15
Sun, Sep
29 Artikel Baru

Geoeskatologi (4): Semenanjung Arab

Nasional
Typography

SEMENANJUNG Arab mencakupi Tengah dan Selatan kawasan Asia Barat. Dikelilingi dengan Teluk Parsi di Timur, Laut Merah di Barat dan Laut Arab di Selatan. Di bahagian Utara, ia disempadani dengan Jordan, Syria dan Iraq.

Mengikut pembahagian dahulu, Semenanjung Arab terbahagi kepada wilayah Hijaz, Najd, Arab Timur dan Arab Selatan. Wilayah Hijaz dan Najd merupakan bahagian terbesar Semenanjung Arab yang kini berada di bawah pemerintahan Arab Saudi. Mengikut peta politik terkini, Semenanjung Arab terdiri daripada Arab Saudi, Qatar, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman dan Yaman. Sebahagian Selatan Jordan dan Iraq juga termasuk dalam Semenanjung Arab.

Walaupun Negara Arab hari ini terdiri dari 22 buah negara berdasarkan negara dalam Liga Arab, tetapi kaum Arab sebenar berdasarkan darah adalah merujuk kepada Bangsa Arab yang tinggal di Semenanjung Arab sahaja. Bangsa Arab di negara lain berasimilasi kemudian selepas pembukaan Islam dan diperintah oleh Gabenor-gabenor berbangsa Arab.

Nabi S.A.W mewasiatkan supaya Tanah Arab dibersihkan dari sebarang agama selain Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

لئنْ عِشْتُ إنْ شاء اللهُ لأُخرِجَنَّ اليهودَ والنَّصارى مِن جزيرةِ العربِ حتَّى لا يبقى فيها إلَّا مسلمٌ

"Sekiranya aku sempat hidup jika diizinkan Allah, nescaya aku akan keluarkan semua Yahudi dan Nasrani daripada Tanah Arab sehingga tidak tinggal padanya selain Muslim."

[HR Ibn Hibban]

Hasrat Rasulullah S.A.W itu direalisasikan pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Malangnya hari ini Tanah Arab kembali dimasuki unsur-unsur syirik. Semakin ramai orang Kafir ditempatkan di Semenanjung Arab atas tujuan politik, ekonomi, sosial bahkan ketenteraan. Terdapat Pangkalan Tentera US di Qatar dan Arab Saudi. Berhala dan tempat ibadat agama lain kembali didirikan atas dasar kebebasan beragama.

Arab rosak hari ini akibat tangan-tangan pemimpin mereka sendiri. Selepas agenda Nasionalisme menjalar sehingga mencetuskan Revolusi Agung Arab 1916, kini Liberalisme mendapat tempat pula dengan berbagai pembaharuan dilakukan. Masih mengaku Muslim, namun kecintaan kepada kemewahan dunia menyebabkan mereka sanggup memberi Wala' kepada Barat dan menjadi kuda musuh Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ الشَّيطانَ قد أيِسَ أن يعبُدَه المصلُّونَ في جزيرةِ العربِ ولَكنْ في التَّحريشِ بينَهم

"Sesungguhnya Syaitan telah berputus asa dari membuatkan golongan yang mendirikan solat di Semenanjung Arab menyembah mereka, akan tetapi mereka masih melakukan tipu daya dan kekacauan di kalangan mereka."

[HR Muslim]

Bangsa arab bakal binasa di akhir zaman angkara tipu daya Dajjal dan tenteranya Yakjuj dan Makjuj. Nabi S.A.W bersabda:

(لا إله إلا اللهُ، ويلٌ للعربِ من شرٍّ قد اقترب، فتحَ اليومَ من ردمِ يأجوجَ ومأجوجَ مثلُ هذه ) .، قيل : أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : ( نعم، إذا كثُر الخبثُ ) .

"Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah orang Arab daripada keburukan yang semakin hampir. Sesungguhnya tembok Yakjuj dan Makjuj telah pun roboh sebesar ini (sambil menunjukkan isyarat lubang dengan ibu jari dan telunjuknya.) Baginda ditanya adakah kita akan binasa walaupun terdapat orang Soleh? Jawab baginda: Ya, jika kerosakan sudah berleluasa."

[HR Bukhari]

Keadaan menunjukkan Semenanjung Arab bakal mengalami keburukan yang membinasakan kaum Arab. Boleh jadi dalam bentuk peperangan dan konflik bersenjata. Maka tidak hairan apabila Nabi menyatakan Tanah Arab akan diperangi oleh tentera al-Mahdi sebagaimana Hadis pada Siri 1 (Makkah al-Mukarramah). Bahkan umat Islam akan memeranginya dahulu sebelum memerangi Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

" تغزون جزيرةَ العربِ ، فيفتحُها اللهُ . ثم فارسٌ ، فيفتحُها اللهُ . ثم تغزون الرومَ ، فيفتحها اللهُ . ثم تغزون الدَّجالَ ، فيفتحه اللهُ "

"Kamu akan memerangi Tanah Arab lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Tanah Parsi lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Tanah Rom lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Dajjal lalu Allah memberikan kemenangan."

[HR Muslim]

Bilangan Arab bakal menjadi sedikit berdasarkan Hadis yang dinyatakan pada Siri 3 (Baitulmaqdis). Juga Sabda Rasulullah S.A.W:

لَيفرنَّ الناسُ من الدجالِ في الجبالِ قالتْ أُمُّ شريكٍ يا رسولَ اللهِ ! فأين العربُ يومئذٍ ؟ قال هم قليلٌ

"Manusia akan lari daripada Dajjal ke bukit-bukit. Ummu Syarik bertanya di manakah Kaum Arab ketika itu? Jawab Rasulullah S.A.W: Mereka menjadi sedikit."

[HR Muslim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
04 Ramadan 1439
20 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 20/5/2018