Konflik India-Pakistan: Segera ke meja rundingan

Presiden
Typography

PAS menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang tercetus di antara India dan Pakistan dalam tempoh beberapa hari ini yang turut memberi kesan kepada keselamatan dan keamanan di rantau Asia Pasifik serta campur tangan asing.

Bagi menghentikan pertikaian dan persaingan daripada terus berlarutan, PAS menggesa India dan Pakistan untuk segera duduk di meja rundingan, seterusnya mencari jalan penyelesaian secara damai tanpa perlu melibatkan tindakan ketenteraan.

PAS yakin konflik di antara dua negara yang berjiran ini dapat diselesaikan secara diplomasi dan perdamaian, demi kebaikan kedua-dua negara serta rantau Asia Pasifik keseluruhannya.

PAS juga menyarankan agar para ulama’ dan cendekiawan Islam di India dan Pakistan untuk menjadi watak pendamai bagi mengelak konflik ini daripada terus berlarutan melalui pendekatan diplomasi dan berdialog secara matang.

Di samping itu, PAS turut menyarankan agar Malaysia mengambil peranan yang aktif bagi meredakan ketegangan di antara dua negara berjiran ini yang bermasyarakat majmuk dan beragama Islam, melalui hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan ASEAN bersama India dan Pakistan.

Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 23 Jamadilakhir 1440 / 28 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 28/2/2019