Presiden PAS ulas PPSMI dan SOP murtad

Presiden
Typography

BAHASA

Firman Allah Taala:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ

“Dan tidaklah Kami utuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaum dia untuk menerangkan kepada kaum itu akan ajaran Allah S.W.T.”

(Ibrahim: 4)

Di sini menunjukkan betapa peranan bahasa dalam mendidik kaum. Sehingga Allah Taala mengutuskan Rasul dengan bahasa kaum yang pertama yang menerima Islam itu. Di sini menunjukkan bahawa untuk mengambil masa yang lebih cepat, supaya manusia tak makan umur dalam mempelajari apa-apa ilmu mestilah dengan bahasa ibunda.

Apa yang disebut oleh Quran ini menepati kajian yang dibuat oleh UNESCO (The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization). UNESCO ini ialah satu badan yang berkait dengan pendidikan dan kebudayaan di bawah Bangsa-bangsa Bersatu, menekankan bahawa pendidikan mestilah dengan bahasa ibunda masing-masing. Pendidikan dengan bahasa asing gagal. Bukan sahaja memakan masa yang lama, gagal.

Di sinilah kita melihat negara-negara besar dalam dunia tegas di atas bahasa masing-masing. Jepun dengan Bahasa Jepun. Jerman dengan Bahasa Jerman. China dengan Bahasa Cina. Kita dapati Jepun dengan Jerman yang kalah Perang Dunia Kedua, dengan kekalahan yang dahsyat, dia boleh pulih balik dengan memperkasakan rakyat melalui pendidikan pembelajaran dengan bahasa mereka sendiri.

Kita menyaksikan juga bagaimana China begitu juga menjadi salah satu kuasa besar hari ini. Kita menyaksikan bagaimana India, saya tak mahu hina India. India menggunakan bahasa Inggeris daripada pemimpin, Presiden sampai peminta sedekah boleh bercakap Inggeris di India.

Pencapaian kemajuan dia (India) tidak boleh menghambat kemajuan China, kemajuan Jepun dan kemajuan Jerman dalam memperkasakan bahasa mereka. Sepatutnya pengalaman kita telah mencapai kemerdekaan, bagaimana bahasa kebangsaan ....diperkasakan dalam tahun 60-an hingga tahun 70-an sehingga ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuh Universiti Kebangsaan untuk mengkebangsaankan pendidikan dengan bahasa kita.

Kita dapati banyaknya lepasan-lepasan universiti, khusus di kalangan orang Islam yang menjadi teras kepada kaum yang paling dominan di negara ini. Tiba-tiba kita undur ke belakang melalui Bahasa Inggeris.

Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura, saya pernah jumpa dia. Adapun tulisan dia mengatakan bahawa Singapura gagal dalam memperkasakan rakyat dia melalui budaya Barat, Lee Kuan Yew.

Dan saya pernah berjumpa dengan beliau sebelum beliau meninggal dunia, Lee Kuan Yew ini, bila rakan saya bercakap Bahasa Inggeris, dia bercakap Melayu. Lee Kuan Yew kata awak bercakap Inggeris ini awak kena fikir dulu kan? Bila bercakap Melayu tak payah fikir banyak. Dia tempelak dalam majlis itu.

Itu satu petanda yang kita kena faham bagaimana tokoh-tokoh politik yang besar meletakkan peranan bahasa dalam pendidikan. Kecuali tokoh politik yang gagal, yang gagal sahaja nak balik kepada zaman penjajahan.

Ibnu Khaldun mengatakan di antara bangsa yang hina ialah bangsa yang terpengaruh dengan penjajah yang menjajah mereka. Dipengaruhi bahasanya, budayanya, dan sehingga meninggalkan agamanya.

Adakah konsep yang nak dibawakan ini bertujuan untuk menghinakan bangsa dia sendiri dalam negara dia sendiri? Kita tidak mahu anak-anak kita jadi bahan ujian. Berapa penyata-penyata pendidikan pelajaran ini gagal? Kita ubah tetapi memakan masa beberapa generasi.

Agama

Yang pertama kita kena melihat dan memahami Islam tidak sama dengan agama-agama lain. Islam adalah ajaran yang menyeluruh, ad-Din yang tak boleh diterjemahkan dengan religion, dengan agama dengan makna yang sempit. Melibatkan jati diri bukan sahaja individu, termasuk negara itu sendiri.

Kita telah berjaya melalui perjuangan kemerdekaan, apabila Perikatan di masa itu Umno, MCA, MIC, dan PAS satunya parti pembangkang di masa itu bersepakat mendesak Suruhanjaya Reid meletakkan Islam adalah agama Persekutuan, agama lain diberi hak untuk menganut. Sepatutnya kita perkasakan apa yang sudah menjadi dasar dan konsep perlembagaan ini. Malangnya, Islam direndahkan kuasanya. Islam ditundukkan kuasanya. Satu ugama yang perkasa melibatkan politik, pentadbiran dan segala-galanya.

Dalam Islam, bila seseorang itu masuk Islam, dia mesti faham sebelum dia masuk Islam lagi bahawa agama ini bukan macam pakaian boleh pecat, boleh cabut dengan mudah. Agama ini ada dalam Islam ada ikatan dua kalimah syahadah merupakan perjanjian seseorang dengan Allah S.W.T.

Kalau sekiranya seseorang itu mungkir perjanjian dengan manusia, dianggap satu kesalahan yang sangat besar. Di sini Islam meletakkan bahawa mereka yang masuk Islam kemudian murtad, mungkir janji dengan Allah Taala, khianat terhadap Allah Taala. Ini ikatan agama dalam Islam yang kita tak boleh sama dengan agama lain.

Dengan sebab itu maka Islam memberi penegasan yang sekuat-kuatnya kepada mereka yang masuk Islam tidak dimudahkan untuk murtad, mesti dipujuk. Apa lagi bila Islam itu dikaitkan dengan negara, dikaitkan dengan negara. Maka mereka yang murtad itu dianggap bukan sahaja pengkhianat terhadap agama, pengkhianat terhadap negara dan umat yang dominan di dalam negara itu. Orang yang mudah dipergunakan oleh musuh-musuh negara.

Di sinilah maka penegasan kita dalam berpegang dengan agama Islam. Kita tak paksa orang bukan Islam masuk Islam. Tetapi seorang yang bukan Islam nak masuk Islam dia mesti faham, dia mesti tahu ini, dia mesti tahu bila sudah masuk Islam tak boleh dirungkai dengan mudah-mudah. Di sana banyak ayat-ayat Quran yang menegaskan bahawa Islam mesti ditinggikan dalam negara itu:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“Allah Taala tidak mengizinkan sekali-kali bukan Islam itu mengatasi Islam dengan apa-apa jalan sekalipun”

(an-Nisa’: 141)

Sehingga Allah menyebut dalam ayat ini sambungan yang dahulu itu mengatakan bahawa ini adalah sifat-sifat munafik. Kalau ada orang Islam yang membiarkan perkara itu, orang Islam ini ada sifat-sifat munafik dalam diri dia. Menjadi kewajipan kepada orang Islam mempertahankan kedudukan agama dia, bukan (sahaja) dalam diri dia, termasuk dalam negara dan perlembagaan negara.

Apa lagi kita sudah nyatakan dalam perlembagaan Islam adalah agama Persekutuan, dan bidang kuasa agama bidang kuasa negeri. Dengan makna apa-apa perkara yang berkait dengan urusan orang Islam mesti diselesaikan oleh orang Islam. Di sini mewajibkan kita meninggikan Mahkamah Syariah. Memuliakan Mahkamah Syariah. Jangan merendahkan Mahkamah Syariah. 

(Teks transkrip dari Ucapan Presiden PAS di Live Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebentar tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR- HARAKAHDAILY 4/3/2018