PRK Seri Setia: Orang berbudi kita berbahasa

Pimpinan
Typography

ORANG tua terdahulu cekal tabah dan sabar menghadapi tekanan dan dendam Umno BN ke atas mereka. Mereka istiqamah di jalan Allah dengan PAS dan perjuangan Islam. Dengannya mereka pasti mendapat laba besar di akhirat nanti insya Allah.

Hari ini, generasi baru adalah untuk Malaysia baharu dan politik Islam yang lebih dinamik dan terbuka. Sejarah bukan untuk dibalas dengan dendam dan kemarahan. Ia bukan pun menambah pahala, bahkan mungkin sahaja meruntuhkannya kembali. Perpecahan bukanlah satu kejayaan untuk dikecapi.

Carilah pahala dan redha-Nya dengan meneroka sesuatu yang lebih baru, benar dan tepat buat umat Islam.

Perpecahan adalah dipaksakan pada zaman sayyidina Ali karramaLlahu wajhahu. Keadaan amat kelam dan menyedihkan. Tetapi, sebaik anaknya, sayyidina Hasan bin Ali mengambil alih khilafah daripada ayahandanya, beliau meneroka sesuatu yang luar biasa.

Khilafah umat diserahkan secara damai kepada saingan ayahnya iaitu sayyidina Muawiyah radhiaLlahu anhu dengan syarat beliau mengusahakan kesatuan umat yang menamatkan kelam perpecahan umat. Muawiyah menerimanya dan beliau berjaya melakukannya dengan segera dan sempurna. Itulah lambang persaudaraan yang terpasak teguh di persada politik umat.

PRK N32 Seri Setia sedang menyaksikan penerokaan politik baharu, sambungan daripada PRK Sungai Kandis.

Semalam saya berkata, orang PAS undilah Umno. Hari ini saya tidak perlu lagi berkata, orang Umno undilah PAS. Ia sedang dan pasti berlaku insya Allah.

Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa. – HARAKAHDAILY 19/8/2018