Feqah ma'alaat (implikasi)

Presiden
Typography

FEQAH Ma’alaat (فقه المآلات) maksudnya ialah memahami dan mengambil kira natijah atau akibat yang positif atau negatif disebabkan daripada melaksanakan sesuatu hukum, sama ada dalam perkara wajib, haram atau harus. Antaranya perkara yang ada kaitan dengan konsep Qiyas, Maqasid Syariah, Feqah Aulawiyyat dan lain-lain.

Feqah Ma’alaat memerlukan kefahaman yang mendalam dan bertanggungjawab melaksanakan syariat demi menegakkan Islam yang sebenarnya supaya dilakukan perkara terbaik atau menolak keburukan, dari segi mencapai hikmah hukum-hukum Islam supaya tercapai tujuan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Banyak juga contoh daripada Al-Quran, Hadis Rasulullah S.A.W dan amalan para sahabat R.A. berkait dengan kebijaksanaan melaksanakan hukum Islam dengan mengambil kira apakah kesudahan dan akibat dilaksanakannya yang menjadi dalil perlaksanaan Feqah Ma’alaat.

Antaranya perintah mewajibkan puasa pada Bulan Ramadhan yang bermatlamat melahirkan sifat taqwa. Selain itu, diharamkan zina kerana akibatnya penyakit yang berbahaya, mengakibatkan keruntuhan akhlak dan institusi kekeluargaan. Begitu juga diharamkan arak dan judi kerana mudaratnya lebih besar daripada manfaat. Mengharuskan makan dan minum, tiba-tiba disyaratkan jangan melampau kerana menyebabkan penyakit. Dihalalkan makanan yang haram ketika darurat kerana menjaga nyawa akibat kelaparan.

Antaranya juga firman Allah:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (108)

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-An'am: 108)

Larangan mencerca atau menghina tuhan-tuhan yang dipuja oleh orang-orang Musyrikin kerana akibatnya menyebabkan mereka mencerca dan menghina Allah Yang Maha Esa. Perkara yang lebih buruk dan besar dosa serta akibatnya. Demikian itu adalah contoh Feqah Ma’alaat yang ditunjukkan oleh Allah kepada orang yang beriman.

Rasulullah S.A.W melarang para sahabatnya membunuh orang-orang munafik yang diketahui senarainya kerana menolak fitnah yang lebih besar kerana akan mengakibatkan Baginda S.A.W dianggap membunuh para sahabatnya sendiri.

Rasulullah S.A.W melarang para sahabatnya bertindak kasar terhadap seorang badawi yang membuang air kecil di penjuru dalam Masjid Nabawi yang sangat mulia di Tanah Suci. Walaupun haram besar dan mungkar yang wajib dicegah kerana menajiskan masjid dan paling tidak beradab. Tindakan Rasulullah S.A.W kerana mengambil kira beberapa perkara dari segi Feqah Ma’alaat seperti berikut:

1. Dari segi mudarat penyakit menahan kencing.
2. Dari segi akibat yang lebih buruk, apabila menunjukkan auratnya di tengah khalayak dan meluaskan lagi kawasan yang dinajiskan.
3. Boleh menyebabkan keluar daripada Islam (murtad kerana marah, disebabkan terlalu jahil dan keras sifatnya).

Setelah selesai daripada kencingnya, dia dipanggil dan tidak dimarahi tetapi disuruh sahabat R.A menyiram air di tempat kencingnya. Dia dipanggil dan dinasihati dengan baik bahawa masjid adalah tempat mulia dan suci kerana tempat ibadah dan menuntut ilmu. Maka tidak layak menjadi tempat membuang air. Tiba-tiba dia berdoa: “Ya Allah! Rahmatilah aku dan Muhammad sahaja, jangan kepada orang lain”. Menunjukkan kasihnya terhadap Rasulullah S.A.W.

Contohnya juga dalam peristiwa Peperangan Ahzab, ketika semuanya dalam ketakutan apabila Kota Madinah dikepung. Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah dalam kalangan kamu yang bersedia masuk ke dalam musuh untuk mengintip?”, tiba-tiba semuanya terdiam kerana ketakutan yang dinyatakan oleh Allah:

إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا (10) هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا (11)

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu. Dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung ketakutan) serta hati pun resah gelisah dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10); Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat”. (11) (Surah Al-Ahzab: 10-11)

Apabila Rasulullah S.A.W. bersabda: “Siapa yang pergi, dia masuk syurga”. Huzaifah bin Al-Yaman R.A menyatakan kesediaannya. Rasulullah S.A.W bersabda: “Jangan kacau mereka (hanya tugas mengintip)”.

Apabila Huzaifah berjaya masuk di tengah musuh dengan menggalas anak panah dan busur di belakangnya, dia ternampak ketua tentera Ahzab, Abu Sufian yang dekat, boleh dipanah untuk membunuhnya dengan mudah. Namun, dia mentaati arahan Rasulullah S.A.W. Sebenarnya larangan itu bermaksud supaya tidak membawa akibat lebih besar kerana berlakunya serangan besar-besaran yang sangat membahayakan kalau dibunuh Abu Sufian dengan cara begitu. Maka perintah Rasulullah S.A.W dipatuhi dan dapat melaporkan maklumat yang lebih penting.

Perintah Rasulullah S.A.W berkonsepkan Feqah Ma’alaat, mengambil kira perlunya mendapat maklumat dan menolak akibat buruk kalau diserangnya Abu Sufian. Sejarah menunjukkan kemenangan Perang Ahzab dan Abu Sufian R.A akhirnya masuk Islam ketika Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah).

Begitu juga Feqah Ma’alaat dipraktikkan dalam peristiwa menerima Perjanjian Hudaibiyyah, walaupun syarat-syarat yang tidak adil kerana menolak perdamaian dan melancarkan peperangan akan menyebabkan kalangan mereka yang lemah dan beriman yang berada di dalam Makkah akan dibunuh dengan kejam oleh musuh atau kawan yang tidak mengenalinya.

Allah S.W.T berfirman:

هُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا وَصَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَالْهَدْيَ مَعْكُوفًا أَن يَبْلُغَ مَحِلَّهُ وَلَوْلَا رِجَالٌ مُّؤْمِنُونَ وَنِسَاءٌ مُّؤْمِنَاتٌ لَّمْ تَعْلَمُوهُمْ أَن تَطَئُوهُمْ فَتُصِيبَكُم مِّنْهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيْرِ عِلْمٍ لِّيُدْخِلَ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ لَوْ تَزَيَّلُوا لَعَذَّبْنَا الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (25) إِذْ جَعَلَ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَلْزَمَهُمْ كَلِمَةَ التَّقْوَىٰ وَكَانُوا أَحَقَّ بِهَا وَأَهْلَهَا وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا (25)

“Mereka itulah orang-orang yang kafir dan menghalang kamu daripada masuk ke Masjid Al-Haram (Makkah Al-Mukarramah) serta (menyebabkan) binatang-binatang korban (yang kamu bawa) tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya. Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan yang tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman, lelaki dan perempuan, yang ada di antara orang-orang kafir itu. Padahal kamu tidak mengetahui mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung kesusahan dan dukacita disebabkan pembunuhan mereka, (Tentulah diizinkan kamu menyerang kaum Musyrik yang mengancam kamu itu). (Tetapi tidak diizinkan) kerana Allah hendak memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya. Kalaulah mereka (penduduk Makkah yang beriman dan yang musyrik) itu berpisahan (di antara satu puak dengan yang lain), tentulah Kami menyeksa orang-orang yang kafir dari mereka dengan seksa (di dunia) yang tidak terperi sakitnya”.(25); (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam), perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "Kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (26) (Surah Al-Fath: 25-26)

Saat itu Rasulullah S.A.W tidak mempedulikan bantahan majoriti besar para sahabat yang tidak bersetuju terhadap Perjanjian Hudaibiyyah. Hanya Abu Bakar R.A dan segelintir para sahabat R.A yang menerima apa sahaja pandangan Rasulullah S.A.W. Akhirnya semuanya mematuhi tanpa memahami perkara yang tersirat.

Antara contohnya juga, apabila Khalifah Umar R.A tidak menjatuhkan hukuman hudud memotong tangan pencuri ketika berlakunya kemarau dan kemelesetan ekonomi yang menyusahkan kehidupan, kerana melihat daripada akibat kesalahan melaksanakan hukuman berkemungkinan tidak memenuhi syarat-syarat, berpandukan sabda Rasulullah S.A.W:

ادرؤوا الحدود بالشبهات

“Ditolak pelaksanaan Hudud kerana adanya kekeliruan (tidak memenuhi syarat-syarat pelaksanaannya, bukan kerana menghapuskan penguatkuasaannya)”.

Contohnya juga apabila tidak dilaksanakan hukuman Hudud pada masa berperang dengan musuh. Apabila Saad bin Abi Waqqas R.A tidak menjatuhkan hukuman Hudud ke atas Abu Mahjan, seorang panglima dalam peperangan Al-Qadisiyyah yang ditangkap meminum arak kerana mengambil kira akibat buruk yang lebih besar, seperti melarikan diri kepada musuh atau kesalahan murtad yang lebih besar dosanya.

Begitulah Rasulullah S.A.W merahsiakan perkara strategik atau menyembunyikan beberapa tindakan yang diambil mengikut hukumnya kerana mengambil kira akibat selepasnya seperti menangguhkan tindakan meroboh berhala di sekitar Kaabah sebaik sahaja Fathu Makkah. Tujuannya mengambil kira tahap kefahaman penduduk Makkah baru sahaja menganut Islam dan mempersucikan Kaabah secara jahiliah.

Para ulama’ yang memahami Feqah Ma’alaat memilih pendekatan muwajahah silmiyyah (berdepan secara damai), memilih demokrasi pilihan raya, dan menolak pendekatan keras dalam tanah air sendiri kerana mengambil kira umat yang tenggelam dalam kejahilan yang perlu diselamatkan dengan bijak dan sabar.

Kita menyaksikan betapa peperangan yang diberi jenama jihad tanpa feqah hukum jihad di beberapa negara umat Islam yang mengambil pendekatan yang tidak bertafaqquh dalam memahami konsep dakwah dan perjuangan jihad secara Feqah Ma’alaat. Akhirnya membawa bencana kepada agamanya sendiri sehingga merosakkan bangsa dan tanah air, tetapi ditinggalkannya kewajipan amar makruf dan nahi mungkar yang mengislahkan umat.

Firman Allah:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (kesalahan yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”. (Surah Al-Anfaal: 25)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulhijjah 1439 / 3 September 2018 - HARAKAHDAILY 3/9/2018