Politik berpenyakit waswas

Presiden
Typography

KEBIASAAN bagi penganut Islam dijangkiti gangguan waswas, ia sebenarnya satu penyakit jiwa yang dipercayai daripada gangguan syaitan makhluk ghaib dan manusia yang nyata mengacau keikhlasan kepada Allah apabila telah melakukan amalan dengan betul dan tenang beristiqamah.

Setelah syaitan itu gagal menghalangnya daripada beriman dan beramal, lalu dirasuknya secara halus berperasaan bahawa iman itu salah atau amal itu tidak sah, walaupun diulang beberapa kali.

Allah berfirman:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6(

“Yang melemparkan bisikan waswas dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5); (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”. (6) (Surah An-Naas: 5-6)

Apabila diketahui bahawa waswas itu daripada gangguan syaitan, maka sebenarnya imannya tetap diterima, amalannya juga sah tidak batal sekali-kali, hanya syaitan suka mengacau orang yang sudah beriman dan beramal itu. Sepatutnya seseorang itu jangan pedulikan waswas itu, kerana ikut waswas bererti ikut syaitan dan melayannya.

Namun kerana kononnya mahukan imannya murni dan amalannya itu sebenar-benar ikhlas, menyebabkan seseorang itu melayan juga, sehingga menjadi penyakit ragu dan teragak-agak meneruskan amalannya. Bukan sahaja mengacau dirinya sendiri, kadang-kadang mengacau orang sebelahnya, lebih berbahaya lagi kalau mengacau imam yang memimpin solatnya.

Kalau waswas itu dalam perkara kebersihan menjadikannya membazirkan air secara melampau. Walaupun disunatkan tiga kali, tiba-tiba diulangnya berkali-kali lagi. Tanpa disedarinya bahawa dia telah berkawan dengan syaitan disebabkan membazirkan air kerana mandi atau berwuduk dengan melampau.

Kalau waswas itu perkara niat sembahyang, dia akan bertakbir beberapa kali sehingga dengan suara yang kuat menganggu rakan sebelahnya. Kononnya untuk menghadirkan niat dalam takbiratul ihram (permulaan solatnya), padahal yang difikirkan itu adalah terjemahan niat yang dibaca dalam tulisan kitab, bukannya hakikat niat. Bahawa sedarnya dia bersembahyang apa, sudah cukup menjadi niat, seperti sedarnya dia makan nasi, minum apa dan berjalan keluar rumah ke arah mana. Hanya orang akalnya tidak sihat, terlupa dan tidur sahaja tiada niat di dalam akalnya.

Kalau waswas itu bacaan sembahyang, maka dia akan membaca dengan kuat seperti juga imam bersembahyang pada sebelah malam, sehingga mengacau makmum lain dan imam juga dikacau kalau terlalu kuat bacaannya. Maka jadilah dia penolong syaitan untuk mengganggu para jamaah dan imam. Rasulullah S.A.W. pernah terganggu bacaannya ketika solat kerana adanya makmum seperti itu.

Penyakit waswas menyusahkan diri sendiri, sehingga menjadikan payah dan sukar, kerana suka menambah dalam perkara yang telah pun dimudahkan dan dimaafkan oleh Allah sehingga mengharamkan yang halal. Contohnya, sembahyang di atas mana-mana tanah yang nyata pada zahirnya tiada najis dan kecemaran dengan izin Allah Taala dan Rasul-Nya S.A.W.

وجعلت لي الأٍض مسجدا وطهورا (متفق عليه)

“Dijadikan (kepadaku dan umatku) muka bumi itu dibolehkan solat dan bersuci”. (Muttafaq ‘Alaih)

Dalam muamalat menjual beli, tidaklah diwajibkan bertanya asal usul duit bayaran oleh penjual, dan cukup percaya kepada penguatkuasaan yang adil menentukan jenama halal. Ini adalah kemudahan kemaafan dan keampunan Allah kepada hamba-Nya yang lemah. Adapun orang yang berpenyakit waswas akan bertindak lebih daripada itu tanpa menyedari bahawa sikapnya itu adalah mencabar keizinan Allah kerana mendengar hasutan syaitan kononnya kuat berpegang kepada agama, tanpa menyedari dia telah merosakkan agamanya sendiri.

Kononnya itulah sifat warak, tanpa menyedari bahawa warak itu juga adalah ajaran agama Islam daripada Allah dan Rasulullah S.A.W., hakikatnya tidak dinamakan warak lagi kerana melawan Allah dan Rasul, sebaliknya dinamakan melampau seperti kalangan ahli kitab yang dilaknat oleh Allah kerana melampau dalam ketetapan Allah.

Dalam politik juga ada penyakit waswas, apabila berlakunya kekeliruan membuat keputusan dalam perkara yang nyata boleh difahami dengan mudah, tetapi berlakunya sikap teragak-agak juga walaupun mudah difahami dan diurus.

Dalam Fiqh Siyasah (politik Islam), ada perkara yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya dengan izin Allah dalam perkara yang tidak mampu atau tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka dinyatakan secara thawabit atau qath’iyyat (kata putus), khususnya perkara dasar dan sedikit sahaja dalam perkara cabang.

Adapun melaksanakan dasar yang umum seperti syura (permesyuaratan), atau perkara yang bergantung dengan kemampuan akal dan pengalaman, maka diberi kepercayaan kepada para pemimpin yang mempunyai kemampuan secara ketokohan peribadinya atau secara kolektif untuk berijtihad.

Kadang-kadang terdapat kalangan yang tidak matang ilmunya, apatah lagi kebijaksanaannya juga terbatas turut sama bercakap atau menulis dalam media sosial tanpa ilmu dan bertanya kepada yang berilmu. Dalam dunia tanpa sempadan di langit terbuka, tanpa menyedari hikmahnya Allah menciptakan dua telinga supaya banyak mendengar dan satu mulut supaya kurang bercakap.

Begitu juga jadi celaru kalau dia hanya pakar dalam undang-undang, bukannya politik dan pengurusan, kalau membuat kenyataan di luar bidangnya, maka jadilah laksana lanun Somalia yang pandai menembak sahaja, tetapi ditanyakan pula berkenaan sains angkasa lepas.

Penyakit waswas yang berlaku dalam politik lebih parah, apabila pemimpin utama lebih daripada satu orang tidak tahu hendak mengikut arahan siapa, apatah lagi membuat kenyataan yang berbeza dalam urusan negara, menjadikan semua pihak kebingungan termasuk pihak luar yang mahu berhubung.

Hal-hal tersebut boleh menjadikan politik negara berpenyakit waswas. Allah berfirman memberi petunjuk-Nya:

إِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ (83) مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu”. (Surah An-Nisa’: 83)

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Sya’baan 1440 / 9 April 2019 - HARAKAHDAILY 9/4/2019