kerana bukan sahaja janji-janji tersebut tidak terlaksana, malahan jika terlaksana pun bahkan lebih membebankan rakyat. GST yang ditukarkan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak sedikitpun menurunkan harga barangan. 

Sistem cukai GST yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional telah menghasilkan kutipan hasil cukai sebanyak hampir RM45 bilion setahun. Namun langkah populis yang diambil oleh Pakatan Harapan untuk menghapuskan cukai tersebut dengan memperkenalkan sistem cukai SST hanya memberi anggaran kutipan sebanyak RM25 bilion setahun. Ini membuktikan bahawa sistem cukai SST yang tidak efisien telah mengurangkan jumlah hasil kutipan cukai negara.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 27 Disember 2018, kenaikan harga makanan dan rumah serta pertumbuhan upah yang tidak menentu di Malaysia meningkatkan kos sara hidup kumpulan berpendapatan rendah secara lebih cepat dan beberapa kali ganda berbanding bagi kumpulan berpendapatan pertengahan dan tinggi, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Ketua Pakar Ekonomi dalam Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan, Richard Record, dalam semasa taklimat mengenai Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik berkata jumlah yang tinggi daripada pendapatan isi rumah yang dibelanjakan golongan berpendapatan rendah ke atas makanan dan perumahan telah melonjakkan inflasi kumpulan itu melebihi kadar purata.

"Sekiranya melihat kepada corak penggunaan mereka yang berada di peringkat akhir pengagihan pendapatan, kumpulan ini lebih berbelanja ke atas makanan dan perumahan, oleh itu mereka mengalami kadar inflasi yang lebih tinggi,”.

Melihat kepada beban sara hidup yang dihadapi, GAMIS menuntut agar Kerajaan Pakatan Harapan, Kerajaan sepatutnya menyediakan satu mekanisme yang tuntas untuk membantu rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. 

Tuntutan 

GAMIS menyarankan agar kerajaan mengambil inisiatif seperti berikut:

I.     Perkasakan sistem cukai yang menjadi sumber pendapatan negara.

II.     Cukai yang dikenakan mestilah dikutip daripada golongan yang mempunyai
lebihan pendapatan.

III.     Potong gaji Menteri-menteri dalam kerajaan, lantikan-lantikan politik, serta CEO GLC Kerajaan sebanyak 40 peratus sebagai inisiatif memulihkan ekonomi negara. - HARAKAHDAILY 28/12/2018