Dunia Islam masa kini

Presiden
Typography

TRANSKRIP PENUH KULIAH PRESIDEN PAS
Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak
15 Oktober 2017

 

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Dia-lah yang telah mengutuskan Rasul-Nya Muhammad S.A.W dengan petunjuk dan Dinul Haq, agama yang benar iaitulah Islam untuk (menzahirkan, meninggikan) memenangkan Islam ini sehingga mengatasi segala ajaran-ajaran yang lain (sama ada agama, idealogi, teori, pendekatan dan sebagainya) walaupun dibenci oleh orang-orang Musyrikin." (at-Taubah: 33)

Kini kita menyaksikan berlakunya kebangkitan Islam. Perbincangan kita tentang Hadir Alam Islami, Dunia Islam Terkini (yang) sedang menghadapi cabaran, (sekaligus) menyangkal teori seorang pemikir Barat; pemikir Amerika Francis, Fukuyama yang membuat kenyataan tentang pertembungan tamadun selepas kejatuhan Soviet Union di abad yang lalu mengatakan bahawa dunia hanya akan punya satu tamadun, (iaitu) Tamadun Barat. Semua tamadun yang lain, Parsi, Rom, Greek, termasuk Islam, China dan India, hanya dalam lipatan sejarah.

Pandangan Profesor Fukuyama disangkal oleh banyak kalangan tokoh Barat, sama ada kalangan politik, ataupun dalam kalangan akademik. Kalangan politik, Henry Kissinger bekas Setiausaha Negara Amerika berketurunan Yahudi yang terkenal, termasuk Huntington dan lain-lain, (mengakui) di sana ada tamadun yang tak mungkin dipadamkan, iaitulah Tamadun Islam. Islam akan terus menjadi pencabar kepada Barat.

Maka berlakulah kini Perang Salib baru terhadap Islam, melalui politik, ekonomi, ketenteraan dan media. Bukan sekadar Islamofobia yang diuar-uarkan untuk menakutkan manusia terhadap Islam, bahkan lebih daripada itu. Berlaku perkara yang pernah digambarkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis:

تداعى عليكم الأمم 
كما تداعى الأكلة إلى قصعتها

فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ يا رسول الله؟ 
قال: لا بل أنتم كثير ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل ولينزعن الله المهابة منكم مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ ليقذفن الله في قلوبكم الوهن

فقال قائل: ما الوَهْن يا رسول الله؟ 
قال حب الدنيا وكراهية الموت

“Kamu umat Islam akan dikelilingi oleh orang-orang lain, musuh-musuh kamu, laksana mereka yang mengelilingi hidangan yang lazat.” (Mereka mencubit, menggigit, menelan kamu macam menghadapi hidangan yang lazat.) Lalu seorang Sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita di masa itu sedikit?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Tidak, ramai, jumlah kamu ramai, tetapi laksana sampah-sampah sarap dan buih yang dihanyut oleh air banjir, dihilangkan rasa hebat, rasa kegerunan musuh terhadap kamu. Selama ini musuh Islam merasa gerun terhadap umat Islam, (ada kehebatan, tetapi hilang). Dan Allah mencabut, Allah campakkan ke dalam hati kamu penyakit Al-Wahn.” Lalu ditanya "Apakah Al-Wahn itu?" Jawabnya,


حب الدنيا وكراهية الموت

“Kasihkan dunia (melulu tanpa kira halal dan haram) takutkan mati (mungkin ada dosa maksiat yang banyak).”

Jumlah umat Islam kini lebih daripada 1.3 billion, 1300 juta di seluruh dunia, tersebar di merata pelusuk. Namun berlaku apa yang disebut oleh Rasulullah S.A.W:


إن هذا الأمر يبلغ ما بلغ الليل والنهار

“Urusan agama Islam akan berkembang di mana sampainya siang dan malam.”

Namun Islam akan mara, tetapi mereka mengalami kelemahan-kelemahan dalaman kerana jauh daripada ajaran Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Khalifah Umar Ibnul Khattab R.A ketika mengunjungi Baitul Maqdis yang dibebaskan oleh tentera Islam. Dijemput oleh paderi besar Baitul Maqdis untuk menyaksikan penyerahan kota suci Baitul Maqdis setelah dibebaskan daripada Rom. Khalifah Umar menyampaikan ucapan kepada para Sahabat R.A yang ada di masa itu, antara lain mengatakan:


نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

“Kita adalah umat yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan lain daripada Islam, kita ditimpa oleh kehinaan.”

Puncanya meninggalkan ajaran Islam. Timbul masalah dalaman sehingga boleh dimanfaatkan oleh musuh menggunakan strategi yang lama, setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Islam. Sebelum ini Islam telah berjaya menegakkan kuasa besar dunia yang menguasai tiga benua; Asia, Afrika, dan Eropah, Utara Afrika, dan Selatan Eropah dikuasai oleh Islam, tidak sampai 100 tahun selepas wafatnya Nabi S.A.W, Islam menguasai dunia, menjatuhkan dua kuasa besar dunia.

Semua negeri yang dimasuki oleh Islam, Islam berkembang, diterima rakyat. Oleh kerana itulah kedatangan Islam memerintah dunia disebut Al-Futuhatul Islamiyyah, pembukaan Islam, pembebasan Islam, Mereka tidak menyebut imperialisma dan kolonialisma, penjajahan. Islam tidak menjajah, Islam membuka negeri dan membuka hati-hati manusia.

Di sana ada tiga konsep yang penting, tiga bahagian konsep yang penting rahsia penguasaan Islam terhadap dunia, menjatuhkan dua kuasa besar dunia yang lebih kaya, lebih kuat, lebih gagah senjatanya. Tapi Islam mendapat sokongan rakyat, bukan sahaja rakyat orang Islam, termasuk rakyat negeri-negeri yang bukan Islam, mengalu-alukan kedatangan Islam.

Apabila Raja Parsi merasakan dia kalah, baginda menulis surat kepada Raja China, minta bantuan China untuk menyelamatkan Empayar Parsi, nanti Islam akan masuk ke China. Dilaporkan Raja China di masa itu bertanyakan utusan Raja Parsi tentang tingkah laku orang Islam. Apa yang dibuat oleh orang Islam setelah dia masuk ke Parsi? Lalu diceritakan bagaimana orang Islam melakukan adil terhadap semua, tidak menindas dan menekan, membela rakyat tanpa mengira agama.

Lalu Raja China membalas utusan itu, kalau beginilah sifatnya mereka yang datang ini, maka tak boleh dihalang. Kalau dihalang, bukan sahaja mereka boleh melangkah gunung-ganang dan bukit-bukau, mereka boleh melangkah negeri China ini. Lalu China mengadakan hubungan diplomatik yang baik dengan Kerajaan Islam di zaman Amawiyah dan Abbasiyah.

Rahsianya ialah yang pertama aqidah dan prinsip beriman kepada Allah, yang kedua konsep bertaqwa, yang ketiga rahmat dan adil kepada seluruh alam. Ini tiga bahagian yang penting kejayaan Islam.

Beriman kepada Allah, membatalkan lagak raja-raja dan pemimpin yang berlagak menjadi tuhan, memperhambakan rakyat. Raja adalah hamba Allah, tidak ada mereka yang berada di atas undang-undang, semua di bawah undang-undang syariat, macam disebut oleh Nabi S.A.W:


وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا 
“Demi Allah, sekiranya puteriku Fatimah binti Muhammad mencuri, dipotong tangannya.”

Ini dia syariat Islam. Allah mengatasi segala-galanya. Beriman kepada hari akhirat, wawasan manusia bukan wawasan dunia, wawasan daripada dunia sehingga hari akhirat. Kalau seseorang itu boleh bebas daripada hukuman dunia, kerana kuasanya, kerana menipunya, bijaknya, tak boleh lepas di hari akhirat. Menjadikan pemimpin-pemimpin negara tunduk kepada syariat Allah S.W.T.

Yang kedua bertaqwa. Bertaqwa memecahkan fanatik perkauman, tidak ada fanatik kaum dalam Islam. Islam membenarkan sayang kepada kaum, sayang kepada bangsa, tak jadi salah, tetapi Islam mengharamkan taksub.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ
إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu asalnya daripada seorang lelaki Adam, dan seorang wanita Hawa, berbangsa-bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu berta'aruf, berkenalan di antara satu sama lain, yang paling mulia kalangan kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa. Dan Allah Maha Mengetahui segala urusan kamu dan hal diri kamu.” (al-Hujurat: 13)

Berta'aruf ditafsirkan oleh Ibnu Khaldun dalam Al-Muqaddimah dengan bermasyarakat Madani. Apa makna masyarakat Madani? Makna, manusia tak boleh hidup bersendirian, seorang diri, satu bangsa, satu kaum, tidak boleh. Allah membahagikan manusia dengan berbagai-bagai kemampuan dan kebolehan. Membahagikan manusia di tempat-tempat seluruh dunia, berbagai hasil bumi untuk menghasilkan makanan, pakaian, kenderaan, memerlukan bahan-bahan yang berbagai, memerlukan dicampur dan bertukar di antara satu sama lain. Ini masyarakat Madani yang perlu dimajukan.

Maka Nabi S.A.W menegakkan negara Islam di Madinah. Yathrib dinamakan Madinah, Madani, ada kata perkataan Madinah, ada kata perkataan Ad-Din. Memasyarakatkan manusia, negara Madinah yang ditegakkan itu penduduknya orang Islam, Muhajirin Ansar, berbagai kabilah, Aus Khazraj dan lain-lain termasuk orang Yahudi Bani Qainuqa', Bani Nadhir, Bani Quraizah, termasuk orang Kristian Najran, termasuk Musyrikin Khuza'ah dan lain-lain, menjadi rakyat dalam Kerajaan Islam.

Apabila pemimpin-pemimpin Jahiliyyah sama ada ahli kitab, ataupun Musyrikin, tak ada pemimpin yang boleh memimpin mereka, akhirnya mereka menerima Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun hati kecil mereka menerima Islam, tapi fanatik agama masih ada, tak mahu terima Islam. Islam adalah agama asal, agama-agama lain timbul kemudian. Islam agama Ibrahim, Ibrahim dianggap bapa Nabi-Nabi. Muhammad S.A.W adalah keturunan Ibrahim, orang Islam menyebut Ibrahim, Yahudi sebut Ibrahim, orang Eropah sebut Abraham, orang Hindu sebut Brahma, cerita panjang, (perlukan) satu kuliah yang lain, panjang ceritanya. Ini kaitan yang kita kena faham.

Mereka menerima Islam sebagai pemerintahan negara. Walaupun berbeza ibadat, berbeza halal dan haram, tetapi sama kemanusiaannya. Ada perkara yang sama, perkara yang berbeza. Islam wajib tutup aurat, dia wajib jaga akhlak. Halal dan haram berbeza. Islam boleh menangani masalah ini dengan baik. Kemudian rahmat dan adil untuk semua.


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ 
“Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan rahmat kepada seluruh alam.” (al-Anbiya: 107)

Seterusnya Allah Taala menyebut:


إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
“Allah Taala menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada orang yang ahli.” (an-Nisa': 58)

Amanah paling besar amanah memimpin negara. Bila menghukum, memerintah, manusia semuanya.


بَيْنَ النَّاسِ
“Hendaklah adil.” (an-Nisa': 58)

Tiga perkara, tiga ruang ini menjadikan mana-mana negeri yang Islam masuki, penduduknya berduyun-duyun masuk Islam. Lihat Jalan Sutera daripada Negeri Arab sampai ke Negeri China Asia Tengah, itu kawasan Islam. Bukan sahaja dengan perang, termasuk dengan perdagangan, Asia Tenggara, pedagang-pedagang datang sampai ke Alam Melayu ke Indonesia, masuk Islam. Ditegakkan pemerintahan Islam yang unggul.

Di zaman awal Islam tak ada mazhab, satu sahaja, Nabi Muhammad S.A.W, tak ada mazhab. Tak dinafikan adanya mazhab ini keperluan hidup masyarakat, sebahagiannya menjadi masalah, tak dinafikan. Generasi awal Islam memahami At-Tafaqquh Fid Din:


لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ
(at-Taubah: 122)

Mengandungi aqidah, syariat dan akhlak. Ini ajaran Islam.

Soalan malaikat Jibrail dalam hadis yang panjang:


ما الاسلام ما الايمان ما الاحسان
Tiga perkara, aqidah, syariat dan akhlak.

 

Tiga perkara yang ada dalam ajaran Islam. Bila disebut At-Tafaqquh Fid Din (bermakna) memahami agama, memahami aqidah, memahami syariat, memahami akhlak.

Di zaman mutakhir, untuk memudahkan pengajian, para ulama membahagikan masalah aqidah dinamakan ilmu tauhid, ilmu usuluddin, ilmu aqidah. Masalah syariat, ilmu feqah. Masalah akhlak, ilmu tasawwuf. Maka berlaku pembahagian ilmu. Kemudian, orang Islam berpecah kepada mazhab-mazhab. Mazhab aqidah, mazhab syariat, mazhab politik, mazhab tasawwuf, berpecah orang Islam kepada mazhab-mazhab yang banyak.

Di antara puncanya pertelingkahan perkara cabang, bukan perkara asas dalam ajaran Islam. Di antara puncanya ialah kerana para Sahabat yang berhijrah ke wilayah-wilayah, ada Sahabat Muaz bin Jabal, Abu Musa Al-Asy'ari dihantar ke Yaman. Ibnu Abbas dihantar ke Thaif. Abdullah bin Umar di Makkah. Abdullah Ibn Amr ibn al-'As di Mesir. Zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Zaman Nabi sekadar Yaman, Makkah dan Thaif, itu sahaja, kawasan Hijaz.

Dalam perkara furu', ada pandangan yang berbeza, menyebabkan lahirnya pandangan berbeza, Sahabat-sahabat yang sudah berhijrah, masa itu tak ada telefon, tak ada internet. Ini timbulnya khilaf-khilaf mazhab dalam masalah feqah dalam Islam.

Masalah furu', masalah cabang, bukan masalah asas hukum Islam. Bincang tentang sembahyang lima waktu wajib, jamak sembahyang boleh, qasar sembahyang boleh, berapa kilometer? Ini jadi kelahi, ada kata dua marhalah, tiga marhalah, ada kata musafir sahaja pun boleh qasar, jamak. Ini kerana Sahabat-sahabat yang berhijrah, ini. Tak jadi masalah, tak berkelahi antara orang Islam.

Kemudian, selepas wafatnya Nabi S.A.W, tak ada calon siapa jadi ketua negara, yang ada ialah konsep syura:


وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ
(ash-Shura: 38)

Lalu mereka bermesyuarat, untuk pilih khalifah, siapa nak jadi khalifah, ada tiga calon.

Kalangan Ansar mencalonkan Sa'ad bin Ubadah, kalangan Ahlil Bait mencalonkan Ali bin Abi Talib, kalangan Muhajirin mencalonkan Abu Bakar As-Siddiq R.A, tiga calon. Bila mereka mendengar hadis:


الأئمة من قريش
“Pemimpin daripada Quraisy."

Mereka terima Abu Bakar menjadi khalifah, semua bai'ah Abu Bakar.

Quraisy dengan makna kaum yang paling berpengaruh dalam masyarakat, yang paling dominan dalam masyarakat. Dalam istilah hari ini, menjadi Ketua Negara, supaya ada kehebatan, didengari segala arahannya.

Di zaman mutakhir, timbulnya mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij daripada bibit-bibit ini, asalnya begitu. Begitulah madrasah akhlak yang berkait dengan tasawwuf, timbulnya tariqat. Tariqat pada asalnya masalah furu', tidak menjadi perbalahan di kalangan orang Islam.

Selepas zaman khulafa’ Ar-Rasyidin, berlaku pertembungan-pertembungan di antara Bani Umaiyyah, Bani Hasyim. Bani Umaiyyah yang menegakkan Kerajaan Amawiyyah menekan Bani Hasyim. Ini berlaku pertelingkahan politik dalam masyarakat Islam.

Maka dihidupkanlah semula mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij yang pada asalnya perbalahan politik. Dan pada asalnya ulama-ulama yang istiqamah, tidak bertengkar di antara satu sama lain, (mereka) bersatu. Mereka menentang siapa sahaja khalifah yang zalim, mereka bersatu, bersatu.

Bila berlaku tekanan, menyebabkan berlakunya hijrah, jadi berpecah, mazhab-mazhab yang bercabang-cabang, sehingga dalam mazhab feqah Sunni kita kenal empat mazhab sahaja, Syafie, Hanafi, Hambali, Maliki. Di sana ada mazhab-mazhab yang kecil, mazhab Ibnu Hazm, mazhab al-Laits bin Saad, mazhab Abu Thur, mazhah Sufyan al-Thawri, mazhab Muhammad bin Sirin, mazhab Umar bin Abdul Aziz, ini mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah, dinamakan Sunni.

Sunni ialah mereka yang tinggal di pusat-pusat negeri Islam, Makkah, Madinah, Thaif, Dimasyq, Basrah dan Kuffah, tempat pusat, para sahabat-sahabat banyak duduk di sini. Bila berlaku tekanan terhadap Bani Hasyim, oleh kerana Bani Amawiyyah mahu mengekalkan kuasa dia, berlaku penindasan terhadap keluarga Nabi S.A.W. Mereka bukan Syiah pun, kerana dia keluarga Nabi, ditahan, ditangkap, ditekan, ditindas. Sebahagiannya Tasyayyu', sebahagiannya tidak. Ini kita kena faham timbulnya perkara macam ini.

Berlaku kecelaruan, ada yang bertindak keras, disebut Khawarij, yang keras pakai nas-nas yang zahir sahaja. Tanpa dinafikan budaya ilmu Islam berkembang di pusat-pusat bandar yang ada Sahabat-sahabat yang besar dan kibar al-Ulama, ulama yang besar. Dan mereka yang ditindas ini terpencil, timbul pandangan-pandangan sendiri, tanpa dinafikan ada juga ulama-ulama yang besar kalangan mereka, tanpa dinafikan.

Maka, ulama-ulama yang melakukan gerakan islah dan tajdid membuat pembaharuan melalui kitab-kitab yang dikarang. Sekiranya kita membaca kitab-kitab tafsir, kitab-kitab hadis yang besar, kita akan dapati mereka menaqalkan semua mazhab ini dalam kitab-kitab mereka. Menghormati ilmu masing-masing, berbalah ilmu sahaja, tak berpecah di kalangan orang Islam, negara umat Islam tak boleh ditakluk dan mereka mengaji di antara satu sama lain.

Di zaman mutakhir, Sunni dengan Sunni pun berlawan, Syiah dengan Syiah berlawan, Khawarij dengan Khawarij berlawan. Sunni dengan Syiah berlawan, di zaman mutakhir jadi macam itu. Padahal Imam Syafie murid kepada Imam Malik. Imam Malik mazhab Maliki, Imam Syafie mazhab Syafie. Imam Malik guru kepada Imam Syafie. Khilaf mazhab tapi berguru dan mengaji. Ahmad bin Hambal murid kepada Imam Syafie. Imam Syafi'ie murid kepada Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani, murid Abu Hanifah.

Bagaimana keanjalan, fleksibel Imam Syafie bila pergi ke Iraq, sembahyang Subuh tak baca qunut, padahal Syafie mengatakan qunut ini sunat ab'ad, kalau tinggal qunut kena sujud sahwi. Syafie pergi ke Iraq, sembahyang subuh tak baca qunut, tak sujud sahwi. Ditanya mengapa? Ihtiraman li Abi Hanifah, menghormati Abu Hanifah.

Tetapi Ahli Sunnah yang kecil-kecil ini berbalah pasal qunut, berbalah pasal sifat-sifat 20, berbalah pasal-pasal ini. Puncanya, baca kitab feqah tak baca sejarah feqah, baca kitab aqidah tak baca sejarah aqidah. Kena baca juga kitab sejarah, kena baca tarikh tasyri', baru kita tahu mengapa jadi begini, barulah tak jadi berkelahi.

Dalam masalah Salaf dan Khalaf dalam dunia Islam hari ini, ada mazhab Salaf, mazhab Khalaf. Mazhab Salaf ini Wahabi. Wahhabi ini kemudian, dulu pada itu adalah Salaf. Kemudian mazhab Khalaf, timbulnya perbezaan ini kerana perbezaan masyarakat, perbezaan realiti dan situasi yang berlaku.

Di zaman abad yang pertama hijrah sehingga abad yang ketiga hijrah, masyarakat Islam tak bercampur banyak dengan masyarakat asing. Quran, hadis, itu sahaja. Pegang dengan Quran dan hadis. Zahir ayat Quran, itu sahaja pegang.

Zaman Abbasiyyah, berlaku gerakan penterjemahan ilmu daripada bangsa asing untuk mengilmukan orang Islam, ilmu-ilmu yang memberi manfaat diterjemah. Diterjemah ilmu-ilmu sains dan teknologi, daripada Rom, Parsi, Greek, India, China, terjemah dalam Bahasa Arab.

Maka lahirlah Tamadun Islam, Islam menjadi kuasa besar dunia, menunjukkan bahawa nak memperkasakan bahasa mesti dengan bahasa ibunda, bukan dengan bahasa asing. Orang Islam menterjemahkan ilmu asing dalam Bahasa Arab untuk melahirkan Hadharah Islamiyah, bukan Islam Hadhari, Hadharah Islamiyah, itu cerita panjang.

Tetapi berlaku kebocoran, diterjemah sama buku-buku falsafah, buku menggunakan aqal, buku logik, buku mantik, diterjemah ke dalam Bahasa Arab. Melahirkan kalangan-kalangan yang menafsirkan sifat-sifat tuhan menggunakan aqal. Qadha' dan Qadar menggunakan aqal.

Di sana ada urusan Allah S.W.T yang tak mampu dicapai oleh aqal. Kalau guna aqal jadi sesat, tak boleh dalam perkara agama. Aqidah guna aqal, sesat, tinggal wahyu, sesat. Macam ahli-ahli falsafah yang mencipta ajaran menyembah patung dan berhala, itu ahli falsafah. Kerana mereka menolak wahyu, akhirnya lantik lembu jadi tuhan, lantik batu jadi tuhan, lantik binatang jadi tuhan, jadi sesat kerana meninggalkan wahyu.

Apa jadi masalah ialah lahirnya pandangan-pandangan falsafah, mazhab Muktazilah, Jabariyyah, Qadariyyah, Dahriyyah, macam-macam mazhab. Untuk melawan mazhab ini mesti dengan hujah-hujah yang kuat, mereka menggunakan ketinggian ilmu bahasa al-Quranul Karim. Ilmu bahasa Quran ini banyak, ilmu nahu, ilmu sorof, ilmu balaghah dalamnya ilmu ma'ani, bayan dan badi', ini ilmu-ilmu. Mereka menafsirkan ayat-ayat Quran untuk menentang ahli-ahli falsafah. Maka lahirlah mazhab Asy-Sya'irah dan Maturidiyah kerana menghadapi falsafah, ini perkembangan yang berlaku.

Dengan sebab itu, mereka membuat kesimpulan, dalam aqidah Ahli Sunnah ini ada mazhab Salaf, mazhab As-Sya'irah dan Maturidiyyah. Yang jadi masalah, ada kalangan yang menegakkan Salaf, menegakkan Salaf sahaja, khususnya kalangan yang disebut dengan Wahabi, al-Wahabiyyah, mempertahankan.

Saya lulus Universiti Wahabi, mahir bab Wahabi ini, ada orang itu dia baca-baca je, tapi kuat Wahabi daripada saya lagi. Dan saya mengaji pondok Asy-Sya'irah Maturidiyyah, sepatut tidak bertembung. Matan Jauharah mengatakan, saya hafal Matan Jauharah sebahagian, bukan semualah:


وكل نص أوهم التشبيها أوله أو فوِّضه ورُمْ تنزيها

Syair dia. Perkara yang mutasyabihat sama ada serah kepada Allah Taala. Tangan, mata tuhan, tangan tuhan disebut dalam Quran, mata yang layak bagi Allah, tangan yang tak sama dengan makhluk-Nya. Tapi yang Khalaf mengatakan tangan dengan makna kuasa, mata makna melihat. Berbalah bab ini sahaja, berkelahi pondok dengan pondok, saya tahu ada pondok yang berkelahi pasal ini. Kerana tak ada nas dalam Quran, bukan semuanya ada nas dalam Quran.

Dulu pernah di zaman penjajah dulu, pasal gendang raya ini, beduk, ada kalangan mengatakan beduk ini bida'ah, tak ada dalam Quran, tak ada dalam hadis, tak boleh pakai beduk, ini kaum muda. Yang kaum tua kata, tak, boleh pakai beduk, ini orang tua-tua pakai beduk zaman British dulu, berkelahi pasal beduk. Akhirnya yang kata ke beduk bida'ah ini, malam pergi curi beduk, perhanyut kat sungai, berkelahi, berkelahi pasal beduk, negeri, orang putih takluk, orang jajah negeri kita. Ini kerana tak memahami perkembangan mazhab ini.

Padahal ulama-ulama mazhab, termasuk antara Sunni dan Syiah berguru di antara satu sama lain. Sebagai satu contoh, Imam Abu Hanifah macam Syafie, Hanafi dan Maliki, mereka mazhab Ahli Sunnah. Dalam Usul Fiqh, mereka berpegang kepada Quran, hadis, ijmak ulama, qias, istihsan dan lain-lain. Mazhab Syiah menolak qias, tak ada qias dalam mazhab dia, tak ada qias. Quran, hadis dan atrah pandangan Ahlil Bait, tak ada qias.

Qias ini ialah perbandingan satu hukum dengan satu hukum, contohnya arak ada dalam Quran, dadah tak ada dalam Quran, mengapa arak diharamkan? Kerana mabuk. Maka dadah mabuk, dadah pun haram juga, ini qias kerana sebab yang sama. Ataupun Maqasid Syariat dan sebagainya, huraian yang panjang. Perkara yang tak ada nas, tapi sebabnya, illatnya sama, ini. Mazhab Ahlil Bait tak ada qias.

Abu Hanifah walaupun berbeza pendapat, menziarahi Imam Al-Baqir. Al-Baqir ini salah seorang Imam Isna Asyariah, bapa kepada Ja'afar As-Saddiq. Lalu bila Abu Hanifah pergi ke rumah Al-Baqir, Al-Baqir kata awaklah orang yang menolak hadis-hadis nenek moyang saya, datuk saya. Kata Abu Hanifah:
اجلس مكانك

Sila duduk, saya nak tanya soalan, tiga soalan. Kamu kata kami ini pakai qias, tolak hadis. Saya nak tanya soalan yang pertama, mana lebih kuat di antara wanita dengan lelaki?

Kata Al-Baqir, Lelaki lebih kuat.

Bagaimana hukum pusaka? Hukum pusaka,
للذكر مثل حظ الانثيين

Lelaki sekali ganda daripada perempuan pusaka. Quran kata begitu, bila Quran kata begitu, maka Ahli Sunnah mengatakan begitu, sama sahaja dalam masalah pusaka, sama, bila ada nas, ada ayat Quran, kami tak pakai qias.

Soalan yang kedua, mana lebih afdhal puasa dengan solat dengan sembahyang?

Kata Al-Baqir, solat lebih afdhal. Tetapi hadis mengatakan, kalau meninggalkan puasa, kena qadha, meninggalkan sembahyang tak payah qadha bagi perempuan yang haidh dan nifas. Kalau saya pakai aqal, saya akan kata tinggal sembahyang kena qadha, tinggal puasa tak payah qadha. Tetapi hadis mengatakan tinggal puasa, qadha, sembahyang tak qadha, kami tak pakai qias.

Saya nak tanya lagi, mana lebih najis antara darah dengan air kencing?

Kata Al-Baqir, air kencing lebih najis. Kalau saya pakai aqal, saya akan kata, tiap kali kencing, mandi wajib, keluar haid tak payah mandi wajib, tetapi hadis mengatakan perempuan haidh dan nifas kena mandi wajib, yang kencing tak mandi wajib, ini kerana nas, bukan bermakna kami menolak nas.

Al-Baqir bangun, mencium kepala Abu Hanifah, menghormati ilmunya. Ini zaman dahulu, zaman awal Islam, walaupun berbeza masalah mazhab, tak berkelahi.

Apa yang berlaku di zaman mutakhir, penjajah menggunakan politik, divide and rule, pecah dan perintah. Bila mereka gagal menguasai dunia Islam yang kuat dan teguh dengan ajaran Islam, mereka sudah tahu, caranya ialah memecahkan umat Islam.

Bagaimana nak pecahkan? Cari perbezaan pendapat, perbezaan kedudukan dan situasi. Orang Islam berbagai bangsa, tanamkan semangat kebangsaan Nasionalisme. Nasionalisme Arab, Nasionalisme Melayu, Turki lepas Melayu pula, Jawa pula, Banjar pula, di sini pula, India pula, ada kabilah-kabilah dia pula, Arab pula Bani Tamim, Quwait, Qatar berkelahi, yang ini Bani Tamim, yang ini Bani lain pula berkelahi, ini.

Pecahkan mazhab-mazhab. Setelah di zaman mutakhir, Kerajaan Uthmaniyyah daripada mazhab Sunni, mazhab Hanafi, mazhab Hanafi. Syiah Imamiyyah menegakkan kerajaan Safawiyyah di Iran, Zaidiyyah menegakkan kerajaan Zaidiyyah di Yaman. Ibadhi menegakkan kerajaan di Oman, di samping kebangsaan masing-masing.

Tanpa dinafikan, berlakunya kezaliman Kerajaan Uthmaniyyah, ada zalim, ada fanatik kaum, Mereka jadikan sudut zalim, sudut fanatik ini untuk melagakan umat Islam. Lalu mereka persenjatakan orang Arab untuk menentang Turki dalam perang dunia yang pertama pada tahun 1917, genap 100 tahun sekarang 2017.

Syarif Hussein, Raja Makkah di masa itu mengisytiharkan Revolusi Agong Arab menentang Kerajaan Uthmaniyyah di atas nama kebangsaan Arab, dengan British menjanjikan orang Arab akan jadi khalifah. British yang janji nak bagi khalifah, macam Amerika janji nak jadi Perdana Menterilah, Amerika janji nak jadi Ketua Negara.

Maka berlaku pertembungan di antara Arab dengan Turki, Iran dengan Turki, Yaman dengan Turki, Oman dengan Turki, negara yang jauh Asia Tenggara sudah dijajah oleh British, oleh Portugis, oleh Belanda sudah dijajah, India sudah dijajah, melalui perpecahan mazhab, perpecahan kaum, dilagakan orang Islam. Maka jatuhlah Kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, jatuh Kerajaan Uthmaniyyah, tumbang.

Namun, kita mesti sedar benarnya firman Allah Taala, cahaya Islam tak boleh dipadam, tak boleh dipadam.


وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
(as-Saff: 8)

Di zaman penjajahan, berlakunya perjanjian Sykes-Picot, membahagikan negeri-negeri Arab, dan negeri Utara Afrika, Betawi membahagikan Asia Tenggara di antara Belanda dan British di Rantau ini, Perancis dan Sepanyol, Perancis ambil Champa, Sepanyol ambil Filipina, bahagi-bahagikan ini, dicaing-caingkan, tetapi orang Islam tidak menyerah kalah.

Di zaman tidak ada kerajaan dan pemerintah, pengajian agama tak mati, pondok-pondok mengajar agama di masjid, surau masih ada, menghalang Missionary Christian, gagal untuk mengKristiankan orang Islam seluruhnya. Dalam masa yang sama berlaku kebangkitan rakyat menentang penjajah.

Apabila berlakunya hal ini, penjajah pun pening macam mana nak hadap orang Islam ini. Beri kekayaan, beri kemewahan, beri apa, orang Islam tak tunduk kepada mereka.

Saya sebut dalam satu tulisan saya, Gladstone, Perdana Menteri British di abad yang ke-18, pemerintahan Queen Victoria dalam sidang Parlimen British, Gladstone memegang Al-Quranul Karim, dan menyampaikan ucapan, selagi mereka orang Islam itu ada tiga perkara, kita tidak boleh menundukkan mereka. Yang pertama, kitab ini, Al-Quran. Yang kedua, sembahyang Jumaat. Yang ketiga, Haji di Makkah.

Selagi ada tiga perkara ini, orang Islam tak mungkin ditundukkan. Lalu mereka menukar strategi, langkah dan pendekatan untuk menjauhkan orang Islam dari ajaran Islam sedikit demi sedikit. Walaupun pada akhirnya mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri orang Islam, kita sudah merdeka, negeri Arab sudah merdeka, Indonesia sudah merdeka, banyak negeri Islam sudah merdeka.

Tetapi kemerdekaan yang dirancangkan, kemerdekaan yang tidak mengizinkan Islam tegak, berdaulat dalam negara orang Islam sendiri. Ini masalah yang kita alami yang perlu dibetulkan. Maka kumpulan-kumpulan Islam di seluruh dunia berusaha untuk membetulkan, membetulkan kembali.

Yang kedua, kita sedar pertembungan tamadun yang saya sebut pada awal tadi sedang dirancang untuk menentang Islam. Mereka menentang untuk mengulangi kembali strategi yang lama, mengambil sudut perpecahan orang Islam untuk melagakan orang Islam, dengan mengambil kelemahan-kelemahan yang ada dalam negeri orang Islam sendiri, macam Saidina Ali kata:


كلمة حق اريد بها باطل
“Kalimahnya benar, tapi tujuannya jahat.”

Di atas nama demokrasi, di atas nama menentang kezaliman, di atas nama penyelewengan, di atas nama kelemahan dan di atas nama yang sudah ada beza mazhab dan beza bangsa.

Sekarang ini dunia sedang menunggu, bimbang, tercetusnya pertembungan, perang di antara Turki dengan Qurdisy, di antara Iran dengan negeri Arab, Amerika di belakang, di antara rantau ini, antara penganut agama di Rohingya, Islam dan Buddha.

Yang melagakannya kuasa-kuasa besar, yang memperhambakan rakyat negeri lemah, Asia, tanpa mengira Islam, Buddha, Hindu dan sebagainya. Ini dirancang, kita tak tahu, mudah-mudahan tidak berlaku perkara ini.

Ini yang terkini yang mesti kita kena faham. Tanggungjawab kita orang Islam mesti bijak bersama dengan Islam. Nabi telah bersabda:


لا يلدغ المؤمن مرتين من جحر واحد
“Orang Islam tidak seharusnya disengat dua kali daripada lubang yang sama.”

Kalau dulu mereka melagakan kaum, mereka melagakan mazhab, hari ini mereka nak lagakan balik ini, nak lagakan balik kerana salah laku, kerana kezaliman. Bila negeri kita menghadapi salah laku kezaliman, biar kita yang selesai sendiri, jangan jemput orang. Kita selesai sendiri, kita sabar, kita lawan sama-sama kita sendiri, jangan jemput orang lain datang. Ini nak jemput orang lain datang, ini satu pendekatan yang salah, yang pernah menghancurkan pemerintahan Islam di masa dulu. Ini mesti kita ingat.

Ini ialah isu terkini yang mesti kita faham, mesti kita kena sedar, kita yakin dan percaya, masa depan adalah baik untuk Islam, ini keyakinan kita. Adalah baik untuk Islam kerana kebangkitan Islam terus mara, termasuk menembusi benteng Islamofobia yang dilaksanakan di Barat. Islam boleh tembus juga, mereka tahu apa dia Islam, mereka kacau negeri orang Islam, orang Islam juga balik kepada Islam. Di mana kekacauan yang berlaku hanyalah sekadar sakit sebelum sihat, itu sahaja. Sakit dulu, lepas sakit ini kita akan sihat. Insya-Allah.

(Suntingan teks oleh Penolong Pengarang Harakah, IZWAN ABDUL HALIM)}