Mengulas kritikan Dr Rozaimi Ramli

Nasional
Typography

TULISAN Dr Rozaimi Ramli (RORA) mengkritik artikel DSTG Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bertajuk "Mengapa Kalau Islam Tidak boleh?" yang ditularkan di dalam media sosial dengan tajuk "Jom kita tengok Dr Rozaimi sekolahkan Hj Hadi".

Pada asalnya, saya tak berminat nak mengulas kritikan RORA tersebut. Ia terlalu dangkal, tidak ilmiah, tidak objektif dan diselaputi kebencian berterusan RORA terhadap PAS dan Presiden PAS. Oleh itu, ia tak perlu dijawab dan diulas.

 Patut dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja.

Namun kritikan itu diberi tajuk, "Jom kita tengok Dr Rozaimi sekolahkan Hj Hadi" di media sosial. Tajuk itu adalah terlalu kejam, sombong dan melampaui batas perbincangan ilmiah, bahkan melampaui batas perdebatan politik.

Topik Kritikan Rora

Kritikan RORA adalah seputar hadis berkaitan jawapan Baginda Rasulullah SAW kepada ketua kabilah Bani Amir yang meminta baginda SAW menjanjikan kepada mereka kuasa atau jawatan tertentu, jika mereka sanggup membantu perjuangan Rasulullah SAW sehingga perjuangan itu, pada suatu tahap berjaya mencapai kemenangan.

Di mana jawapan baginda Rasulullah SAW ialah, "Itu urusan Allah, Dia yang menentukan dengan kehendak-Nya”

Kesimpulan RORA Tentang Maksud Hadis Ialah Ia Tiada Kaitan Dengan Masalah Menamakan Calon PM

RORA menyimpulkan bahawa DSTG Abdul Hadi berpendapat tindakan menamakan calon PM adalah haram atau tidak mengikut adab Islam berdasarkan hadis tersebut. Seterusnya RORA merumuskan hadis tersebut sebenarnya bukan berkaitan meletakkan nama calon PM, tetapi mengenai masalah meminta jawatan.

RORA menulis, "Jika dilihat ia tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin. Sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan. Jika dilihat dari teks ini jelas bahawa Bani Amir sudah dapat gambaran bahawa Nabi akan menjadi pemimpin mereka. Ini seolah mereka sudah dapat gambaran calon pemimpin apabila menang dan membentuk kerajaan nanti. Justeru mereka mahu berkuasa setelah Nabi."

Tulis beliau lagi, "Cubaan menggunakan riwayat ini untuk mengatakan menamakan calon pemimpin bukan adab Islam adalah tersasar bagi saya. Perlu diingatkan bahawa ulama tidak sepakat terhadap isu larangan meminta jawatan secara mutlak. Sebahagian ulama memperincikan hukumnya. Ia dibenarkan bagi mereka yang layak. Dan inilah pandangan yang kuat bagi sebahagian pengkaji moden."

Tulisan DSTG Abdul Hadi Sebenarnya Menjelaskan Tentang Kepentingan Perjuangan Islam Mendaulatkan Dasar-Dasar Islam, Bukan Setakat Mengubah PM

Jika kita membaca artikel DSTG Abdul Hadi, ia bukanlah mengenai haramnya menamakan calon bakal PM. Ia juga bukan berbicara mengenai haram atau tidak meminta jawatan.

Tetapi ia menegaskan tentang pentingnya memperjuangkan dasar-dasar pemerintahan Islam dan dasar-dasar itu nanti perlu ditegakkan dalam kerajaan yang baru dibentuk. Tentang siapa calon PM, PM mestilah orang yang sanggup memikul dan menggalas tanggungjawab merealisasikan sistem pemerintahan berasaskan sistem politik Islam tersebut.

Presiden PAS menjelaskan, PAS bukan hanya mahu menukar PM sahaja. Noktah. Tanpa mengambil kira pertimbangan bahawa PM baru itu nanti, tetap akan meminggirkan syariat Islam daripada arus perdana sistem politik negara kita. Ini tidak mungkin.

Namun malangnya RORA hanya setakat membuat kesimpulan mudah tentang tulisan DSTG Abdul Hadi, tulis beliau, "Namun setelah itu penulis (TGHH) seolah membayangkan bahawa adab Islam tidak meletakkan calon PM. Sebab itulah partinya tidak meletakkan calon PM."

Anda Boleh Baca Sendiri Petikan Tulisan DSTG Abdul Hadi Di Sini

"Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya. Lantas Baginda SAW bersabda:

“Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya”

Seterusnya Rasulullah SAW menerima mereka yang berbaiah dan setia menunaikan baiahnya bersama Islam yang diperjuangkan dengan istiqamah dan menunggu pertolongan Allah setelah memenuhi syarat-syarat yang diperintahnya.

Begitulah PAS boleh menerima dan bersama sesiapa sahaja termasuk DAP yang menerima Islam yang sempurna, aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem) serta menunggu kemenangan yang dijanjikan kepada Islam dengan berjuang memenuhi syarat-syaratnya juga."

Hentaman Demi Hentaman Berdasarkan Kesimpulan Syok Sendiri

RORA seterusnya mempersoalkan kenapa PAS menyertai pilihan raya, jika meminta jawatan adalah haram seperti kefahaman meleset beliau tentang artikel Presiden PAS itu.

Antaranya tulis beliau, "kenapa masuk pilihan raya dan kenapa letak manifesto?"

Antaranya lagi, "Jika meletakkan calon PM itu dikira sebagai meminta jawatan, mengapa penulis tidak terus sahaja katakan bahawa bertanding dalam pilihan raya juga meminta jawatan dan ia dilarang juga? Bahkan ia lebih direct meminta jawatan dari pengundi."

Antaranya lagi, "Jika meletakkan calon PM dikatakan menyalahi adab Islam, bagaimana pula dengan meletakkan manifesto? Bukankah kedua-dua isu ini berkait rapat iaitu meyakinkan pengundi tentang visi dan misi parti yang bertanding untuk meraih undi dan keyakinan dari pengundi?"

Tak Faham Politik Semasa

RORA barangkali tidak faham komen berbentuk sindiran DSTG Haji Abdul Hadi tentang penamaan bakal PM yang akan menggantikan DS Najib dan golongan yang ghairah mahu ke Putrajaya.

Masalah meletakkan calon nama PM ialah masalah dalaman PH, jika PH memerintah. Ia bukan masalah BN. BN sudah tentu mengekalkan PM sedia ada, jika kekal memerintah.

PAS pula, ia tidak mahu bercakap lagi tentang isu itu. PAS lebih menekankan aspek praktikal tentang isu ini. Iaitu berusaha memenangi sebanyak-banyak kerusi dalam PRU nanti. Jika banyak kerusi dimenangi, ketika itu bolehlah PAS mencadangkan nama PM yang sesuai mengikut agenda politik Islam yang ia perjuangkan.

Jika tidak banyak kerusi, cadangan nama PM daripada PAS tidak banyak mempunyai erti. Jadi PAS menekankan kepentingan berusaha memenangi banyak kerusi dahulu.

PH pula terdesak menamakan bakal PM mereka. Ini kerana mereka dianggotai oleh beberapa parti komponen bagi membentuk gabungan mereka. Setiap parti mempunyai falsafah politik yang agak berlainan, walaupun ada kesatuan suara dalam soal mahu menjatuhkan BN.

PBM dan DAP mahukan Dr Mahathir kembali menjadi PM. PKR kurang sokong. PAN tidak mempunyai calon PM daripada parti sendiri. PAN berharap semua komponen PH boleh bersatu di bawah Dr Mahathir.

Dr Mahathir pula, hanya bermain telefon ketika pimpinan PH lain mengangkat tangan, mahukan Anwar sebagai PM.

Jika PH meletakkan Dr Mahathir sebagai calon PM mereka, umum mengetahui sikap Dr Mahathir terhadap Islam, hadis Rasulullah SAW dan demokrasi adalah sangat tidak menguntungkan perjuangan Islam di dalam negara kita.

Penutup

Kita lihat kesimpulan RORA tentang isu ini.

"Maka kenyataan yang mengatakan menamakan calon PM bukan adab Islam itu sebenarnya yang menyalahi adab Islam. Jangan digunakan nama Islam untuk tindakan kita sewenangnya kerana bimbang nanti bila kita tukar pandangan nama Islam akan dibawa tukar juga."

Kesimpulan yang entah apa-apa... pada pendapat saya.

Anda boleh membaca sendiri tulisan DSTG Abdul Hadi di http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kolumnis/presiden/4493-mengapa-kalau-islam-tidak-boleh 

 

ZAKARIA ISMAIL

Ahli Jawatankuasa Kerja

PAS Kawasan Marang- HARAKAHDAILY 25/12/2017