Selamat menunaikan ibadah haji

Presiden
Typography

KITA berada di musim haji sejak bulan Syawal, Zulkaedah sehingga 13 Zulhijjah. Umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia berhimpun di Makkah al-Mukaramah, menghabiskan harta, mengorbankan tenaga, menunaikan ibadat ruh, jasad dan harta benda yang menjadi salah satu rukun Islam, rukun yang diseru oleh Nabi Ibrahim sejak ribuan tahun yang lalu setelah membuka Kaabah, membina dan merasmikannya.

Nabi Ibrahim adalah bapa nabi-nabi yang dipuja oleh penganut berbagai-bagai agama, bukan sahaja orang Islam. Selepas peninggalan Ibrahim A.S, orang-orang Arab berhimpun di Makkah mengerjakan haji dengan menyembah berhala, bertawaf dalam keadaan bertelanjang dan mengerjakan maksiat. Kedatangan Nabi Muhammad SAW membetulkan keadaan, aqidah dan amalan dengan menyeru semula umat Islam dari seluruh pelosok dunia berhimpun di Makkah. Ia merupakan suatu perhimpunan yang sangat besar, seterusnya melambangkan persaudaraan Islam dan kemanusiaan.

Seseorang yang mengerjakan haji bercampur dengan saudara-saudaranya yang seagama yang pelbagai perangai, ada yang lembut, ada yang terlalu keras dan kasar. Mereka diperintah bersabar dalam perhimpunan haji itu apabila menghadapi saudara-saudara mereka yang kasar semasa beribadat kepada Allah untuk melambangkan ruh persaudaraan. Tidak kira pemimpin, raja, orang besar, rakyat biasa, orang kaya, orang miskin, berpangkat besar atau rendah sama sahaja di hadapan Allah tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Ibadat haji menghimpunkan manusia untuk ditarbiah, diajar dan dididik supaya mereka bersabar dan bersaudara. Sekiranya mereka dapat menunaikan haji dengan betul dengan penuh beradab, akan mendapat pahala yang sangat besar.

Saudara-saudara kita yang menunaikan haji itu adalah wakil daripada seluruh umat Islam dalam perhimpunan dan persidangan umat Islam yang menghimpunkan semua kalangan. Kita berada di bulan yang sangat mulia, marilah kita hayati bulan yang mulia ini dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Akhirnya, saya mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada semua umat Islam, sama ada yang sudah sampai atau yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah. Saya mendoakan mudah-mudahan mendapat Haji Mabrur.

"Sejahtera Bersama Islam"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Zulkaedah 1438H / 21 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 21/8/2017