Tamadun gali kubur sendiri

Presiden
Typography

MANUSIA bermasyarakat madani adalah fitrah mengikut Islam, bukan sekadar istilah 'civil society' yang tidak tepat takrifannya oleh ilmuan Barat dan kalangan yang terpengaruh dengannya.

Maksud Islam adalah lebih tepat kepada sebahagian daripada perkataan Ad-Din yang lebih luas dan besar makna, dasar dan konsep sehinggalah objektifnya yang menepati naluri manusia.

Prinsip akidah dan konsep khilafahnya berlaku mengikut hikmah kejadian manusia dan peranannya di alam dunia. Maka manusia itu dibentuk kejadiannya mengikut keperluan berjasad, roh dan akal, merangkumi kehidupan diri, keluarga, masyarakat dalam satu negara sehinggalah ke alam sejagat yang luas. Kini menjadi tanpa sempadan sehingga ke angkasa lepas dan alam ghaib, serta berwawasan sehingga alam Akhirat yang kekal abadi.

Demi keperluan bertamadun mengikut konsep Barat yang sekular itu, manusia telah mencapai kemajuan dalam aspek kebendaan sahaja, bermula dari zaman menghasilkan keperluannya daripada makanan, pakaian, tempat kediaman dan pengangkutan, sehinggalah persenjataan bagi keamanan dan pertahanan diri.

Kemudian melalui zaman industri terciptanya mesin dan kini pula mencapai teknologi yang tercanggih, berlaku perlumbaan kecanggihan yang melampaui sempadan keperluan yang mencukupi, sehingga berlaku kerakusan yang melampaui fitrah yang ditetapkan oleh Tuhan Pencipta Alam yang diimani berkonsepkan Tauhid Rububiyyah (Tuhan yang Maha Esa mencipta alam dan mentadbirnya) yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana dan rahmatNya yang melimpah ruah.

Sebenarnya Allah telah mengurniakan bahan yang cukup kepada manusia, namun mereka tidak berkonsep saksama dalam mengambil manfaatnya. Allah berfirman:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ (27) وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ (28)

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi melihat dengan nyata. (27); Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi yang Maha Terpuji”. (28) (Surah As-Syura: 27-28)

Manusia dahulu yang telah bertamadun kebendaan sahaja tanpa roh dan panduan kepada akalnya, memusnahkan diri sendiri kerana meninggalkan petunjuk Allah dan tidak mengikut manual yang menjadi peraturan alam. Cerita benar kemusnahan berlaku dikisahkan di dalam Al-Quran:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14(

“Tidakkah Engkau perhatikan (dengan mengambil iktibar), bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Aad (6); Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi dan besar tiangnya (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di seluruh negeri (pada zamannya)? (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh (dan tentera yang ramai)? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah melakukan kerosakan di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan kejahatan di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (balasan dunia dan Akhirat). (14) (Surah Al-Fajr: 6-14)

Banyak lagi tanda-tanda tamadun kebendaan peninggalan zaman purba bersifat monumen menjadi tempat pelancongan dijadikan kebanggaan bersifat kebendaan sahaja tanpa iktibar moral yang luhur sehingga melupai kezaliman yang berada di sebaliknya.

Islam adalah petunjuk Allah Pencipta Alam yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana dan Maha Rahmat kepada makhluk-Nya, termasuk manusia yang ditugaskan menjadi khalifah di alam dunia bersama para Rasul dan Nabi yang dilantik oleh Allah sendiri mengikut pilihan-Nya bersama kitab yang diwahyukan dan para sahabat mereka yang setia membantu untuk memakmurkannya dengan panduan dan manual melalui diri dan kitab petunjuk itu.

Allah mencipta manusia itu dengan ciri kemampuan jasad, akal, roh, diri dan bermasyarakat, sehingga mampu bertugas kepada diri manusia sendiri dan menakluk makhluk yang ada kaitan dengan tugas mereka daripada haiwan jinak dan liar, sehinggalah tumbuhan yang ada di atas muka bumi dan pelbagai jenis galian dalam perut bumi.

Al-Quran adalah kitab terakhir diwahyukan menjadi mukjizat ilmu yang terkandung di dalamnya ilmu petunjuk dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh kemampuan akal manusia.

Al-Quran juga memandu ilmu akal dan pengajaran daripada pengalaman dan kajian mengikut kemampuannya. Berfikir dengan akal yang bijak, kajian dan pengalaman yang diberi kemampuan secara tersendiri kepada manusia.

Islam menyenaraikan secara terperinci dalam aspek ibadat wajib dan sunat, keperluan makan dan minum mengikut sempadan halal, haram dan makruh. Begitu juga cara berpakaian sopan wajib menutup aurat, menjaga keselamatan diri, institusi keluarga dan masyarakat yang besar sehingga ke peringkat antarabangsa, negara dan global, sehinggalah diizinkan persediaan untuk berperang jika perlu demi menjaga keamanan dan keselamatan dengan syarat tidak melampaui batas kemanusiaan dan alam sekitar.

Pada awalnya semua keperluan itu dihasilkan dengan tenaga jasad manusia secara langsung, selepas itu dicipta mesin tanpa tenaga diri manusia sehingga ramai yang dibuang kerja menjadi penganggur tanpa penyelesaian, dan dicipta lagi yang lebih cepat dan canggih.

Kini kita sedang manyaksikan manusia menuju tamadun menggali kubur sendiri. Mewujudkan hasil makanan segera, tahan lama dan menggunakan bahan kimia sebanyak-banyaknya untuk subur dan mengawet sehingga dicampurkan bahan yang membarahkan penyakit dahulu dan kini seperti pelbagai jenis kanser. Merosakkan juga institusi kekeluargaan sehingga menubuhkan organisasi seperti LGBT di atas nama hak kebebasan yang melampau lebih daripada binatang.

Selain itu, mengejar pembangunan sehingga menebang pokok, menarah bukit dan menimbus kawasan tadahan, merosakkan paya, tasik, sungai dan laut. Mencipta senjata pemusnah sehingga lebih ganas daripada binatang liar dan buas, dan melakukan ujian sehingga merosakkan alam sekitar dan cuaca dunia sebelum berperang lagi.

Dunia Barat yang kononnya paling membela wanita, tiba-tiba dijadikan barang dagangan dan dipergunakan untuk apa sahaja perniagaan yang tiada kaitan langsung dengan wanita.

Ada pula yang membunuh diri walaupun hartanya banyak dan rupanya cantik, kerana perut sahaja kenyang dan nafsu kebinatangan sahaja yang dipuaskan tanpa makanan roh dan akal.

Masyarakat madani yang berilmu, beriman dan budiman sepatutnya melakukan kerjasama masyarakat majmuk di seluruh dunia ini, tetapi berkecamuk dengan perang ekonomi dan perang dingin politik. Kini berlumba pula mencipta senjata untuk peperangan dengan persediaan senjata pemusnah yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Maka benarlah firman Allah:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Surah Ar-Ruum: 41)

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rejab 1440 / 28 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 28/3/2019